Topik diikuti
Pergi ke BHkuHukuman penjara pengasas Gojek Indonesia dikurangkan kepada sembilan tahun
Hukuman penjara pengasas Gojek Indonesia dikurangkan kepada sembilan tahun
JAKARTA: Sebuah mahkamah Indonesia mengurangkan hukuman penjara pengasas Gojek dan bekas Menteri Pendidikan, Encik Nadiem Makarim, daripada 10 tahun kepada sembilan tahun dalam keputusan rayuan berhubung kes rasuah perolehan komputer riba untuk sekolah, pada 24 September.
Encik Nadiem sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada Jun selepas mahkamah mendapati beliau bersalah menyalahgunakan kuasa dalam urusan perolehan komputer riba Google Chromebook untuk sekolah di Indonesia, sehingga menyebabkan kerugian negara sebanyak AS$125 juta (S$160 juta).
Beliau mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Jakarta pada 1 Julai bagi mencabar keputusan tersebut.
Bagaimanapun, seorang hakim, Encik Catur Iriantoro, berkata mahkamah menolak permohonan Encik Nadiem supaya semua pertuduhan terhadapnya digugurkan.
Menurut beliau, keputusan mahkamah terdahulu adalah selaras dengan fakta yang dibuktikan sepanjang perbicaraan, bukti yang dikemukakan serta keterangan saksi.
Seorang lagi hakim, Encik Subachran Hardi Mulyana, berkata mahkamah turut mengurangkan jumlah wang ganti rugi yang perlu dibayar Encik Nadiem daripada 809 bilion rupiah (S$58 juta) kepada 548 bilion rupiah.
Selepas prosiding itu, Encik Nadiem melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan mahkamah dan memberitahu wartawan bahawa beliau akan mengemukakan rayuan lanjut kepada Mahkamah Agung Indonesia.
“Mangsa sekarang bukan lagi saya seorang, tetapi juga kredibiliti sistem penguatkuasaan undang-undang di Indonesia,” katanya.
Mahkamah turut mengekalkan keputusan terdahulu bahawa Encik Nadiem telah mengubah syarat tender perolehan komputer riba bagi memberi kelebihan kepada sistem operasi Chrome.
Menurut keputusan mahkamah, tindakan itu memberi manfaat kepada Google dan mengehadkan persaingan dalam proses perolehan berkenaan. - Agensi berita