Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hong Kong adakan pilihan raya perundangan di tengah ratapan kebakaran maut

Dec 7, 2025 | 4:15 PM
Hong Kong, pilihan, raya
Poster calon-calon yang bertanding dipasang di pusat membuang undi dalam pilihan raya Majlis Perundangan Hong Kong pada 7 Disember 2025. - Foto EPA

HONG KONG: Rakyat Hong Kong keluar mengundi pada 7 Disember dalam pilihan raya yang memberi tumpuan kepada jumlah penduduk yang keluar mengundi ketika mereka masih trauma selepas kebakaran baru-baru ini, yang terburuk dalam hampir 80 tahun.

Keselamatan ketat di daerah utara Tai Po – tempat tujuh menara dijilat api ketika bandar itu meneruskan pilihan raya untuk Majlis Perundangan.

Dalam pilihan raya itu, hanya calon yang disahkan sebagai “patriot” oleh pemerintah Hong Kong yang disokong China boleh bertanding.

Penduduk masih marah dengan kebakaran yang mengorbankan sekurang-kurangnya 159 orang dan mengambil masa hampir dua hari untuk dipadamkan.

Pihak berkuasa menyatakan bahan binaan substandard yang digunakan dalam pengubahsuaian sebuah estet perumahan pencakar langit itu sebagai punca kebakaran tersebut.

Dalam usaha membendung kekecewaan orang ramai, pihak berkuasa telah melancarkan siasatan jenayah dan rasuah ke atas kebakaran itu dan kira-kira 100 polis meronda kawasan kebakaran berlaku – estet perumahan Wang Fuk Court - pada awal pagi 7 Disember.

Seorang penduduk berusia 70-an tahun, yang tinggal berhampiran bangunan-bangunan yang hangus, berkata: “Saya sangat kecewa dengan kebakaran besar itu. Ini adalah akibat daripada pemerintah yang cacat. ... Tiada sistem yang baik sekarang dan saya tidak akan mengundi untuk menyokong ahli politik pro-pemerintah yang telah mengecewakan kami.”

Di tapak peringatan berhampiran pembangunan kediaman yang hangus itu, satu papan tanda menyatakan pihak berkuasa merancang membersihkan kawasan itu selepas pilihan raya berakhir, menunjukkan kebimbangan pemerintah di tengah-tengah kemarahan orang ramai.

Beijing telah berkata ia akan bertindak tegas terhadap sebarang protes “anti-China” susulan kebakaran itu.

Pejabat keselamatan China di Hong Kong memberi amaran kepada editor kanan beberapa saluran media asing pada satu mesyuarat di bandar itu pada 6 Disember supaya tidak menyebarkan “maklumat palsu” atau “memfitnah” usaha pemerintah untuk menangani kebakaran itu.

Kebakaran itu merupakan ujian utama cengkaman Beijing ke atas bekas jajahan British itu, yang telah diubahnya di bawah undang-undang keselamatan negara selepas protes pro-demokrasi besar-besaran pada 2019.

Menghasut boikot undi secara terbuka telah dijadikan kesalahan jenayah pada 2021 sebagai sebahagian daripada perubahan besar-besaran bagi menekan suara pro-demokrasi di Hong Kong.

Sejak itu, pengundi pro-demokrasi, yang secara tradisinya membentuk kira-kira 60 peratus daripada pengundi Hong Kong, telah mengelak pilihan raya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg