RIYADH: Sebuah dron menyerang stesen pengagihan elektrik di Madinah yang membekalkan tenaga ke Masjid Nabawi, menyebabkan sebuah alat pengubah kuasa terpaksa dihentikan operasi, dalam insiden terbaru yang meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan dua kota suci Islam di Arab Saudi.

Pakatan tentera pimpinan Arab Saudi yang beroperasi di Yaman mendakwa serangan awal Selasa, 29 September itu dilakukan kumpulan Houthi yang disokong Iran selepas siasatan termasuk pemeriksaan serpihan dron dilakukan.

Jurucakap pakatan itu, Mejar Jeneral Turki Al-Malki, berkata serangan menyasarkan Stesen Pengagihan Elektrik Taibah di Madinah, sebuah kemudahan awam yang turut menyediakan bekalan elektrik kepada Masjid Nabawi.

Menurut beliau, sebuah alat pengubah kuasa terpaksa dihentikan operasi akibat serangan itu, tetapi keseluruhan rangkaian elektrik tidak terjejas.

Bagaimanapun, Houthi menafikan bertanggungjawab.

Seorang sumber tentera Houthi yang dipetik agensi berita Saba yang dikendalikan kumpulan itu menyifatkan tuduhan Arab Saudi sebagai tidak benar.

Pakatan pimpinan Saudi pula berkata pemeriksaan serpihan dron dan penilaian operasi selepas serangan menunjukkan Houthi terbabit dalam merancang serta melaksanakan serangan berkenaan.

Insiden di Madinah berlaku kira-kira dua minggu selepas Arab Saudi berkata pasukannya memintas sebuah dron Houthi di selatan Makkah sebelum pesawat tanpa pemandu itu memasuki ruang udara larangan di kota suci tersebut.

Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah merupakan dua tempat paling suci bagi umat Islam.

Menurut Mejar Jeneral Al-Malki, serangan terbaru itu merupakan sebahagian daripada percubaan berulang untuk menyasarkan Makkah dan Madinah.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia dan berkata pakatan akan terus mengambil langkah bagi melindungi dua kota suci berkenaan serta keselamatan jemaah.

Serangan itu mencetuskan kecaman beberapa negara Arab dan Islam, dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menyifatkannya sebagai satu peningkatan ketegangan yang serius.

Setiausaha Agung GCC, Encik Jasem Albudaiwi, berkata serangan terhadap kemudahan elektrik yang menyediakan perkhidmatan kepada Masjid Nabawi telah “melampaui semua garis merah” kerana membabitkan kawasan yang mempunyai kedudukan istimewa bagi umat Islam.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan Arab Saudi dan tempat sucinya adalah sebahagian daripada keselamatan bersama negara GCC.

Amiriah Arab Bersatu (UAE) pula menyifatkan serangan itu sebagai pencabulan terhadap kedaulatan Arab Saudi serta ancaman kepada keselamatan dan kestabilan negara itu.

Bahrain turut mengecam serangan berkenaan dan menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil pendirian tegas terhadap serangan berulang ke atas prasarana awam dan tempat keagamaan.

Kuwait dan Jordan turut menyatakan sokongan kepada Arab Saudi, manakala Turkey mengecam serangan terhadap prasarana yang menyediakan perkhidmatan kepada Masjid Nabawi.

Perkembangan itu berlaku ketika konflik Yaman kembali memuncak selepas beberapa tahun pertempuran berkurangan susulan gencatan senjata yang ditaja PBB pada 2022.

Pertempuran sengit dilaporkan berlaku di wilayah Taiz pada 1 Oktober apabila tentera pemerintah Yaman bertempur dengan Houthi di beberapa medan.

Tentera pemerintah berkata mereka berjaya menangkis serangan besar Houthi di beberapa kawasan, termasuk daerah Jabal Habashi dan Maqbanah serta kawasan di selatan dan sekitar bandar Taiz.

Angka korban yang diumumkan pihak bertelagah belum dapat disahkan secara bebas.

Peningkatan pertempuran turut memburukkan krisis kemanusiaan yang berpanjangan di Yaman.

Konflik itu bermula selepas Houthi menawan ibu kota Sanaa pada 2014, sebelum pakatan pimpinan Arab Saudi campur tangan secara ketenteraan pada tahun berikutnya bagi menyokong pemerintah Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Usaha diplomatik masih diteruskan bagi menghalang konflik daripada merebak.

Utusan khas PBB ke Yaman, Encik Hans Grundberg, baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan perunding Houthi di Muscat serta pegawai Arab Saudi ketika PBB berusaha meredakan peningkatan ketegangan.

Dalam perkembangan berkaitan, Arab Saudi mengumumkan bantuan belanjawan lebih 224 juta riyal ($75.9 juta) kepada pemerintah Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Duta Arab Saudi ke Yaman, Encik Mohammed Al-Jabir, berkata bantuan itu bertujuan memastikan aliran dana pemerintah terus berjalan, meningkatkan kecekapan dasar fiskal dan membantu memperkukuh kuasa beli rakyat Yaman.

Serangan ke atas Madinah dan pertempuran terbaru di Taiz menunjukkan konflik Yaman kini sekali lagi mempunyai kesan yang melangkaui sempadan negara itu, dengan keselamatan Arab Saudi serta laluan perkapalan strategik di Laut Merah turut berdepan tekanan. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti