SANAA (YAMAN): Kumpulan Houthi Yaman menuduh Arab Saudi melancarkan berpuluh-puluh serangan ke atas Sanaa pada 3 Oktober.

Sementara itu, seorang wartawan agensi berita AFP di Riyadh melaporkan melihat api menyala dan asap berkepul dari sebuah kemudahan minyak di luar ibu kota Saudi itu.

Meskipun pegawai Arab Saudi dan kumpulan Houthi belum mengulas mengenai kejadian tersebut, sekutu Iran itu dilaporkan kerap menyasarkan kemudahan minyak kerajaan sejak beberapa minggu kebelakangan ini akibat konflik yang kembali meruncing di Yaman.

Kedua-dua pihak yang bermusuhan itu saling melancarkan serangan sejak kumpulan Houthi menawan keseluruhan pantai Laut Merah Yaman dan mengawal selat Bab al-Mandab dalam serangan kilat.

Stesen televisyen berkait dengan Houthi, Al-Masirah TV, mendedahkan bahawa “pesawat Saudi” melancarkan 26 serangan ke atas Sanaa.

Awal dari itu, ia menyifatkan tindakan ketenteraan tersebut sebagai satu bentuk pencerobohan terhadap ibu kota Yaman.

Namun, tiada butiran mengenai sasaran atau korban diberikan.

Dua pemberita di Sanaa melaporkan mereka terdengar letupan kuat dan melihat pesawat perang melepaskan peluru berpandu ke arah bandar itu.

Wartawan AFP mendakwa melihat api marak pada petang 3 Oktober dari sebuah kilang minyak Aramco di selatan Riyadh.

Namun, Houthi dan pihak berkuasa Saudi masih belum memberikan sebarang ulasan berkaitan dengannya.

Keadaan sebenar masih belum jelas, walaupun Houthi mengaku bertanggungjawab ke atas beberapa serangan ke atas kemudahan milik Aramco sejak kebelakangan ini.

Wartawan itu melaporkan melihat pasukan bomba berusaha memadamkan kebakaran di kilang penapisan tersebut, manakala ambulans dan kenderaan polis diletakkan berhampiran kemudahan itu.

Al-Masirah sebelum itu melaporkan serangan peluru berpandu ke atas rangkaian telekomunikasi di wilayah barat laut Yaman, Saada, yang merupakan salah satu kubu kuat kumpulan tersebut.

Keadaan ini berlaku selepas kumpulan Houthi mendakwa Arab Saudi telah mengebom ibu kota Yaman pada malam 1 Oktober buat kali pertama sejak pertempuran baharu tercetus antara kedua-dua pihak pada Julai lalu. – AFP.