WASHINGTON: Selama lebih tiga dekad, Encik Jensen Huang, menjadi wajah kejayaan Nvidia, syarikat pembuat cip Amerika Syarikat yang berkembang menjadi antara syarikat paling bernilai di dunia dan peneraju utama revolusi kecerdasan buatan (AI).

Namun, kedudukan tokoh teknologi berusia 63 tahun itu kini berdepan ujian paling besar selepas beliau mengakui menjalin hubungan sulit dengan seorang wanita yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan perisikan China.

Sebelum ledakan AI mengubah industri teknologi dunia, Nvidia bukanlah nama yang begitu dikenali berbanding Microsoft, Apple, Meta atau Amazon.

Berbanding syarikat teknologi lain yang menawarkan produk dan perkhidmatan kepada pengguna secara langsung, Nvidia membina perniagaannya dengan menghasilkan cip pemprosesan grafik (GPU), khususnya untuk komputer permainan video.

Dalam bukunya, The Thinking Machine: Jensen Huang, Nvidia, and the World’s Most Coveted Microchip, (Mesin Pemikir: Jensen Huang, Nvidia dan Cip Mikro Paling Diidamkan di Dunia), penulis Stephen Witt menyifatkan Encik Huang sebagai usahawan berwawasan jauh, berani mengambil risiko dan bekerja keras, tetapi mempunyai gaya kepimpinan yang tegas serta kadangkala panas baran.

Sepanjang lebih tiga dekad menerajui Nvidia, Encik Huang berjaya membawa syarikat itu mengharungi pelbagai krisis, termasuk ketika hampir muflis.

Keberaniannya membuat keputusan besar dan mengambil risiko sering dianggap antara faktor utama kejayaan Nvidia berkembang menjadi gergasi teknologi dunia.

Namun, di sebalik kejayaan itu, Encik Huang turut dikenali kerana sikapnya yang mudah marah dan sering meninggikan suara terhadap kakitangan dalam mesyuarat.

Satu kejadian berlaku pada 2008 apabila cip grafik baharu Nvidia mengalami kecacatan reka bentuk, menyebabkan ramai pelanggan memulangkan produk dan harga saham syarikat menjunam.

Encik Huang dilaporkan memarahi jurutera yang bertanggungjawab terhadap kesilapan tersebut di hadapan sekumpulan besar kakitangan.

“Saya masih ingat Jensen menjerit kepadanya selama satu setengah jam. Sebenarnya, mungkin hampir dua jam. Beliau benar-benar marah,” kata seorang kakitangan kepada Witt.

Kisah itu memperlihatkan dua sisi kepimpinan Encik Huang, iaitu ketegasan yang membantu membina kejayaan Nvidia, tetapi pada masa yang sama menimbulkan persoalan mengenai budaya pengurusan yang terlalu bergantung pada seorang individu.

Namun, di bawah kepimpinan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Huang, Nvidia melalui transformasi luar biasa sehingga muncul sebagai antara syarikat paling bernilai di dunia.

Daripada pembekal cip grafik, Nvidia berkembang menjadi peneraju teknologi AI, dengan cip keluarannya digunakan secara meluas dalam pusat data dan pembangunan model AI berskala besar.

Kejayaan itu didorong oleh keupayaan Encik Huang menjangka perubahan industri lebih awal daripada pesaingnya.

Beliau memberi tumpuan kepada pembangunan sistem pengkomputeran baharu yang mampu memproses sejumlah besar data dengan lebih pantas.

Pertaruhan tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila permintaan terhadap cip AI melonjak, sekali gus menjadikan Nvidia tonggak penting dalam revolusi teknologi dunia.

Namun, kejayaan yang begitu bergantung pada wawasan seorang pemimpin turut membawa risiko besar apabila kedudukan Encik Huang kini tergugat akibat kontroversi peribadinya.

Pengakuan itu bukan sahaja menjejas imej peribadinya sebagai seorang suami dan bapa, malah mencetuskan persoalan lebih serius mengenai keselamatan negara, tadbir urus korporat dan masa depan Nvidia.

Persoalan utama kini bukan sekadar sama ada Encik Huang mampu memulihkan reputasinya, tetapi sama ada lembaga pengarah Nvidia sanggup menyingkirkan individu yang membina dan memimpin syarikat itu sejak 1993.

Wanita yang dikenal pasti sebagai Cik Alice Huang (kanan), menghadiri jamuan makan malam bersama Encik Jensen Huang (baju hitam), di sebuah restoran di Taipei, Taiwan, pada 22 Mei 2025.
Wanita yang dikenal pasti sebagai Cik Alice Huang (kanan), menghadiri jamuan makan malam bersama Encik Jensen Huang (baju hitam), di sebuah restoran di Taipei, Taiwan, pada 22 Mei 2025. - Foto REUTERS

Kontroversi tersebut tercetus selepas laporan, The New York Times, pada akhir Oktober mendedahkan bahawa Encik Huang mungkin menjadi sasaran seorang wanita yang disyaki mempunyai hubungan dengan perisikan China.

Wanita itu, Cik Alice Huang, merupakan eksekutif Megaspeed, sebuah syarikat pusat data yang berpangkalan di Singapura.

Menurut laporan berkenaan, pihak berkuasa Amerika pada mulanya menyiasat wanita tersebut kerana mengesyaki kemungkinan berlaku penyeludupan cip canggih Amerika ke China.

Bagaimanapun, pemantauan itu didakwa membawa kepada penemuan bahawa wanita tersebut mempunyai hubungan rapat dengan ketua eksekutif Nvidia.

China menolak dakwaan pengintipan itu, manakala Cik Alice belum mengulas.

Dalam surat kepada kakitangan pada 8 November, Encik Huang mengakui hubungan sulit tersebut dan memohon maaf kepada keluarganya.

“Sepanjang hidup saya, keluarga sentiasa memberikan kasih sayang dan sokongan. Mereka berhak mendapat kejujuran dan kesetiaan saya.

“Sebaliknya, saya telah mengecewakan mereka dan merosakkan kehidupan yang kami bina bersama,” katanya.

Beliau turut menyatakan kesediaan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan bebas yang dilancarkan lembaga pengarah Nvidia.

Daripada isu peribadi kepada ancaman keselamatan

Kontroversi itu menjadi lebih serius kerana Nvidia merupakan pembekal teknologi penting dalam pembangunan AI dan turut memainkan peranan besar dalam keselamatan negara Amerika Syarikat.

Cip keluarannya digunakan untuk mengendalikan pusat data, membangunkan sistem AI serta menyokong penyelidikan teknologi canggih.

Washington juga mengenakan sekatan terhadap eksport cip tertentu ke China kerana bimbang teknologi berkenaan boleh digunakan untuk memperkukuh keupayaan ketenteraan Beijing.

Oleh itu, hubungan peribadi antara ketua eksekutif Nvidia dengan individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan perisikan asing menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan kebocoran maklumat sulit.

Setakat ini, tiada bukti yang diumumkan secara terbuka menunjukkan rahsia syarikat atau maklumat keselamatan negara telah dibocorkan.

Lembaga pengarah Nvidia sendiri menyatakan bahawa pihaknya tidak percaya maklumat sulit syarikat atau keselamatan negara telah terjejas.

Walaupun begitu, siasatan bebas tetap diteruskan bagi meneliti semua maklumat yang tersedia.

Menurut Ketua Pegawai Hasil firma perunding pekerjaan Challenger, Gray & Christmas, Encik Andy Challenger, kontroversi itu melangkaui persoalan moral.

Perkara yang perlu dinilai ujar beliau, termasuk pertimbangan seseorang pemimpin, risiko keselamatan negara dan keyakinan pemegang saham terhadap keupayaannya melindungi syarikat.

Lembaga pengarah berdepan dilema

Cabaran paling besar kini terletak pada lembaga pengarah Nvidia yang mempunyai sejarah hubungan panjang dengan Encik Huang.

Beberapa anggotanya merupakan pelabur awal yang membantu membangunkan syarikat itu ketika Nvidia masih bergelut untuk menghasilkan cip permainan video pada 1990-an.

Antaranya, Encik Mark Stevens, dan Encik Tench Coxe, yang menyertai lembaga pengarah selepas firma pelaburan mereka membantu menyediakan pembiayaan awal sebanyak AS$2 juta ($2.56 juta)

Kini, kedua-duanya memiliki pegangan saham bernilai berbilion dolar.

Hubungan rapat yang terbina selama puluhan tahun itu menimbulkan persoalan sama ada lembaga pengarah benar-benar mampu menjalankan siasatan secara bebas.

Pensyarah pengurusan Universiti Northwestern, Cik Allison Henry, berpandangan bahawa pengalaman panjang seseorang anggota lembaga pengarah tidak semestinya menjamin pengawasan yang berkesan.

Ini terutama apabila hubungan peribadi dan profesional dengan ketua eksekutif menjadi terlalu rapat.

Penganalisis Encik Dan Ives daripada Yorkville Ives – bank pelaburan dan firma penasihat kewangan Wall Street – pula memberi amaran bahawa Encik Huang berdepan risiko kehilangan jawatannya, bergantung pada hasil siasatan

Menurutnya, lembaga pengarah perlu membuat keputusan secara bebas tanpa dipengaruhi hubungan kekeluargaan yang wujud dalam Nvidia.

Pengaruh keluarga tambah kerumitan

Encik Huang bukan sahaja membina Nvidia sebagai sebuah syarikat teknologi, malah turut memberikan peranan penting kepada anggota keluarganya.

Anak perempuannya, Cik Madison, merupakan pengarah kanan pemasaran produk; manakala anak lelakinya, Encik Spencer, memegang jawatan pengarah pengurusan produk dalam bidang robotik.

Menantunya, Encik Caprez, pula terlibat dalam pembangunan perniagaan syarikat.

Keadaan ini menimbulkan tanggapan dalam kalangan sesetengah kakitangan bahawa Encik Huang mungkin sedang menyediakan anggota keluarganya untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan Nvidia.

Namun, beliau sebelum ini menolak tanggapan bahawa Cik Madison semestinya bakal menggantikannya.

Pada masa yang sama, Nvidia dilaporkan tidak mempunyai pelan peralihan penggantian kepimpinan yang jelas.

Mantan eksekutif syarikat berkata Encik Huang pernah menentang cadangan menyediakan pelan sedemikian kerana bimbang ia mencetuskan persaingan dalaman.

Pendekatan pengurusannya yang sangat berpusat turut menyukarkan proses mencari pengganti.

Beliau dilaporkan mempunyai lebih 60 pegawai yang melapor secara langsung kepadanya, sekali gus menjadikannya tokoh utama dalam hampir semua keputusan penting syarikat.

Pasaran bimbang kehilangan pengasas

Kebimbangan pelabur terserlah apabila saham Nvidia dilaporkan merosot 7.5 peratus sebaik sahaja pasaran dibuka, menyebabkan lebih AS$330 bilion nilai pasarannya terhapus.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mahoney Asset Management, Encik Ken Mahoney, membandingkan kedudukan Encik Huang di Nvidia dengan pengaruh mendiang Encik Steve Jobs terhadap Apple.

Menurutnya, kebanyakan pelabur tidak mahu melihat Encik Huang meninggalkan Nvidia, walaupun syarikat itu masih mampu bertahan tanpa beliau.

Namun, kehilangan pengasasnya boleh menimbulkan ketidaktentuan besar terhadap strategi, budaya kerja dan hubungan Nvidia dengan syarikat teknologi utama dunia.

Persoalan lebih penting ialah sama ada pengganti Encik Huang mampu mengekalkan wawasan dan keupayaannya menjangka perubahan industri.

Kontroversi ini turut memperlihatkan kelemahan syarikat besar yang terlalu bergantung kepada seorang pemimpin.

Walaupun kejayaan Encik Huang menjadikan Nvidia peneraju industri AI, pengaruh luar biasanya kini boleh menjadi cabaran kepada kebebasan lembaga pengarah.

Buat masa ini, beliau akan terus mengetuai Nvidia sepanjang siasatan berlangsung.

Lembaga pengarah turut menegaskan bahawa mereka masih mempunyai keyakinan terhadap kepimpinannya.

Namun, keyakinan itu mungkin diuji sekiranya siasatan menemui bukti bahawa hubungan peribadinya telah menjejas kepentingan syarikat atau keselamatan negara.

Akhirnya, masa depan Encik Huang bergantung pada keupayaan Nvidia mengimbangi dua tuntutan yang kian bercanggah – mempertahankan pemimpin yang membina kejayaan syarikat, atau memastikan tiada individu mengatasi tanggungjawab melindungi syarikat.

Seperti yang diingatkan CEO firma perekrut, Christian & Timbers, Encik Jeff Christian, pengaruh Encik Huang begitu besar sehingga usaha menyingkirkannya hampir menyerupai tindakan memecat pemilik syarikat sendiri.

“Beliau mempunyai personaliti yang begitu besar. Ia hampir seperti cuba memecat pemilik syarikat,” katanya. – Agensi berita

“

Beliau mempunyai personaliti yang begitu besar. Ia hampir seperti cuba memecat pemilik syarikat.
Encik Jeff Christian, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma perekrut, Christian & Timbers.