Topik diikuti
Pergi ke BHkuHezbollah tolak pelan damai, rundingan Iran-AS terus buntu
Hezbollah tolak pelan damai, rundingan Iran-AS terus buntu
Hezbollah tolak pelan damai, rundingan Iran-AS terus buntu
WASHINGTON/BEIRUT: Rundingan gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran dilihat terus menemui jalan buntu selepas gelombang keganasan terburuk dalam beberapa minggu kebelakangan ini, manakala kumpulan Hezbollah yang disokong Tehran menolak perjanjian damai tajaan Washington di Lebanon.
Situasi itu sekali gus menimbulkan keraguan terhadap dakwaan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump bahawa rundingan untuk menamatkan konflik kini berada di “peringkat akhir”.
Ketegangan semakin memuncak selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Kuwait serta Bahrain pada 3 Jun sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika ke atas sebuah kapal tangki minyak yang menuju ke Iran.
Serangan itu mengorbankan seorang individu dan mencederakan puluhan lain di lapangan terbang utama Kuwait.
Dalam perkembangan berkaitan, Hezbollah secara terbuka menolak syarat gencatan senjata yang diumumkan Jabatan Negara Amerika hanya beberapa jam sebelum itu.
Kementerian Kesihatan Lebanon memaklumkan sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan negara itu, manakala tentera Israel mendakwa Hezbollah turut melancarkan beberapa roket ke arah tenteranya.
Serangan itu berlaku sehari selepas Lebanon dan Israel bersetuju memperbaharui gencatan senjata rapuh mereka serta mewujudkan “zon perintis” yang meletakkan tentera Lebanon sebagai pihak berkuasa tunggal di kawasan berkenaan, dengan semua kumpulan bukan negara dikecualikan.
Perjanjian itu diumumkan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pusingan keempat rundingan dimudah cara oleh Amerika Syarikat di Jabatan Negara pada 3 Jun.
Ketika ditanya wartawan di Pejabat Oval mengenai penolakan Hezbollah terhadap pelan damai itu, Encik Trump menafikan bahawa rundingan gagal sepenuhnya.
“Mereka tidak menolak saya,” kata Encik Trump.
“Mereka menghubungi kami untuk berbincang mengenai penghentian permusuhan,” tambah beliau.
Namun di sebalik kenyataan optimis Encik Trump, keadaan di lapangan menunjukkan konflik masih berterusan tanpa sebarang tanda penyelesaian segera.
Pemimpin Hezbollah, Encik Naim Qassem menyifatkan perjanjian tajaan Amerika itu sebagai “tidak masuk akal” dan menyerupai satu bentuk penyerahan diri kepada Israel.
Dalam kenyataannya, beliau menegaskan Hezbollah tidak akan menerima sebarang perjanjian yang memaksa kumpulan itu menghentikan serangan atau berundur dari selatan Lebanon tanpa pengunduran tentera Israel.
“Selagi pendudukan masih berterusan, penentangan juga akan diteruskan,” katanya.
Beliau berkata sebarang gencatan senjata perlu bersifat menyeluruh dan mesti merangkumi penghentian serangan Israel serta pengunduran tenteranya dari wilayah Lebanon.
Perjanjian yang diumumkan Washington itu mensyaratkan Hezbollah menghentikan serangan dan berundur dari kawasan sempadan Israel-Lebanon, namun tidak menetapkan sebarang konsesi segera daripada pihak Israel.
Keadaan itu mencetuskan kritikan bahawa perjanjian berkenaan lebih memihak kepada Israel.
Penganalisis kanan Pusat Timur Tengah Carnegie di Beirut, Encik Mohanad Hage Ali, menyifatkan perjanjian tersebut sebagai “gencatan senjata bersifat persembahan lakonan”.
“Ia kelihatan seperti pengumuman besar dengan pelbagai elemen diplomatik, tetapi tiada komitmen sebenar,” katanya.
“Ia pada asasnya gencatan senjata sebelah pihak,” tambah beliau.
Presiden Lebanon, Joseph Aoun pula memberi bayangan bahawa gencatan senjata itu sebenarnya belum berkuat kuasa kerana pemerintah Lebanon masih menunggu jawapan rasmi Hezbollah sebelum memaklumkan pendirian Beirut kepada Washington.
Beliau menyifatkan usaha damai itu sebagai “peluang terakhir” untuk mencapai penyelesaian menyeluruh.
Namun kenyataan keras Hezbollah dilihat menjadikan harapan itu semakin tipis.
Perdana Menteri Lebanon, Nawaf Salam turut memberi amaran bahawa mana-mana pihak yang menolak atau melengahkan proses damai perlu bertanggungjawab terhadap kesan yang bakal berlaku.
“Setiap jam yang berlalu tanpa pelaksanaan perjanjian adalah satu jam yang dibayar oleh selatan Lebanon dan rakyatnya,” katanya.
Pada masa sama, rundingan lebih besar antara Amerika dan Iran turut terus menemui kebuntuan.
Encik Trump menerusi media sosial mendakwa beliau kini berada “di tengah-tengah rundingan akhir” untuk menamatkan perang dengan Iran.
Bagaimanapun, Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi memberi gambaran berbeza apabila berkata “tiada kemajuan ketara” dicapai dalam proses rundingan dengan Washington.
Menurut laporan agensi Tasnim, antara syarat utama Iran ialah penghentian serangan Israel di Lebanon.
Penganalisis Atlantic Council dan bekas pegawai Amerika, Encik Nate Swanson berkata persoalan utama bagi Teheran kini ialah sama ada Encik Trump benar-benar mampu mengawal tindakan Israel.
“Bagi Iran, persoalannya ialah sama ada Trump mampu menahan Israel,” katanya.
“Jika beliau tidak mampu mengawal Israel di Lebanon, bagaimana beliau mahu mengawal Israel dalam isu Iran?” tambahnya.
Konflik yang berlarutan itu turut memberi kesan besar kepada pasaran tenaga dunia.
Sebelum perang tercetus, Selat Hormuz membawa hampir satu perlima bekalan minyak dunia, namun laluan strategik itu kini banyak terjejas sejak Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Februari lalu.
Walaupun harga minyak turun sedikit selepas pengumuman perjanjian Lebanon, pakar industri memberi amaran harga boleh melonjak semula sekiranya konflik terus berpanjangan dan stok simpanan global semakin susut.
Di Amerika sendiri, perang itu semakin tidak popular termasuk dalam kalangan Parti Republikan sendiri.
Dewan Perwakilan yang dikuasai Republikan baru-baru ini mengundi untuk menghentikan perang, mencerminkan kebimbangan bahawa konflik berpanjangan boleh menjejaskan kedudukan politik Trump menjelang pilihan raya pertengahan penggal.
Namun di lapangan, keadaan masih jauh daripada aman.
Serangan udara Israel terus membedil selatan Lebanon, manakala Hezbollah terus melancarkan roket dan dron ke arah tentera Israel. - Agensi berita
