BAITULMAKDIS: Israel terus memperluas penguasaan tenteranya di Jaluran Gaza meskipun perjanjian gencatan senjata dengan Hamas sudah berkuat kuasa hampir setahun, dengan imej satelit mendedahkan pembinaan sekurang-kurangnya 12 pos tentera baru serta peluasan kawasan kawalannya melangkaui sempadan pengunduran yang dipersetujui.

Menurut analisis imej satelit oleh media Amerika Syarikat, tentera Israel bukan sahaja memperkukuh kedudukan sedia ada, malah membina kubu pertahanan, mengalihkan penghadang konkrit dan mendirikan benteng tanah bagi memperluas kawasan yang dikuasainya.

Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penganalisis, diplomat dan penduduk Palestin bahawa pembahagian sementara Gaza berisiko menjadi pemisahan wilayah kekal yang berpanjangan.

Keadaan tersebut menyaksikan sebahagian besar daripada kira-kira dua juta penduduk Gaza kini tertumpu di kawasan lebih kecil yang masih ditadbir Hamas, manakala Israel menguasai sebahagian besar wilayah selebihnya.

Perjanjian gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat dan berkuat kuasa pada Oktober 2025 pada asalnya membolehkan Israel menguasai kira-kira 53 peratus wilayah Gaza.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan pada Mei lalu bahawa tenteranya sudah menguasai sekitar 60 peratus wilayah berkenaan dan merancang untuk memperluas kawalan tersebut.

Israel mempertahankan tindakannya atas alasan keselamatan, dengan menegaskan bahawa kedudukan tentera di Gaza diperlukan bagi melindungi anggotanya serta masyarakat Israel yang tinggal berhampiran sempadan.

Dalam kenyataannya, tentera Israel menjelaskan bahawa pembinaan pangkalan tentera dilaksanakan berdasarkan keperluan operasi, strategi pertahanan dan perjanjian gencatan senjata.

Namun, imej satelit yang dianalisis menunjukkan pembinaan pos tentera baru, jalan berturap dan tembok pertahanan di kawasan yang sebelum ini menempatkan rumah serta perkampungan penduduk Palestin.

Di selatan Gaza, sekurang-kurangnya enam pos tentera baru dibina selepas gencatan senjata, kebanyakannya di atas runtuhan kawasan kediaman yang musnah akibat peperangan.

Tentera Israel turut mengalihkan blok konkrit yang menandakan sempadan pengunduran, dikenali sebagai ‘garisan kuning’, lebih jauh ke dalam wilayah Gaza.

Selain itu, Israel mewujudkan kawasan larangan tambahan yang dikenali sebagai ‘zon jingga’, yang memerlukan penduduk Palestin dan pertubuhan bantuan kemanusiaan mendapatkan penyelarasan dengan tentera Israel sebelum memasuki atau bergerak di kawasan tersebut.

Sebahagian benteng tanah yang dibina Israel dilaporkan terletak hampir 1.6 kilometer melepasi garisan pengunduran asal.

Peluasan itu turut menyebabkan kawasan kediaman penduduk Palestin semakin mengecil, sedangkan kira-kira 80 peratus rumah di Gaza dilaporkan musnah atau mengalami kerosakan akibat peperangan.

Pengarah Eksekutif pertubuhan hak asasi manusia Israel, Gisha, Cik Tania Hary, memberi amaran bahawa kesesakan penduduk yang tidak tertanggung serta keruntuhan perkhidmatan awam meningkatkan risiko penularan penyakit dan pembiakan tikus serta haiwan perosak.

Menurutnya, sebahagian besar tanah pertanian Gaza juga terletak di kawasan yang kini dikuasai Israel, menyebabkan petani Palestin tidak dapat mengusahakan tanah mereka.

Penduduk yang menghampiri garisan pengunduran turut berdepan risiko ditembak tentera Israel, termasuk mereka yang tersilap memasuki kawasan larangan.

Menurut Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, sekurang-kurangnya 196 rakyat Palestin, termasuk 18 wanita dan 43 kanak-kanak, terbunuh berhampiran garisan kuning sejak gencatan senjata bermula.

Tentera Israel mendakwa anggotanya melepaskan tembakan terhadap anggota Hamas yang cuba menghampiri atau menguji kedudukan tenteranya.

Bagaimanapun, beberapa kejadian turut mengorbankan orang awam, termasuk dua pemandu lori yang bekerja untuk Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) ketika berada di sebuah pusat pengumpulan air pada April lalu.

Israel menyatakan kekesalan terhadap kematian orang awam dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, usaha membangunkan semula Gaza masih menghadapi kebuntuan berikutan pertikaian mengenai perlucutan senjata Hamas dan pengunduran tentera Israel.

Pada Julai, pegawai Amerika Syarikat mengumumkan bahawa persetujuan telah dicapai dengan Hamas mengenai pelucutan senjata, namun Netanyahu menolak rancangan itu dan menegaskan bahawa Israel hanya akan berundur selepas kumpulan berkenaan benar-benar menyerahkan senjatanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pegawai Amerika Syarikat merancang pembinaan sebuah pangkalan berhampiran Rafah bagi menempatkan pasukan pengaman antarabangsa, tetapi projek tersebut masih menunggu kelulusan lanjut daripada Israel.

Netanyahu, ketika melawat kawasan yang dikuasai tenteranya di Gaza pada September, sekali lagi menegaskan bahawa Israel tidak akan berundur daripada zon penampannya selagi Hamas belum melucutkan senjata.

Pendirian itu menimbulkan persoalan mengenai masa depan Gaza, khususnya sama ada perjanjian gencatan senjata akhirnya membawa kepada pengunduran tentera Israel atau mengekalkan pembahagian wilayah Palestin tersebut untuk tempoh yang lebih panjang. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti