Topik diikuti
Pergi ke BHkuIMF: Negara membangun perlu potong perbelanjaan atau struktur semula hutang
IMF: Negara membangun perlu potong perbelanjaan atau struktur semula hutang
BANGKOK: Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 13 Oktober memberi amaran bahawa kebanyakan negara membangun berpendapatan rendah “tiada pilihan” selain mengurangkan perbelanjaan atau menstruktur semula hutang, sedang negara itu berdepan kesan yang tidak seimbang akibat krisis tenaga yang dicetuskan perang Iran.
Bercakap di luar Mesyuarat Tahunan organisasi itu di Bangkok, Timbalan Pengarah Penyelidikan IMF, Dr Petya Koeva Brooks, berkata negara pengimport minyak yang menanggung beban hutang tinggi berdepan kesan terburuk daripada kejutan tenaga tersebut, serta berdepan pilihan sukar untuk membantu rakyat mereka mengharungi krisis berkenaan.
“Malangnya, selepas bertahun-tahun ekonomi sejagat dilanda kejutan demi kejutan, tahap hutang telah meningkat dengan agak tinggi, dan pada masa sama, inflasi telah menjadi satu masalah,” katanya.
Serangan Amerika Syarikat ke atas Iran telah mengheret Timur Tengah ke dalam konflik serta menyebabkan harga tenaga sejagat melambung tinggi, tatkala Teheran melakukan tindak balas dengan menyasar sekutu Washington di Teluk dan menyekat bekalan minyak serta gas.
Peningkatan harga tersebut telah mula memberi kesan rantaian kepada barangan lain, dengan krisis itu turut menjejas bekalan baja pertanian yang penting.
IMF menyeru negara dunia supaya menawarkan subsidi teras yang menyasar golongan tertentu berikutan krisis tersebut.
Ini selain mengesyorkan semua pemerintah supaya berusaha membina semula simpanan kewangan negara dan menangani beban hutang yang kian meningkat selepas bertahun-tahun berdepan kejutan ekonomi sejak pandemik Covid-19.
“Mesej kami sememangnya terpakai bagi kebanyakan negara, namun pilihan serta pertimbangan yang perlu dibuat adalah jauh lebih sukar bagi negara yang paling terdedah kepada risiko,” kata Dr Koeva Brooks.
Laporan Prospek Ekonomi Dunia oleh IMF yang dikeluarkan pada 13 Oktober mengenal pasti negara membangun berpendapatan rendah yang merupakan pengimport bersih minyak dan tidak terlibat dalam lonjakan pelaburan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai negara yang paling terjejas oleh kejutan akibat perang Iran.
“Bagi negara yang paling terdedah ini, keperluan asas mereka sebahagian besarnya tertumpu kepada tenaga dan makanan, justeru cabaran yang dihadapi adalah jauh lebih berat,” jelasnya.
“Namun malangnya, (mereka) tiada pilihan lain.”
Pegawai kanan IMF itu menambah bahawa banyak negara berpendapatan rendah kini mengalami kemelut hutang atau hampir terjerumus ke dalam masalah tersebut.
Oleh itu, negara tersebut perlu berusaha melakukan penstrukturan semula hutang jika mereka tidak mampu menangani isu berkenaan.
“Apabila hutang tidak lagi mampan, penyelesaian dan penstrukturan semula secara teratur serta tepat pada waktunya adalah sentiasa lebih baik daripada menunggu, kerana kos penstrukturan pada masa depan akan menjadi jauh lebih tinggi,” katanya.
Dalam laporan Prospek Ekonomi Dunia, IMF telah menaikkan unjuran pertumbuhan sejagat bagi 2026, yang sebahagian besarnya didorong oleh pertumbuhan ekonomi maju yang meraih manfaat daripada pelaburan dan kegiatan berkaitan AI.
Ekonomi maju dunia diunjurkan berkembang sebanyak 2.1 peratus pada 2026, dengan negara yang berada dalam rantaian bekalan AI seperti Taiwan dan Korea Selatan mencatatkan angka jauh lebih tinggi.
Dr Koeva Brooks berkata jika kegiatan pelaburan AI merosot, ekonomi dunia “akan menyaksikan kesan negatif terhadap pengeluaran, bukan sahaja di negara maju seperti Amerika, malah menerusi rangkaian perdagangan di Asia”.
Dalam senario terburuk IMF – iaitu sekiranya AI gagal memberikan peningkatan produktiviti seperti yang dijanjikan – unjuran Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) sejagat bagi 2028 boleh merosot sehingga 0.4 peratus. – AFP.