BEIRUT (Lebanon): Komandan kedua Hezbollah memberi amaran bahawa perang habis-habisan oleh Israel yang bertujuan memulangkan 100,000 orang yang kehilangan tempat tinggal ke rumah mereka di kawasan berhampiran sempadan Lebanon akan memindahkan “ratusan ribu” lagi.
Encik Naim Qassem, pemimpin kedua dalam kumpulan Lebanon yang disokong Iran, menyatakan demikian selepas Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant berkata Israel berazam untuk memulihkan keselamatan di bahagian utaranya.
Encik Gallant memberitahu tentera Israel minggu lalu bahawa “kami sedang bersiap sedia untuk apa-apa yang mungkin berlaku di utara”.
Dalam ucapan di Beirut pada 14 September, Encik Qassem berkata: “Kami tidak berhasrat untuk berperang kerana kami menganggap ini tidak berguna.
“Bagaimanapun, jika Israel melancarkan perang, kita akan menghadapinya dan bakal menempa kerugian besar di kedua-dua pihak.
“Jika mereka fikir perang sebegitu akan membolehkan 100,000 orang yang hilang tempat tinggal pulang ke rumah... kami mengeluarkan amaran ini: Bersedia untuk menangani ratusan ribu orang lagi yang akan kehilangan tempat tinggal.”
Hezbollah telah berbalas tembakan hampir setiap hari dengan tentera Israel sebagai menyokong Hamas sejak serangan Palestin ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh sekitar 1,200 orang dan lebih 240 yang lain ditahan sebagai tebusan.
Ribuan orang yang tinggal di kawasan sempadan telah kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran antara Hezbollah dengan Israel.
Pada petang 14 September, tentera Israel berkata tentera udaranya telah menyerang kemudahan penyimpanan senjata Hezbollah di dua lokasi di Lembah Beqaa, timur Lebanon, serta di enam lokasi di selatan.
Tiga kanak-kanak adalah antara empat orang yang cedera dalam serangan Israel di daerah Hermel di utara Beqaa, kira-kira 140 kilometer daripada sempadan Israel, kata kementerian kesihatan Lebanon.
Sumber yang rapat dengan Hezbollah berkata serangan itu menyasarkan sebuah ladang di kawasan itu yang merupakan kubu kuatnya.
Serangan kedua ke atas kampung Serine, dekat Baalbek, Lebanon menyasarkan “gudang yang menyimpan produk makanan”, tambah sumber itu.
Pada awal Oktober, Hezbollah melancarkan ratusan roket dan dron ke arah Israel yang bertindak balas dengan menyerang Lebanon dalam usaha menggagalkan serangan yang lebih besar.
Ia adalah salah satu pertempuran terbesar dalam tempoh lebih 10 bulan peperangan di sempadan kedua-dua negara.
Namun ia berakhir dengan tidak banyak kerosakan di Israel dan tiada ancaman segera bahawa lebih banyak tindak balas akan berlaku daripada kedua-dua pihak.
Pengganasan rentas sempadan sejak awal Oktober telah membunuh 623 orang di Lebanon, termasuk sekurang-kurangnya 142 orang awam.
Di pihak Israel, termasuk di Dataran Tinggi Golan, pihak berkuasa menyatakan bilangan kematian melibatkan sekurang-kurangnya 24 tentera dan 26 orang awam. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg