Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hujan lebat, angin sejuk kian mencabar penduduk Gaza

Dec 14, 2023 | 2:39 PM
TERUS DIUJI: Rakyat Palestin yang melarikan diri daripada pengeboman berterusan tentera Israel, semakin menghadapi cabaran ekoran hujan lebat yang menyebabkan khemah-khemah digenangi air banjir.
TERUS DIUJI: Rakyat Palestin yang melarikan diri daripada pengeboman berterusan tentera Israel, semakin menghadapi cabaran ekoran hujan lebat yang menyebabkan khemah-khemah digenangi air banjir. - Foto REUTERS

GAZA: Hujan lebat dan angin kencang semalaman di Gaza semakin mencabar penduduk Palestin yang hidup berpindah-randah dengan kawasan khemah mereka dilanda banjir.

Di sebuah perkhemahan di Rafah, yang terletak di kawasan berpasir penuh sampah, para penduduk kelihatan membubuh pasir bagi mengisi lopak di dalam atau di sekeliling khemah mereka, di samping menyidai pakaian yang basah.

Sesetengah keluarga mempunyai khemah yang sesuai, tetapi yang lain menggunakan tarpaulin atau plastik nipis dan lutsinar yang digunakan untuk menutup barangan, namun tidak sesuai untuk dijadikan tempat mereka berlindung.

Banyak khemah tidak mempunyai alas bagi permukaan tanah. Maka ramai bermalam di atas pasir yang basah.

Salah seorang daripada mereka, Cik Aziza al-Shabrawi, berusaha mengeluarkan air hujan dari khemah keluarganya.

Sambil menunjuk ke arah dua anaknya wanita berusia 38 tahun itu berkata: “Anak saya sakit kerana selesema dan anak perempuan saya berkaki ayam seperti pengemis. Tiada siapa yang peduli, dan tiada siapa yang membantu.”

Bagi Cik Yasmin Mhani pula, beliau terjaga pada waktu malam dan mendapati anaknya yang berusia tujuh bulan basah kuyup.

Keluarganya yang terdiri daripada lima orang berkongsi selimut selepas rumah mereka musnah akibat serangan udara Israel dan mereka kehilangan seorang anggota keluarga serta semua harta benda.

“Rumah kami musnah dan ini adalah tempat kelima kami terpaksa berpindah, melarikan diri dari satu tempat ke tempat lain, dengan hanya memakai kemeja-T,” katanya sambil menyidai pakaian basah di luar khemahnya.

Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan orang ramai mengharungi jalan yang dinaiki air ketika mereka membawa anggota keluarga yang terbunuh dalam pengeboman Israel.

Hujan lebat dan angin kencang menyukarkan usaha untuk mengebumikan jenazah.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata berpuluh-puluh ribu rakyat Palestin telah melarikan diri ke Rafah, selatan Gaza, tetapi berdepan dengan cabaran – menunggu berjam-jam di sekitar pusat pengagihan bekalan air, makanan dan bantuan perubatan yang tidak seberapa, manakala penyakit berjangkit berleluasa dek kemelaratan hidup, diburukkan lagi oleh hujan dan banjir. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg