ADEN: Houthi melancarkan serangan peluru berpandu balistik dan dron sarat bahan letupan ke atas lapangan terbang antarabangsa di Aden, selatan Yaman, awal 7 Oktober, ketika pertempuran dengan tentera pemerintah yang disokong Arab Saudi semakin sengit di beberapa medan.

Kementerian Pengangkutan Yaman berkata satu peluru berpandu jatuh berhampiran landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Aden hanya beberapa minit sebelum sebuah pesawat dari Kaherah dijadualkan mendarat.

Pihak berkuasa membatalkan pendaratan itu dan mengalihkan pesawat berkenaan ke Jeddah sebagai langkah keselamatan.

Dua pesawat yang berada di landasan turut dipindahkan kerana bimbang serangan susulan.

Tiada laporan segera mengenai korban atau kerosakan besar akibat serangan itu dan Houthi belum memberikan komen mengenai dakwaan serangan ke atas Aden.

Lapangan Terbang Antarabangsa Aden merupakan pintu masuk utama penerbangan antarabangsa bagi kawasan Yaman yang berada di luar kawalan Houthi.

Serangan itu berlaku ketika perang Yaman yang berlarutan selama 12 tahun kembali meningkat selepas tentera pemerintah melancarkan serangan balas pantas minggu ini dengan sokongan udara pakatan pimpinan Arab Saudi.

Operasi itu bertujuan merampas semula kawasan strategik di sepanjang pantai Laut Merah, khususnya sekitar Selat Bab el-Mandeb dan bandar pelabuhan Mocha.

Bab el-Mandeb merupakan laluan perkapalan strategik yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan menjadi antara laluan penting perdagangan serta penghantaran tenaga dunia.

Pemerintah Yaman berkata operasi terbaru berjaya memaksa Houthi berundur dari beberapa kawasan yang ditawan kumpulan itu bulan lalu.

Perkembangan itu sekali gus menghidupkan semula pertempuran besar dalam konflik yang telah memecahbelahkan Yaman dan mencetuskan antara krisis kemanusiaan paling buruk di dunia.

Ketegangan turut merebak ke Arab Saudi apabila pakatan pimpinan Riyadh berkata sistem pertahanannya memintas dan memusnahkan sebuah peluru berpandu balistik Houthi di utara ibu negara itu.

Pakatan berkenaan berkata ia sedang menjejaki tapak pelancaran peluru berpandu tersebut di Sanaa yang dikuasai Houthi dan berikrar memusnahkannya.

Tiada maklumat segera diberikan mengenai korban atau kerosakan.

Jurucakap tentera Houthi, Encik Yahya Saree, pula mendakwa kumpulan itu menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh menggunakan beberapa dron.

Pihak berkuasa Arab Saudi belum mengesahkan dakwaan bahawa lapangan terbang berkenaan menjadi sasaran.

Terdahulu pada 7 Oktober, pakatan pimpinan Arab Saudi turut berkata ia memintas dan memusnahkan sebuah lagi peluru berpandu balistik Houthi yang dilancarkan ke arah bandar Khamis Mushait di barat daya Arab Saudi, menurut laporan televisyen pemerintah Saudi.

Encik Saree dalam kenyataan berasingan mendakwa Houthi turut menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Abha dan sebuah pangkalan udara di Khamis Mushait menggunakan peluru berpandu balistik serta dron.

Belum dapat dipastikan sama ada dakwaan serangan ke Khamis Mushait itu merujuk kepada peluru berpandu sama yang menurut pakatan berjaya dipintas.

Pihak berkuasa Saudi juga belum mengesahkan dakwaan serangan terhadap Lapangan Terbang Abha.

Houthi menguasai sebahagian besar utara Yaman, termasuk Sanaa yang ditawan kumpulan itu pada 2014.

Perkembangan tersebut mendorong pakatan tentera pimpinan Arab Saudi campur tangan pada tahun berikutnya bagi menyokong pemerintah Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Riyadh ketika itu bimbang pengaruh Iran semakin berkembang di negara jirannya serta ketidakstabilan di sepanjang sempadan selatan Arab Saudi.

Gencatan senjata yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022 berjaya mengurangkan pertempuran besar secara ketara, tetapi gagal menghasilkan penyelesaian politik berkekalan.

Pertempuran kembali meningkat susulan limpahan konflik melibatkan Iran di rantau itu, sekali gus membuka semula beberapa medan perang di Yaman.

Pakatan pimpinan Arab Saudi menuduh Tehran membekalkan senjata, latihan dan dana kepada Houthi.

Houthi menafikan kumpulan itu sebahagian daripada rangkaian kumpulan proksi Iran di Timur Tengah dan mendakwa senjata, termasuk peluru berpandu serta dron, dibangunkan sendiri.

Iran turut menolak tuduhan bahawa ia mengawal atau mempersenjatai kumpulan tersebut.

Serangan terbaru ke atas Aden dan dakwaan serangan terhadap beberapa sasaran di Arab Saudi menunjukkan konflik Yaman sekali lagi berisiko melangkaui medan pertempuran dalam negara itu.

Ia juga berlaku ketika tentera pemerintah Yaman, dengan sokongan pakatan pimpinan Arab Saudi, berusaha merampas semula kawasan pantai strategik daripada Houthi, menjadikan Bab el-Mandeb antara medan paling penting dalam fasa terbaru perang berkenaan.