RIYADH: Ketegangan di Timur Tengah terus memuncak apabila kumpulan Houthi di Yaman mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi, tindakan yang boleh menjejaskan laluan perdagangan dan bekalan tenaga dunia, selain membuka satu lagi medan konflik di rantau itu.

Arab Saudi segera mengecam pengumuman berkenaan dan menolak dakwaan Houthi bahawa kerajaan itu mengepung rakyat Yaman melalui sekatan darat, laut dan udara.

Dalam kenyataan pada 20 Julai, Kementerian Luar Arab Saudi menegaskan dakwaan itu tidak berasas dan mengesahkan kerajaan akan mengambil “semua langkah yang perlu” bagi melindungi kapal serta kepentingan maritimnya mengikut undang-undang antarabangsa.

“Kami menolak dakwaan bahawa Arab Saudi mengenakan sekatan ke atas Yaman. Kerajaan akan mengambil semua langkah yang diperlukan untuk melindungi kapal-kapalnya,” menurut kenyataan itu.

Jurucakap tentera Houthi, Encik Yahya Saree, sebelum itu mengumumkan kumpulan berkenaan melaksanakan “sekatan maritim terhadap musuh Arab Saudi” berkuat kuasa serta-merta sebagai tindak balas terhadap apa yang didakwanya sebagai sekatan berpanjangan ke atas Yaman.

Beliau turut memberi amaran bahawa sebarang tindakan balas oleh Riyadh akan dibalas dengan peningkatan serangan yang lebih besar.

Walaupun Houthi tidak menjelaskan bentuk sekatan itu, pengumuman berkenaan mencetuskan kebimbangan kerana kumpulan itu menguasai kawasan berhampiran Selat Bab al-Mandab, laluan strategik yang menghubungkan Teluk Aden dengan Laut Merah sebelum menuju ke Terusan Suez.

Laluan itu mengendalikan sebahagian besar perdagangan dunia, termasuk penghantaran minyak dari Timur Tengah ke Eropah dan Asia.

Jurucakap gabungan tentera pimpinan Arab Saudi, Encik Turki al-Malki, memberi amaran bahawa sebarang ancaman terhadap kapal yang melalui laluan itu akan ditangani dengan “tegas dan menggunakan kekuatan”.

Ketegangan terbaharu itu berlaku hanya beberapa hari selepas gencatan senjata selama hampir empat tahun antara Arab Saudi dan Houthi runtuh berikutan pertukaran serangan udara serta pelancaran peluru berpandu.

Houthi mendakwa Arab Saudi mengebom lapangan terbang utama di Sanaa bagi menghalang pesawat Iran mendarat, sebelum kumpulan itu bertindak melancarkan peluru berpandu balistik ke arah sebuah lapangan terbang di selatan Arab Saudi.

Konflik itu turut dikaitkan dengan perang serantau yang semakin meluas susulan pertempuran antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel.

Penganalisis kanan Yaman daripada Kumpulan Krisis Antarabangsa, Encik Ahmed Nagi, berkata tindakan Houthi lebih berkait rapat dengan kepentingan strategik Iran berbanding isu domestik Yaman.

“Jika konfrontasi ini melibatkan Selat Bab al-Mandab, kesannya bukan sahaja dirasai Arab Saudi tetapi juga perdagangan global,” katanya.

Menurut firma data maritim Kpler, Arab Saudi kini mengeksport lebih 3.6 juta tong minyak sehari melalui Bab al-Mandab selepas mengalihkan sebahagian besar eksportnya dari Selat Hormuz yang turut terjejas akibat konflik.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, lebih 70 peratus eksport minyak mentah Arab Saudi dihantar melalui pelabuhan Yanbu di Laut Merah, bersamaan kira-kira empat juta tong sehari.

Secara keseluruhan, sekitar 7.4 juta tong petroleum sehari melalui Selat Bab al-Mandab pada Jun lalu, mewakili kira-kira tujuh peratus pengeluaran minyak dunia.

Semasa perang Gaza yang bermula pada penghujung 2023, Houthi menyerang kapal dagang di Laut Merah menggunakan peluru berpandu, dron dan bot laju sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin.

Serangan itu menyebabkan empat kapal tenggelam, sembilan anak kapal terbunuh dan memaksa banyak syarikat perkapalan mengubah laluan mengelilingi Tanjung Harapan di selatan Afrika, sekali gus meningkatkan kos penghantaran global.

Walaupun serangan berkurangan selepas gencatan senjata Gaza tahun 2025, jumlah kapal yang menggunakan laluan Bab al-Mandab masih belum pulih ke paras sebelum konflik.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan itu.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Encik Stephane Dujarric, menggesa semua pihak mengelakkan peningkatan ketegangan dan menyelesaikan pertikaian melalui dialog serta diplomasi.

“Kami amat bimbang terhadap ancaman baharu Houthi terhadap Arab Saudi, kebebasan pelayaran dan risiko konflik serantau yang lebih besar.

“Sebarang sekatan di Laut Merah akan menjejaskan penghantaran bantuan kemanusiaan, perdagangan antarabangsa serta bekalan tenaga dunia,” katanya.

Beliau berkata Utusan Khas PBB ke Yaman, Encik Hans Grundberg, kini berada di Muscat, Oman, bagi meneruskan usaha diplomatik selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Arab Saudi dan wakil lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB bagi mengelakkan konflik Yaman terus terheret ke dalam perang serantau yang semakin meruncing. – Agensi berita.