Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsrael, Hezbollah terus bertempur ketika rundingan damai diadakan di Washington
Israel, Hezbollah terus bertempur ketika rundingan damai diadakan di Washington
Setiausaha Negara Amerika Syarikat salahkan Hezbollah sebagai penghalang utama kepada sebarang perjanjian damai
Israel, Hezbollah terus bertempur ketika rundingan damai diadakan di Washington
WASHINGTON: Israel dan Hezbollah terus saling berbalas serangan pada 2 Jun ketika wakil Lebanon dan Israel mengadakan rundingan langsung di Washington dalam usaha mencari jalan menamatkan konflik yang semakin meruncing di rantau Asia Barat.
Di tengah-tengah pertempuran yang masih berterusan, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, menyalahkan Hezbollah sebagai penghalang utama kepada sebarang perjanjian damai antara Israel dan Lebanon.
“Israel dan Lebanon boleh mencapai perjanjian damai esok,” kata Encik Rubio ketika memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika.
“Israel tidak mempunyai tuntutan wilayah di Lebanon. Hezbollah adalah halangannya,” tambah beliau.
Pertempuran terbaru berlaku hanya sehari selepas Presiden Amerika, Encik onald Trump, mendakwa beliau berjaya menjadi perantara kepada satu perjanjian awal antara kedua-dua pihak.
Menurut Kedutaan Lebanon di Washington, perjanjian itu pada peringkat awal hanya melibatkan penghentian serangan Israel ke atas Beirut dan serangan Hezbollah terhadap wilayah Israel sebelum diperluaskan kepada skop lebih besar.
Namun sehingga kini, kedua-dua pihak masih belum secara terbuka menerima cadangan tersebut.
Pegawai kanan Hezbollah, Encik Mahmud Qomati, berkata kumpulan itu tidak akan menerima gencatan senjata separa.
“Hezbollah tidak akan menerima gencatan senjata separa,” katanya dalam kenyataan bertulis kepada AFP.
Israel dan Hezbollah mula berperang selepas kumpulan itu melancarkan serangan ke atas Israel pada 2 Mac sebagai tanda sokongan kepada Iran dalam konflik lebih luas Asia Barat.
Sejak itu, konflik terus berkembang menjadi peperangan serantau melibatkan Iran, Israel, Amerika Syarikat dan kumpulan bersenjata sekutu Teheran.
Agensi Berita Nasional Lebanon melaporkan Israel melancarkan serangan ke atas kira-kira 30 lokasi di selatan Lebanon pada 2 Jun, termasuk beberapa serangan maut.
Hezbollah pula berkata pihaknya menyerang tentera Israel di kawasan selatan Lebanon yang diduduki Israel, namun tidak mengaku melancarkan serangan ke dalam wilayah Israel.
Tentera Israel dalam kenyataannya berkata dua roket dari Lebanon berjaya dipintas tanpa menyebabkan kecederaan.
Pertempuran itu berlaku ketika diplomat Lebanon dan Israel berada di Washington bagi pusingan keempat rundingan langsung sejak perang semasa bermula.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Tommy Pigott, berkata kemajuan terus dicapai dalam rundingan politik dan keselamatan antara kedua-dua pihak.
“Kemajuan terus berlaku dalam landasan politik dan keselamatan,” katanya di platform X.
Satu lagi pusingan rundingan dijadual berlangsung pada 3 Jun.
Perdana Menteri Lebanon, Encik Nawaf Salam, menyifatkan rundingan tersebut sebagai pilihan “paling kurang merugikan” bagi Lebanon walaupun ia mendapat tentangan kuat daripada Hezbollah.
Sementara itu, ketegangan terus meningkat di lapangan apabila tentera Israel melancarkan serangan darat paling besar ke Lebanon dalam tempoh dua dekad.
Israel mendakwa serangan dilakukan susulan “pelanggaran berulang” oleh Hezbollah terhadap gencatan senjata yang secara rasmi berkuat kuasa sejak 17 April tetapi gagal dipatuhi kedua-dua pihak.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, turut mengarahkan serangan ke atas kawasan selatan Beirut yang menjadi kubu kuat Hezbollah.
Bagaimanapun, laman berita Amerika Axios melaporkan Encik Trump menelefon Encik Netanyahu dan mendesaknya mengurangkan serangan kerana bimbang tindakan itu boleh menjejaskan rundingan damai dengan Iran.
Laporan itu mendakwa Encik Trump menyifatkan Encik Netanyahu sebagai “gila” kerana meningkatkan serangan ketika usaha diplomatik sedang berjalan.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, kemudian berkata Israel kini mempunyai “formula baru” yang disokong Washington.
Menurut beliau, Israel akan terus menyerang pinggir selatan Beirut sekiranya Hezbollah meneruskan serangan terhadap Israel.
Di kawasan selatan Beirut, ramai penduduk masih meninggalkan rumah mereka selepas serangan udara Israel pada 1 Jun.
Seorang penduduk, Cik Layla Shehab, 35 tahun, berkata beliau kembali ke kawasan itu selepas keadaan sedikit reda.
“Kami dapati keadaan sudah agak tenang sedikit,” katanya.
Di selatan Lebanon berhampiran Sidon, pasukan penyelamat menemui mayat enam ahli keluarga selepas satu serangan udara Israel.
Kementerian Kesihatan Lebanon berkata lima orang terbunuh dan 48 cedera dalam serangan Israel pada 2 Jun termasuk seorang doktor dan lima kakitangan Hospital Tebnine yang turut mengalami kerosakan.
Di bandar bersejarah Tyre pula, ribuan penduduk masih berlindung di bandar lama ketika pusat perlindungan penuh sesak.
Sebahagian penduduk terpaksa tidur di dalam kereta dan khemah sementara.
Tentera Israel mendakwa anggota Hezbollah beroperasi di kawasan Kristian di Tyre yang sebelum ini tidak menjadi sasaran serangan.
Kenyataan itu menyebabkan lebih ramai penduduk mula meninggalkan kawasan berkenaan.
Menurut Kementerian Kesihatan Lebanon, lebih 3,465 orang terbunuh akibat serangan Israel sejak perang bermula pada 2 Mac lalu.
Di pihak Israel pula, sekurang-kurangnya 26 askar dan seorang kontraktor awam dilaporkan terbunuh sepanjang tempoh sama. - Agensi berita
