Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hujan lebat, banjir kilat ragut 45 nyawa di Pakistan

Jun 30, 2025 | 11:14 AM
banjir, Pakistan, perubahan iklim
Para penunggang dan pengguna jalan raya meredah jalan yang dilanda banjir selepas hujan lebat melanda Karachi, ibu kota Pakistan, pada 28 Jun 2025. - Foto AFP

ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 45 orang maut di serata Pakistan sejak bermulanya musim monsun beberapa hari lalu.

ia termasuk ramai kanak-kanak yang menjadi mangsa tanah runtuh dan banjir kilat, kata pihak berkuasa pengurusan bencana negara itu pada 29 Jun.

Wilayah paling terjejas ialah Khyber Pakhtunkhwa yang bersempadan dengan Afghanistan di mana 21 mangsa maut termasuk 10 kanak-kanak.

Di kawasan Lembah Swat, 14 orang maut apabila banjir kilat melanda tebing sungai, menghanyutkan keluarga yang berada di kawasan itu.

“Banjir kilat telah memusnahkan beberapa kawasan dalam masa yang sangat singkat,” kata jurucakap Rescue 1122, Encik Bilal Faizi.

“Kami berjaya menyelamatkan empat mangsa, 12 mayat telah ditemui dan seorang lagi masih hilang.”

Dalam satu kejadian, mayat seorang kanak-kanak yang dihanyutkan arus deras Sungai Swat pada 27 Jun telah ditemui di Charsadda dan dihantar ke hospital tempatan.

“Mayat akan dibawa pulang ke kampung halamannya menggunakan ambulans,” kata Encik Faizi.

“Operasi mencari seorang lagi mangsa masih diteruskan.”

Di wilayah Punjab, yang paling padat penduduk di Pakistan, 13 orang maut sejak 25 Jun, lapan daripadanya kanak-kanak yang terperangkap dalam runtuhan bumbung dan dinding rumah ketika hujan lebat. Selebihnya maut akibat banjir kilat.

Sindh dan Balochistan turut merekodkan 11 kematian berkaitan hujan monsun.

Di Lower Dir, mayat seorang lelaki muda yang lemas dua hari lalu di sungai banjir turut ditemui di Charsadda.

Dalam kejadian lain di Hazara, Khyber Pakhtunkhwa, dua remaja maut akibat lemas di Sungai Indus.

Seorang daripada mereka dipercayai terjun untuk menyejukkan badan, sebelum dihanyutkan arus deras.

Rakan yang cuba menyelamatnya turut lemas.

Remaja ketiga yang cuba membantu, hampir lemas tetapi berjaya kembali ke tebing sungai.

“Penduduk kampung kini membantu operasi mencari mangsa hilang,” jelas jurucakap penyelamat, Encik Rabnawaz Yousufzai.

Menurut pihak Pengurusan Bencana Wilayah (PDMA) Khyber Pakhtunkhwa, lebih banyak hujan dan banjir dijangka berlaku dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang di beberapa daerah termasuk Swat, Chitral, Abbottabad, Mansehra, Peshawar, Bannu dan Waziristan.

“Paras air Sungai Swat dan anak sungainya dijangka meningkat. Banjir tanah dan limpahan sungai kecil mungkin berlaku di kawasan pergunungan,” kata kenyataan PDMA.

PDMA telah mengeluarkan amaran kepada pentadbiran daerah, mengarahkan supaya langkah berjaga-jaga diambil termasuk mengawal lalu lintas di kawasan berisiko, membersihkan sistem perparitan bagi mengelak banjir bandar dan memastikan penyebaran maklumat cuaca dalam bahasa tempatan.

Orang awam disaran berlindung di kawasan selamat ketika ribut petir dan hujan batu.

Petani pula diminta menuai hasil lebih awal dan simpan di tempat terlindung, manakala penternak diingatkan agar melindungi ternakan mereka.

Jabatan Meteorologi turut memberi amaran bahawa risiko hujan lebat dan banjir kilat dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga 5 Julai.

Pakistan, dengan lebih 240 juta penduduk, terus menjadi antara negara paling terdedah kepada kesan perubahan iklim sejagat dan semakin kerap berdepan cuaca ekstrem seperti ribut, banjir dan kemarau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg