Topik diikuti
Pergi ke BHkuHumanity Matters perluas bantuan sanitasi, makanan bagi mangsa gempa Filipina
Humanity Matters perluas bantuan sanitasi, makanan bagi mangsa gempa Filipina
Humanity Matters perluas bantuan sanitasi, makanan bagi mangsa gempa Filipina
Pertubuhan kemanusiaan serantau yang berpangkalan di Singapura, Humanity Matters (HM), serta rakan kongsinya di Filipina telah memulakan pengembangan dan peluasan projek bantuan sanitasi dan pemakanan pada 18 Jun di seluruh wilayah Sarangani yang dilanda gempa bumi.
Projek tersebut turut melibatkan perbandaran Glan yang paling teruk terjejas baru-baru ini.
Glan sedang mengalami fenomena geologi dan hidrologi semula jadi berganda — empangan tanah runtuh dan daratan pantai yang ternaik. Ini sedang unit kejuruteraan dan tentera tempatan secara aktif dan segera menangani serta mengurangkan bahaya yang boleh berlaku.
Dalam kenyataan media pada 26 Jun, HM berkata bahawa memandangkan bilangan besar orang yang dipindahkan secara dalaman (IDP) yang sedang mencari tempat perlindungan di pusat pemindahan, gabungan bantuannya telah meningkatkan penyediaan tandas mudah alih daripada lapan ke 20.
Ini demi memenuhi keperluan kebersihan dan maruah diri, serta penjagaan kesihatan awam dengan lebih baik.
Semua tandas diperiksa setiap hari, termasuk pembersihan sisa daripada tangki septik dan pengisian semula tangki air untuk mencuci tangan dan menyiram, serta pembersihan fizikal tandas.
Selain itu, sebuah dapur pusat masyarakat telah ditubuhkan untuk menyediakan dan mengagihkan makanan segar yang telah dimasak kepada masyarakat yang kehilangan tempat tinggal di pusat pemindahan.
Dengan kerjasama Jabatan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (DSWD) tempatan, gabungan bantuan itu telah bersama-sama membantu lebih 3,200 IDP setiap hari.
Timbalan Pengerusi HM, Encik Gurmit Singh, berkata: “Dalam mewujudkan dapur pusat masyarakat, gabungan bantuan kami telah mendapatkan bimbingan daripada pakar diet, pakar pemakanan dan unit keselamatan makanan tempatan.
“Semasa waktu-waktu sukar di mana orang ramai dipenuhi dengan kebimbangan dan mengalami perubahan keadaan cuaca, adalah penting untuk mereka mempunyai makanan dan diet yang betul agar kekal cergas dan sihat.”
Menyentuh isu tempat tinggal pula, Encik Singh menambah: “Memandangkan ruang kediaman yang sesak di pusat pemindahan disebabkan oleh banyaknya perpindahan, sekiranya sesiapa sahaja menghidap penyakit, ia boleh merebak dengan lebih mudah dan menjejaskan orang lain di sekeliling mereka.
“Di samping itu, kami berusaha untuk melibatkan seberapa ramai orang dari masyarakat yang terjejas dengan melibatkan mereka sebagai sukarelawan, baik belia mahupun warga emas, untuk menyokong penyediaan makanan, memasak, membungkus dan mengagihkan makanan.
“Aktiviti sukarelawan ini berusaha untuk menangani aspek psiko-sosio mangsa yang terjejas, dan mengekalkan nilai diri dan tujuan mereka melalui penglibatan yang bermakna, sambil memperoleh sedikit pendapatan semasa fasa bantuan akut bencana ini, dan bukannya terbeban dengan trauma mereka.”
Bencana gempa bermagnitud 7.8 yang melanda Filipina pada 8 Jun lalu telah meragut sekurang-kurangnya 81 nyawa dan melumpuhkan kehidupan ribuan penduduk.
Kejadian yang berpusat di luar pesisir Mindanao itu menyebabkan kerosakan bangunan yang meluas dan mencetuskan amaran tsunami di kawasan sekitar.
