Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hutan semula jadi Indonesia ditebang bagi tujuan perlombongan

Jul 15, 2024 | 5:30 AM
Gambaran dari udara penebangan pokok yang menjejas hutan di daerah Ketapang, Kalimantan Barat. Kegiatan penebangan telah bermula sejak berdekad.
Gambaran dari udara penebangan pokok yang menjejas hutan di daerah Ketapang, Kalimantan Barat. Kegiatan penebangan telah bermula sejak berdekad. - Foto REUTERS

JAKARTA: Satu laporan terbaru mendedahkan kemusnahan hutan hujan tropika kini berlaku pada kadar pantas dengan dunia kehilangan kawasan hutan menyamai keluasan 11 padang bola sepak bagi setiap minit, sekali gus membebaskan berbilion tan gas karbon dioksida ke atmosfera setiap tahun.

Laman sesawang pemantau hutan di seluruh dunia, Global Forest Watch (GFW), menerusi laporannya berkata kawasan hutan asal tropika yang ditebang atau dibakar pada 2022 meningkat 10 peratus berbanding 2021, menjadi 40,999 kilometer (km) persegi.

Ia seterusnya membebaskan sehingga 3 bilion tan karbon dioksida, demikian menurut laporan yang dikeluarkan dengan kerjasama Universiti Maryland, Amerika Syarikat.

Penebangan kayu balak serta pembukaan tanah untuk pertanian atau pembangunan, menyumbang lebih 80 peratus daripada hutan yang musnah. 

Kadar selebihnya dilaporkan musnah akibat kebakaran.

Namun GFW berkata tidak seperti hutan tanah tinggi dan sederhana, kebanyakan kebakaran di kawasan tropika berlaku disebabkan oleh manusia.

Terkini dilaporkan sejak 2001, lebih 700,000 hektar hutan di Indonesia ditebang untuk tujuan perlombongan, termasuk kawasan hutan utama yang besar, berdasarkan penemuan melalui analisis baru menggunakan data satelit.

Syarikat pemuliharaan, The TreeMap, menggunakan imejan beresolusi tinggi dari beberapa satelit dan data selama dua dekad daripada program Landsat, yang sejak sekian lama dijalankan untuk memetakan lombong dan prasarana berkaitan serta menjejaki penebangan hutan.

Ia menganggarkan perlombongan, termasuk penggalian lubang, kemudahan pemprosesan, kawasan sisa dan jalan raya, membawa kepada pembukaan 721,000 hektar hutan antara 2001 dengan 2023.

Mengikut analisis terkini yang dikeluarkan, dianggarkan 150,000 hektar daripadanya adalah hutan utama, kawasan dengan stok karbon tinggi dan pokok tinggi, termasuk tumbuhan lama yang masih utuh.

Atlas Nusantara milik kumpulan itu menunjukkan kehilangan ketara litupan hutan dalam urutan selang masa apabila lombong dan prasarana berkaitan dibangunkan.

Pengasas The TreeMap, Dr David Gaveau, berkata lombong itu dikenal pasti menggunakan gabungan ‘tafsiran visual dan pembelajaran mesin’.

“Lombong terbuka mudah dikenal pasti... melalui garisan sepusat pada potongan tanah ke bahagian tepi lubang untuk lombong arang batu atau di sepanjang tebing sungai bagi perlombongan emas,” katanya.

Beliau berkata semua jenis lombong juga mempunyai ‘tanda spektrum’ tersendiri, satu ukuran tenaga yang menjadi ciri kawasan tanah kosong dan mudah dikesan.

Kumpulan itu merujuk silang penemuan mereka dengan peta rasmi konsesi perlombongan, artikel media tempatan dan laporan badan bukan pemerintah (NGO).

Cara menggunakan imej satelit bersejarah juga membolehkan mereka mengesan lombong terbiar yang sudah menjadi terlalu besar.

Kesan daripada perlombongan arang batu adalah yang terbesar, menyumbang kira-kira separuh daripada semua penebangan hutan yang dikesan, diikuti emas, timah dan nikel.

Sementara data menunjukkan kemuncak dalam penebangan hutan pada 2013, masalah itu mula meluas kembali dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Dr Gaveau berkata menjelang 2023, perlombongan dikaitkan dengan kehilangan tahunan hampir 10,000 hektar hutan utama.

Kementerian Alam Sekitar Indonesia tidak memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas analisis itu. 

Menurut GFW, data tersebut menunjukkan dunia gagal memenuhi komitmen utama termasuk ikrar 145 negara pada Sidang Puncak Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) di Glasgow, Scotland, pada November 2021.

Matlamat utamanya adalah untuk menghentikan dan memulihkan kemusnahan hutan menjelang 2030 sebagai mengiktiraf kepentingannya dalam memerangi perubahan iklim serta kehilangan biodiversiti.

“Berdasarkan pengurangan yang konsisten dalam kehilangan hutan asal untuk mencapai matlamat itu, trend tersebut bergerak ke arah yang salah,” kata GFW.

Namun, Indonesia berjaya mengekalkan kadar kehilangan hutan asal menghampiri paras yang paling rendah.

Selain itu, kemusnahan hutan di Indonesia yang mencapai kemuncak pada 2015, menunjukkan trend pemulihan dengan berkurang lebih daripada separuh kawasan yang hilang pada 2021, menjadi 1,035 km persegi pada 2022.

Ia dipacu oleh kempen pemerintah untuk mencapai sasaran sifar pelepasan karbon dioksida daripada kegiatan perhutanan dan penggunaan tanah lain menjelang 2030, pencegahan kebakaran dan pemuliharaan tanah gambut serta bakau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg