Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ICJ: Pendudukan Israel di Palestin langgar undang-undang antarabangsa

Jul 21, 2024 | 1:11 PM
Gambar menunjukkan kawasan Neve Daniel, di wilayah Tebing Barat yang diduduki.
Gambar menunjukkan kawasan Neve Daniel, di wilayah Tebing Barat yang diduduki. - Foto REUTERS

THE HAGUE (Belanda): Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan pendudukan Israel di wilayah Palestin melanggar undang-undang antarabangsa dan perlu dihentikan segera.

Kenyataan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 Julai itu tidak mengikat dari segi undang-undang, namun mempunyai kesan di bawah undang-undang antarabangsa dan mungkin melemahkan sokongan terhadap Israel.

“Petempatan Israel di Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur, serta rejim yang berkait dengan mereka, telah ditubuhkan dan dikekalkan dengan melanggar undang-undang antarabangsa,” kata presiden ICJ, Encik Nawaf Salam, membaca keputusan panel 15 hakim itu.

Mahkamah itu juga berkata Israel mesti membayar ganti rugi kerosakan yang disebabkan oleh petempatannya di wilayah tersebut dan juga “pemindahan semua warga Israel yang menduduki kawasan itu”.

Memberikan respons dengan pantas, Kementerian Luar Israel menolak pendapat itu kerana ia “salah dari segi asasnya” dan juga berat sebelah dan mengulangi pendirian bahawa petempatan politik di rantau itu hanya boleh dicapai melalui rundingan.

“Negara Yahudi tidak boleh menjadi penjajah di tanahnya sendiri,” menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Pendapat itu juga menimbulkan kemarahan warga Israel yang menduduki kawasan Tebing Barat serta anggota politik seperti Menteri Kewangan Bezalel Smotrich, yang merupakan sebahagian daripada parti nasionalis yang memperjuangkan petempatan tersebut.

Beliau juga menetap di kawasan petempatan di Tebing Barat.

“Jawapan kepada The Hague – kedaulatan dengan segera,” katanya menerusi satu hantaran di wadah media sosial X.

Encik Israel Gantz, ketua Majlis Wilayah Binyamin, salah satu majlis terbesar warga Israel yang menduduki kawasan itu, berkata pendapat ICJ “bertentangan dengan kitab Bible, moral dan undang-undang antarabangsa”.

Pendapat ICJ juga mendapati Majlis Keselamatan PBB, Perhimpunan Agung PBB dan semua negara mempunyai kewajipan untuk tidak mengiktiraf petempatan tersebut sebagai sah dari segi undang-undang atau untuk tidak “memberi bantuan” ke arah mengekalkan kehadiran Israel di wilayah yang diduduki.

Amerika Syarikat merupakan sekutu dan penyokong ketenteraan utama Israel.

Kementerian Luar Palestin berkata pendapat tersebut “mencipta sejarah” dan menggesa negara lain untuk mematuhinya.

“Tiada bantuan. Tiada penglibatan. Tiada wang, tiada senjata, tiada perdagangan...tiada sebarang bentuk tindakan untuk menyokong petempatan Israel yang tidak sah,” menurut utusan Palestin Riyad al-Maliki di luar mahkamah di The Hague.

Perhimpunan Agung PBB meminta ICJ pada akhir 2022 untuk memberikan pendapat mengenai kesan undang-undang yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin termasuk Baitulmakdis Timur.

Israel telah menawan Tebing Barat, Jaluran Gaza dan Baitulmakdis Timur – kawasan bersejarah Palestin yang juga diinginkan warga Palestin untuk membentuk negara – semasa perang Timur Tengah pada 1967.

Sejak itu, ia telah memulakan petempatan di Tebing Barat dan meluaskannya.

Pemimpin Israel menetapkan bahawa wilayah tersebut tidak diduduki dari segi undang-undang kerana mereka berada di tanah yang dipertikaikan, namun PBB dan sebahagian besar masyarakat antarabangsa menetapkan bahawa wilayah tersebut diduduki.

Pada Februari, lebih 50 negara membentangkan pandangan mereka di hadapan mahkamah dengan wakil Palestin meminta mahkamah menetapkan Israel perlu berundur dari semua kawasan yang diduduki dan menghentikan petempatan yang tidak sah.

Israel tidak mengambil bahagian dalam perbicaraan itu tetapi telah menghantar kenyataan bertulis memberitahu mahkamah bahawa mengeluarkan pendapatnya akan menjejas usaha mencapai penyelesaian bagi konflik Israel-Palestin.

Majoriti negara yang terlibat meminta mahkamah menetapkan petempatan itu tidak sah dari segi undang-undang, manakala segelintir, termasuk Canada dan Britain, berpendapat ia seharusnya tidak mengeluarkan sebarang pendapat atau nasihat.

Amerika telah meminta mahkamah untuk tidak mengeluarkan arahan pengunduran tentera Israel tanpa syarat dari wilayah Palestin.

Pendirian Amerika ialah mahkamah tidak boleh mengeluarkan sebarang keputusan yang boleh menjejas rundingan ke arah mencapai penyelesaian dua negara berdasarkan prinsip “tanah untuk keamanan.”

Pada 2004, ICJ mengeluarkan nasihat bahawa halangan pemisahan Israel di sebahagian besar Tebing Barat tidak sah dari segi undang-undang dan petempatan Israel ditubuhkan melalui pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Israel menolak keputusan tersebut. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg