Topik diikuti
Pergi ke BHkuHubungan Bangladesh-India kembali tegang akibat sidang media Hasina
DHAKA: Hubungan diplomatik antara Bangladesh dan India kembali tegang selepas Dhaka mengecam tindakan New Delhi yang membenarkan bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, mengadakan sidang media secara langsung dari India.
Pemerintah Bangladesh menyifatkan tindakan itu sebagai langkah yang menjejaskan usaha memulihkan hubungan dua hala, selain mencetuskan kemarahan rakyat yang masih terkesan dengan peristiwa kebangkitan rakyat yang menamatkan pemerintahan Cik Hasina pada 2024.
Kementerian Luar Bangladesh dalam satu kenyataan pada malam 4 Ogos berkata, pihaknya amat kesal kerana India tetap membenarkan sidang media itu berlangsung walaupun Dhaka sebelum ini telah menyuarakan kebimbangan mengenai kesannya terhadap hubungan antara kedua-dua negara.
Menurut kementerian itu,Cik Hasina yang telah disabitkan bersalah atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan di Bangladesh tidak sepatutnya diberi ruang untuk membuat kenyataan serta mengemukakan dakwaan terhadap negara dan rakyat Bangladesh.
“Dhaka amat kesal kerana walaupun kebimbangan telah dimaklumkan lebih awal kepada pemerintah India mengenai implikasi acara ini terhadap usaha memulihkan hubungan dua hala, program itu tetap dibenarkan berlangsung.
“Memberikan peluang kepada beliau untuk berinteraksi secara terbuka dengan media atas apa juga alasan adalah sesuatu yang amat menyentuh perasaan rakyat kami serta menjejaskan usaha membina hubungan dua hala yang harmoni antara Bangladesh dan India,” menurut kenyataan itu.
Dhaka turut menyifatkan tindakan membenarkan siaran langsung itu dibuat dari wilayah India sebagai satu penghinaan terhadap kedaulatan Bangladesh serta satu penghinaan kepada mangsa yang terkorban ketika kebangkitan rakyat pada 2024.
Cik Hasina mengadakan sidang media maya dari New Delhi pada 4 Ogos sempena ulang tahun kedua kejatuhan pemerintahannya.
Dalam ucapan itu, beliau berikrar akan kembali ke Bangladesh walaupun kini hidup dalam buangan di India.
Bekas pemimpin itu melarikan diri ke India pada Ogos 2024 selepas kebangkitan besar-besaran yang dipimpin pelajar menamatkan pemerintahan beliau selama 15 tahun.
Pada 2025, sebuah tribunal khas di Bangladesh menjatuhkan hukuman mati secara tanpa kehadiran terhadap Hasina selepas beliau didapati bersalah atas jenayah terhadap kemanusiaan susulan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan yang mengorbankan ramai nyawa.
Sejak itu, Dhaka berulang kali mengemukakan permohonan supaya India mengekstradisi Hasina mengikut perjanjian ekstradisi yang dimeterai pada 2013.
Bagaimanapun, pemerintah Bangladesh berkata permintaan tersebut masih belum menerima sebarang maklum balas daripada India.
Sementara itu, India menegaskan bahawa pemerintahnya tidak mempunyai sebarang peranan dalam penganjuran sidang media berkenaan.
Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar India, Encik Randhir Jaiswal, berkata pemerintah India tidak terlibat sama sekali dalam acara tersebut dan tidak menyokong sebarang pandangan yang disampaikan oleh Hasina.
“Pemerintah tidak mempunyai sebarang penglibatan dalam sidang media itu. Kami juga tidak menyokong apa-apa pandangan yang mungkin dikemukakan dalam forum tersebut,” katanya.
Kementerian Hal Ehwal Luar India pula belum memberikan ulasan lanjut terhadap kenyataan terbaru Bangladesh.
Untuk tempoh yang lama, New Delhi mengekalkan hubungan rapat dengan pemerintahan Hasina.
Namun, kehadiran beliau di India selepas digulingkan terus menjadi isu sensitif yang menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Sejak perubahan pemerintahan di Dhaka, kedua-dua negara berusaha memperbaiki hubungan.
Perdana Menteri Bangladesh, Encik Tarique Rahman, dijangka melakukan lawatan rasmi pertamanya ke India pada September ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS atas jemputan sebagai Pengerusi Inisiatif Teluk Bengal bagi Kerjasama Teknikal dan Ekonomi Pelbagai Sektor (BIMSTEC).
Bagaimanapun, pertikaian berhubung status Cik Hasina dijangka terus menjadi cabaran utama dalam usaha memulihkan hubungan antara kedua-dua negara.
Pada masa sama, ikrar Hasina untuk kembali ke Bangladesh turut mencetuskan persoalan mengenai masa depan parti Liga Awami yang kini diharamkan, selain menunjukkan bahawa usaha memperbaiki hubungan diplomatik antara Dhaka dan New Delhi masih rapuh serta mudah terjejas oleh perkembangan politik melibatkan bekas pemimpin itu. - Agensi berita
