RIYADH (Arab Saudi): Pengumuman Amerika Syarikat yang akan mengetuai pasukan petugas maritim antarabangsa untuk menghadapi serangan ke atas kapal di Laut Merah telah segera ditentang oleh kumpulan militan Houthi di Yaman, yang menyifatkan langkah tersebut sebagai tindakan yang tidak berdasarkan keperluan sebenar dan kehilangan punca.
Dalam beberapa jam, seorang pegawai tinggi Houthi telah membuat kenyataan di saluran televisyen Arab, menyifatkan kempen merampas, membedil dengan peluru berpandu dan pelancaran dron militia ke atas kapal komersial sebagai pertempuran yang adil untuk memaksa Israel menamatkan kepungannya di Jaluran Gaza.
Pemimpin Houthi, Encik Abdel-Malek Al-Houthi, berkata mereka tidak akan berdiam diri tetapi melancarkan perang jika Amerika bakal mengenakan sekatan lebih dahsyat.
Tentera gabungan Barat telah menghabiskan masa berminggu-minggu untuk cuba menghalang Houthi yang sebaliknya menyatakan ancaman itu “bukan sesuatu yang baru”.
Ketua perunding Houthi, Encik Mohammed Abdusalam, memberi amaran dengan berkata bahawa jika Amerika secara langsung menyerang Yaman, ia boleh mengubah perang di Gaza kepada konflik antarabangsa yang lebih luas.
“Pendirian Yaman adalah jelas,” kata Encik Abdullah Ben Amer, seorang pegawai kanan Houthi.
“Serangan Houthi di Laut Merah akan berhenti apabila perang Israel terhadap penduduk Gaza ditamatkan,” tambahnya.
Kata-kata itu mengulangi pendirian militia yang disokong Iran sejak perang di Gaza bermula dua bulan lalu apabila serangan Hamas di selatan Israel telah membunuh kira-kira 1,200 orang dan tindak balas Israel menerusi pengeboman di Gaza telah mengorbankan sekitar 20,000 rakyat Palestin.
Perang itu telah mencetuskan kemarahan di seluruh Timur Tengah terhadap Israel dan Amerika, sekutu utamanya, tetapi meningkatkan populariti mereka.
Houthi melancarkan dron dan peluru berpandu di selatan Israel dan berjanji untuk menyekat semua kapal yang melakukan perjalanan ke pelabuhan Israel menerusi Selat Bab al-Mandab dekat Yaman, titik utama bagi perdagangan global.
Kebanyakan serangan mereka telah digagalkan, tetapi bulan lalu, mereka merampas kapal komersial, dan bulan ini, mereka menyerang kapal Norway dengan peluru berpandu. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg