Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Selepas 9 bulan perang, Israel gesa gencatan senjata dan pilihan raya

Bantahan antipemerintah besar-besaran berlaku di seluruh negara, ada tanda kemajuan ke arah gencatan senjata dan perjanjian tebusan dengan Hamas
Jul 22, 2024 | 5:30 AM
Penyokong dan saudara-mara tebusan militan Palestin di Gaza sejak serangan 7 Oktober, melakukan bantahan menuntut pembebasan mereka di Tel Aviv pada 13 Julai, di tengah-tengah konflik berterusan di Semenanjung Gaza antara Israel dengan Hamas.
Penyokong dan saudara-mara tebusan militan Palestin di Gaza sejak serangan 7 Oktober, melakukan bantahan menuntut pembebasan mereka di Tel Aviv pada 13 Julai, di tengah-tengah konflik berterusan di Semenanjung Gaza antara Israel dengan Hamas. - Foto AFP

TEL AVIV: Rakyat Israel pada 14 Julai mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara, membantah perang Gaza yang kini sudah berjalan selama sembilan bulan, ekoran serangan kumpulan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel.

Mereka menggesa diwujudkan perjanjian gencatan senjata dengan Hamas, yang akan menyaksikan tebusan kembali dari tahanan dan diadakan pilihan raya baru di Israel.

Aksi penunjuk perasaan itu mengakibatkan lalu lintas lumpuh di beberapa persimpangan utama di bandar dan di lebuh raya di seluruh negara.

Sebahagian besar pusat Tel Aviv dikepung dalam salah satu bantahan terbesar dalam beberapa bulan.

Beberapa kemajuan telah dicapai dalam beberapa hari kebelakangan ini, untuk menyambung semula rundingan ke arah perjanjian selepas beberapa minggu menemui jalan buntu.

Namun serangan di Gaza berterusan, dengan tentera Israel menyerang kawasan sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada 13 Julai, dan di seluruh kawasan di utara Israel yang bersempadan dengan Lebanon.

Ramai warga Israel, antaranya keluarga beberapa tebusan, bimbang usaha gencatan senjata boleh terganggu bukan sahaja oleh Hamas, malah juga oleh Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang menurut mereka, lebih mengutamakan kelangsungan pemerintahnya, kerana khuatir perjanjian damai boleh menjatuhkannya.

Pemimpin dua parti ultra nasionalis, yang merupakan elemen penting dalam gabungan Encik Netanyahu telah mengancam untuk menjatuhkan pemerintah jika perdana menteri bersetuju dengan perjanjian, sebelum Hamas dimusnahkan sepenuhnya.

Matlamat ini dianggap oleh ramai pegawai dan pakar sebagai sesuatu yang tidak dapat dicapai.

Parti-parti sayap kanan dalam gabungan pemerintah, “tidak mahu perjanjian,” kata Cik Shikma Bressler, seorang ketua protes, dalam hantaran di media sosial pada 14 Julai.

Beliau menambah, “Mereka memerlukan Armageddon” (pertempuran).

“Dan Bibi?” Tambah Cik Bressler, merujuk kepada Encik Netanyahu dengan nama panggilannya, “Dia memerlukan perang supaya tiada pilihan raya”.

Ketegangan berhubung potensi perjanjian itu juga timbul dalam parti Likud Encik Netanyahu sendiri, semasa mesyuarat kabinet mingguan pada 14 Julai.

Selepas perdana menteri menuduh Menteri Pertahanan, Encik Yoav Gallant, yang memang seterunya, bermain politik, Encik Gallant membalas dengan memberi amaran kepada Encik Netanyahu terhadap sebarang “percubaan yang didorong oleh politik” untuk mengikat perjanjian tebusan, kepada isu perbalahan lain yang memecahbelahkan pemerintah, kata Pejabat Encik Gallant.

“Ini adalah masa yang sukar,” kata Encik Gallant.

“Kami mesti mencapai persetujuan untuk mendapatkan pembebasan tebusan.”

Encik Netanyahu turut menegaskan Tel Aviv akan meneruskan kempen ketenteraannya di wilayah itu sehingga semua matlamatnya tercapai walaupun mengambil masa.

Encik Netanyahu turut mendakwa Hamas berpegang teguh pada tuntutan yang menjejas keselamatan Israel.

Walaupun berbulan usaha pengantaraan, dihalang keengganan Israel di bawah perlindungan Amerika Syarikat, perjanjian menyeluruh masih belum dicapai.

Israel yang mengingkari resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera, telah menghadapi kecaman antarabangsa di tengah-tengah serangan yang berterusan ke atas Gaza sejak serangan 7 Oktober 2023 oleh Hamas.

Laporan daripada sumber rasmi Israel menunjukkan rundingan tidak langsung antara Tel Aviv dengan Hamas disambung semula.

Ia memberi tumpuan pada pertukaran tahanan membabitkan tahanan Israel dan usaha menghentikan permusuhan di Gaza.

Sempadan utara Israel masih lagi tidak menentu pada 14 Julai, dengan pertubuhan Hezbollah Lebanon melancarkan salvo roket, dron dan peluru berpandu antikereta kebal ke dalam wilayah Israel.

Dalam kejadian luar biasa, seorang warga Amerika Syarikat tercedera dalam salah satu serangan dari Lebanon, menurut jurucakap Kedutaan Amerika di Baitulmakdis.

Roket dari Lebanon itu meluncur sehari selepas pesawat Israel melakukan serangan maut terhadap operasi Hezbollah di kawasan Baalbek, jauh di dalam wilayah Lebanon, kira-kira 40 kilometer ke timur laut Beirut.

Israel mengenal pasti sasaran itu sebagai Meitham Mustafa Altaar, menyifatkan beliau sebagai pegawai utama dalam Unit Pertahanan Udara Hezbollah yang telah mengambil bahagian dalam beberapa serangan terhadap Israel.

Seorang lagi lelaki dipercayai warga Israel cedera parah, dalam serangan dari Lebanon pada 14 Julai, yang memasuki lebih dalam ke Israel berbanding kebanyakan serangan sebelumnya dalam beberapa bulan pertempuran rentas sempadan.

Di tengah Gaza pada 13 Julai, pesawat Israel menyerang di kawasan sekolah PBB di Nuseirat, tempat tentera Israel mendakwa pasukan Palestin telah beroperasi dari beberapa struktur.

Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera dalam serangan itu, lapor kementerian kesihatan Gaza, yang tidak membezakan antara orang awam dan anggota kumpulan.

Lebih 38,000 rakyat Palestin telah terbunuh setakat ini di Gaza, menurut pegawai kesihatan tempatan.

Sembilan bulan selepas perang Israel, kawasan Gaza yang luas berada dalam runtuhan di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

Sekolah itu telah menjadi tempat perlindungan bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal yang mencari keselamatan, tambah kementerian itu.

Hamas, dalam satu kenyataan, menyebut serangan itu sebagai “pembunuhan beramai-ramai”.

Tentera Israel berkata ia telah mengambil langkah untuk mengelak korban awam dalam serangan tersebut dan menyalahkan Hamas kerana beroperasi dari kawasan yang sesak dengan orang awam Gaza.

Pada 14 Julai, tentera Israel berkata tentera udaranya menyerang sebuah lagi kompleks di sekitar bangunan sekolah di Bandar Gaza, tempat operasi, serta kemudahan menghasilkan senjata Hamas di kawasan yang sama.

Tentera berkata ia meneruskan operasinya di Rafah, bandar paling selatan di Gaza, dan di Shajaiye, kawasan timur Bandar Gaza, di utara.

Tentera udara turut melancarkan serangan terhadap bangunan perbandaran di Khan Younis, sebuah bandar besar di selatan tempat tentera darat Israel berundur pada April.

Hamas menggunakan bangunan itu, kata tentera, untuk kegiatan ketenteraan. Sebelum serangan, pihak tentera berkata penduduk awam telah dipindahkan dari kawasan itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg