Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hezbollah beri amaran mahu balas dendam terhadap Israel

Sep 18, 2024 | 4:19 PM


Anggota Parlimen Hezbollah, Encik Ali Ammar, menerima ucapan takziah untuk anaknya yang terbunuh dalam letupan alat kelui di Beirut pada 17 September
Anggota Parlimen Hezbollah, Encik Ali Ammar, menerima ucapan takziah untuk anaknya yang terbunuh dalam letupan alat kelui di Beirut pada 17 September - Foto REUTERS

BEIRUT: Kumpulan Hezbollah berikrar bertindak balas terhadap Israel yang akan menerima “hukuman setimpal” selepas Israel dituduh meletupkan alat kelui secara serentak di serata Lebanon pada 17 September.

Kejadian itu mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang setakat ini dan sekitar 3,000 yang lain cedera termasuk para anggotanya dan Duta Iran ke Beirut.

Menteri Penerangan Lebanon, Encik Ziad Makary, mengutuk kejadian melibatkan letupan alat kelui yang sering digunakan oleh Hezbollah dan pihak lain di Lebanon untuk berkomunikasi, sebagai “serangan agresif Israel”.

Israel didakwa menjadi dalang di sebalik serangan yang menyebabkan letupan terancang peranti telekomunikasi mudah alih milik anggota Hezbollah di serata Lebanon, lapor portal berita CNN.

Pihak tentera Israel enggan memberikan sebarang komen mengenai kejadian itu.

Israel meletakkan bahan letupan dalam kumpulan alat kelui buatan Taiwan yang diimport ke Lebanon dan dituju ke Hezbollah, lapor The New York Times, memetik kenyataan daripada pegawai Amerika Syarikat dan taklimat lain mengenai operasi itu.

Letupan tersebut berlaku di beberapa kawasan yang dikuasai oleh Hezbollah termasuk di selatan Lebanon, wilayah selatan Beirut yang dikenali sebagai Dahiyeh dan juga di Lembah Bekaa di timur negara itu.

Seorang pegawai Hezbollah yang enggan dinamakan menyatakan bahawa kejadian itu merupakan “pelanggaran keselamatan terbesar” bagi kumpulan itu dalam hampir setahun konflik dengan Israel.

Kejadian itu juga dianggap sebagai satu peningkatan ketegangan besar dalam hubungan antara Israel dengan Hezbollah.

Kumpulan Palestin Hamas, yang melancarkan perang dengan Israel di Gaza, berkata letupan kelui adalah “peningkatan keganasan” yang hanya akan membawa Israel kepada “kegagalan dan kekalahan”.

Penyelaras khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Lebanon, Cik Jeanine Hennis-Plasschaert, mengecam serangan itu dalam satu kenyataannya sambil berkata ia “menandakan peningkatan keganasan yang amat membimbangkan” dalam konflik di rantau itu.

Amerika turut menafikan sebarang penglibatan dalam letupan tersebut dan menyeru penyelesaian diplomatik bagi meredakan ketegangan antara Israel dengan Lebanon.

Washington juga meminta Iran, yang sering dilihat sebagai sekutu kuat Hezbollah, agar tidak mengambil kesempatan daripada ketegangan itu untuk meningkatkan ketidakstabilan di rantau tersebut.

Duta Iran ke Lebanon, Encik Mojtaba Amani, mengalami cedera ringan dalam letupan itu dan kini dalam pemerhatian di hospital.

Antara anggota Hezbollah yang terkorban adalah anak kepada pegawai tertinggi kumpulan tersebut, termasuk anak kepada Anggota Parlimen Hezbollah, Encik Ali Ammar.

Sementara itu, syarikat penerbangan, Air France, mengumumkan pada 17 September bahawa ia menggantung penerbangan antara Paris dengan Beirut dan Tel Aviv hingga 19 September, ekoran kebimbangan berhubung isu keselamatan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg