Topik diikuti
Pergi ke BHkuKetua IMF: AI berpotensi pacu pertumbuhan global sebanyak setengah peratus setahun
Turut tegas senario akan berlaku jika dilaksana dengan betul
Ketua IMF: AI berpotensi pacu pertumbuhan global sebanyak setengah peratus setahun
Kecerdasan buatan (AI) berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi global sehingga setengah mata peratusan setiap tahun.
Namun pemerintah tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada faedah pelaksanaannya bagi jangka pendek, sebaliknya menumpukan peningkatan daya pengeluaran jangka panjang teknologi berkenaan.
Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dr Kristalina Georgieva, berkata demikian dalam satu acara pada 7 Oktober.
Peningkatan pertumbuhan ekonomi sebanyak 3 hingga 3.5 peratus dalam tempoh sedekad bersamaan dengan menambah sebuah ekonomi bersaiz Asean ke dalam ekonomi dunia, kata Dr Georgieva.
Namun, beliau menegaskan senario itu hanya akan berlaku sekiranya pelaksanaan AI “dilakukan dengan betul”, termasuk memastikan negara-negara di serata dunia dapat mengakses serta meraih manfaat daripada teknologi berkenaan.
Perkembangan ini hadir ketika perkakasan AI serta produk teknologi berkaitan kini menyumbang lebih 10 peratus daripada perdagangan barangan global, dengan angka itu terus meningkat.
Dr Georgieva berkata demikian pada majlis pembuka tirai menjelang mesyuarat tahunan IMF dan Bank Dunia minggu depan, yang dianjurkan bersama Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYSPP) Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Institut Asia Timur.
Menurut beliau, kemajuan pesat AI kini memacu ekonomi utama seperti Amerika Syarikat, China dan India untuk membina prasarana supaya dapat menjadi penyedia utama teknologi tersebut.
Namun, perkembangan ini “sebahagian besarnya melangkaui kebanyakan negara lain, sekali gus meningkatkan risiko jurang ketidaksamaan ekonomi yang semakin melebar di peringkat global”.
Disebabkan itu, kesiapsiagaan AI amat penting, kata Dr Georgieva, sambil menambah bahawa Singapura menduduki tangga teratas Indeks Kesiapsiagaan AI IMF.
Antara langkah kesiapsiagaan AI termasuk memiliki prasarana digital, pasaran tenaga kerja dan garis panduan kawal selia bagi menyokong teknologi berkenaan.
Mesyuarat tahunan dari 12 hingga 18 Oktober, yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, bakal menyaksikan perbincangan tertumpu kepada AI, di samping isu harga tenaga yang kekal tinggi serta paras hutang awam yang mencatat rekod terbaharu.
Dasar kewangan turut dibangkitkan pada sesi perbincangan antara Dr Georgieva dengan Presiden Singapura, Encik Tharman Shanmugaratnam, yang dikendalikan oleh Profesor Ekonomi Li Ka Shing di LKYSPP, Profesor Danny Quah.
Sambil menarik perhatian bahawa “garis pemisah antara dasar fiskal dengan dasar kewangan sering kali tidak jelas”, Profesor Quah bertanyakan mengenai langkah perlindungan bagi menjamin kebolehpercayaan dasar kewangan.
Dr Georgieva berkata bank pusat hanya boleh bertindak melindungi kestabilan harga sekiranya ia kekal bebas serta berkeupayaan menangkis tekanan yang mungkin timbul daripada sudut fiskal.
Tuan Presiden berkata beliau percaya dunia bakal berdepan bentuk penguasaan fiskal yang halus, apabila pemerintah yang berdepan defisit fiskal besar serta hutang tinggi akan mengalami keterbatasan keupayaan untuk menangani krisis pada masa hadapan.
“Oleh itu, beban berkenaan akan terpaksa digalas bank pusat. Dengan setiap krisis yang melanda, lebih banyak beban terpaksa dipikul bank pusat untuk melonggarkan dasar kewangan, atau mungkin melaksanakan satu lagi pusingan pelonggaran kuantitatif (quantitative easing).
“Langkah itu lama-kelamaan akan menyebabkan kadar faedah menjadi lebih rendah daripada yang sepatutnya, mewujudkan pergantungan lebih besar kepada hutang, memacu inflasi lebih tinggi daripada jangkaan, serta secara beransur-ansur mengikis kebolehpercayaan bank pusat.
“Ini bukan disebabkan pemerintah memberi tekanan kepada bank pusat, tetapi kerana penguasa fiskal sudah kehabisan ruang dan beban tersebut kini semakin banyak dipikul oleh bank pusat,” katanya.
Akhirnya, pergantungan yang kian meningkat terhadap bank pusat ini berisiko memacu kadar inflasi lebih tinggi, sekali gus menjejas kestabilan kewangan jangka panjang.