Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hujan lebat jejas usaha pembersihan selepas banjir besar Sri Lanka

Dec 5, 2025 | 3:05 PM
Taufan Ditwah, bandar Gampola, daerah Kandy,
Seorang penduduk membersihkan lumpur dari sebuah rumah selepas banjir kilat susulan Taufan Ditwah di bandar Gampola, daerah Kandy, pada 4 Disember. - Foto AFP

COLOMBO: Hujan lebat kembali melanda Sri Lanka pada 5 Disember, menjejas operasi pembersihan besar-besaran selepas banjir dan tanah runtuh minggu lalu mengorbankan hampir 500 orang, kata pihak berkuasa.

Dalam tempoh 15 jam sehingga malam 4 Disember, wilayah selatan negara itu mencatat taburan hujan sehingga 132 milimeter hujan, namun pihak berkuasa berkata banjir besar yang berlaku sejak 29 November lalu kini mulai surut.

Pusat Pengurusan Bencana (DMC) mengesahkan 486 orang maut, manakala 341 lagi masih hilang selepas Taufan Ditwah melanda pulau tersebut pada 29 November.

Jumlah mangsa di pusat penempatan sementara pemerintah turut berkurang kepada 170,000 orang, berbanding kemuncaknya seramai 225,000 orang di Colombo dan kawasan sekitarnya.

Presiden Anura Kumara Dissanayake menyifatkan bencana itu sebagai “cabaran alam paling besar dalam sejarah negara,” selepas hujan mencatat rekod sekali gus mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh di seluruh negara.

Penduduk kawasan perbukitan yang terdedah kepada tanah runtuh diminta tidak kembali ke rumah, walaupun kediaman mereka tidak rosak, kerana cerun bukit masih tidak stabil.

Di bandar Gampola, penduduk bertungkus lumus membersihkan lumpur dan air dari rumah masing-masing.

“Kami menerima sukarelawan dari kawasan lain untuk membantu pembersihan ini,” kata pegawai masjid, Encik Faleeldeen Qadiri, kepada agensi berita, AFP, di Masjid Gate Jumma.

Seorang sukarelawan, Encik Rinas, berkata proses membersihkan sebuah rumah amat memenatkan.

“Sepuluh orang diperlukan sehari suntuk untuk membersihkan sebuah rumah. Tiada sesiapa mampu melakukannya seorang diri,” katanya.

Pesuruhjaya Perkhidmatan Asas, Encik Prabath Chandrakeerthi, berkata pemerintah membayar 25,000 rupee ($104) untuk membersihkan setiap rumah, sementara kos pembinaan semula dianggar mencecah AS$6 bilion ($7.7 bilion) hingga AS$7 bilion.

Lebih 50,000 rumah rosak, dan 2.5 juta rupee disalurkan kepada penduduk untuk memulakan pembinaan semula rumah yang musnah.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 4 Disember berkata ia sedang menilai keperluan ekonomi negara selepas bencana besar itu.

Mesyuarat lembaga IMF masih dijadual pada 15 Disember untuk menyemak pinjaman semasa.

Jurucakap IMF, Cik Julie Kozack, berkata organisasi itu sedang “mengkaji pilihan bantuan tambahan” untuk membantu pemulihan Sri Lanka.

Menurut pejabat Chandrakeerthi, hampir tiga perempat bekalan elektrik telah dipulihkan, tetapi beberapa kawasan di wilayah Tengah masih bergelap.

Penduduk Kampung Kithulbadde pula berkata mereka “ditinggalkan tanpa bantuan,” dan masih berlindung di pusat penempatan kerana prasarana rosak teruk.

“Orang ramai takut untuk pulang, mereka rasa tidak selamat,” kata penduduk Kithulbadde, Encik Madullegedera Chandralatha, 57 tahun.

Desa itu dikelilingi ladang teh dan perbukitan, menjadikannya sangat terdedah kepada bencana.

Taufan Ditwah telah memberi kesan kepada 1.2 juta penduduk dan merosakkan ribuan rumah.

Pemerintah Sri Lanka mengesahkan 1,289 rumah musnah, manakala 44,500 lagi rosak sebahagian.

Data itu akan digunakan untuk merangka penyelesaian jangka panjang bagi kawasan berisiko tinggi.

Di Kithulbadde, Encik Prasanna Shantha Kumara, 48 tahun, menunjukkan dinding rumahnya yang retak dan ruang tamu yang dipenuhi kesan rekahan.

“Saya kehilangan rumah, tanaman saya musnah… Bagaimana kami mahu hidup begini? Kami perlukan bantuan,” katanya kepada agensi berita, Reuters.

Beliau kini berulang-alik setiap hari antara rumahnya dengan pusat penempatan bersama isterinya dan tiga anak, sambil cuba menyelamatkan tanaman cili yang mati akibat banjir.

Pakar dari Pertubuhan Penyelidikan Bangunan Kebangsaan, Dr Gamini Jayatissa, memberi amaran rekahan tanah boleh menyebabkan tanah runtuh baru jika hujan berterusan.

Penduduk pula menolak cadangan berpindah.

“Ke mana kami mahu pergi? Kami dikelilingi bukit… kami tidak mampu tinggalkan segalanya dan mula hidup baru,” kata Cik Vasanthi Kumari, 54 tahun. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg