Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Hujan lebat, banjir ragut nyawa penduduk Kelantan, Thailand

Dec 20, 2022 | 05:30 AM



KOTA BHARU (Kelantan): Hujan lebat dan banjir yang melanda Kelantan dan Thailand sejak beberapa hari lalu mula meragut nyawa penduduk.



Di Tumpat, tiga beradik perempuan maut, dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di luar rumah mereka yang dilanda banjir di Kampung Bendang Surau dekat Morak, di sini, pagi semalam.



Kesemua mangsa berusia di antara 20 hingga 27 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian itu, kira-kira 11.45 pagi.



Difahamkan, seorang daripada mangsa terkena renjatan elektrik selepas memegang tiang rumah sebelum terkena pula kepada dua adiknya yang turut berada di hadapan rumah.



Ahli keluarga mangsa, Encik Mohd Amin Mohd Nazir, 25 tahun, ketika ditemui mengesahkan kejadian itu.



Perparitan kurang terurus dan hujan lebat berterusan dalam tempoh singkat menyebabkan banjir di beberapa daerah di Kelantan, termasuk kawasan yang tidak pernah bah.



Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata banjir tahun ini agak luar biasa.



"Banjir kali ini agak luar biasa mungkin kerana hujan yang lebat dan dalam tempoh yang sekejap. Saya tanya mangsa, ada kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air, contohnya di Taman Kemahiran, Panji.



"Sebelum ini, penduduk kawasan itu tidak sampai berpindah. Kali ini mereka kena pindah, bagi kita itu luar biasa. Alhamdulillah, semua selamat setakat ini.



"Kedua, isu perparitan kerana ada sesetengah kawasan, parit dah ada tetapi ia tidak dijaga dengan baik. Kadang-kadang penduduk sendiri membuang sampah dan ada yang sambung rumah menyebabkan parit tertutup. Sesetengah kawasan memang tidak cukup perparitan," katanya yang ditukil Berita Harian Malaysia (BHM).



Beliau berkata kerajaan negeri juga meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenal pasti kawasan seluruh Kelantan yang perlu diutamakan projek mengurangkan kesan banjir.



Tinjauan di Pasir Mas mendapati Pasaraya Pantai Timur dipenuhi pengunjung sejak jam 9 pagi semalam, menyebabkan keadaan agak sesak.



Malah di sekitar pekan Pasir Mas didapati banyak premis perniagaan ditutup dipercayai kediaman pemiliknya, turut dilanda banjir.



Penduduk, Encik Syahman Kamaruddin, 42 tahun, berkata seawal jam 10 pagi beliau sudah sampai di pasar raya itu membeli barangan makanan asas kerana bimbang banjir semakin buruk.



"Melihat keadaan hujan yang tidak berhenti sejak semalam menyebabkan saya takut berlaku banjir teruk sebagaimana pada 2014," katanya.



Sementara itu, hujan lebat berterusan telah mencetuskan banjir di seluruh wilayah di Thailand dan menyebabkan lebih 15,000 isi rumah terjejas, lapor AstroAwani kelmarin.



Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) dalam satu kenyataan yang dipetik penyiaran berita itu, menyiarkan lapan wilayah tersebut ialah Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Yala, Songkhla, Narathiwat, dan Pattani di Selatan Thailand serta Amnat Charoen (timur laut) dan Chanthaburi (timur).



Komander Renjer Regimen Ke-45 Thailand, Kolonel Thawirat Benjatikul, berkata kelmarin, tiga maut manakala dua terselamat apabila kenderaan yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras yang melanda Narathiwat.



Beliau berkata mangsa sekeluarga termasuk seorang wanita berusia 68 tahun bersama anak lelakinya, 40 tahun, menantunya, 38 tahun, serta dua cucunya - 14 dan dua tahun.



Sementara itu, gabenor Surat Thani, Encik Wichawut Jinto, mengarahkan semua bot untuk tidak turun ke laut susulan ombak tinggi.



Perkhidmatan feri turut dihentikan buat sementara waktu, katanya.



Jabatan Meteorologi juga mengeluarkan amaran hujan berterusan dan hujan lebat di beberapa kawasan terpencil di Selatan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >