Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Majlis Keselamatan PBB gesa Israel izin bantuan dipertingkat di Gaza

AS: ‘Dasar kebuluran’ Israel di utara Gaza sama sekali tidak boleh diterima
Oct 17, 2024 | 3:34 PM
Pemerhati Tetap Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Riyad Mansour, menuduh Israel cuba memaksa rakyat Palestin keluar dari Gaza dengan menghalang bantuan makanan.
Pemerhati Tetap Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Riyad Mansour, menuduh Israel cuba memaksa rakyat Palestin keluar dari Gaza dengan menghalang bantuan makanan. - Foto REUTERS

NEW YORK: Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah membincangkan krisis kemanusiaan di Gaza dan mereka sependapat bahawa Israel perlu secara tekal membenarkan peningkatan kemasukan bantuan ke utara dan seluruh wilayah Palestin itu.

Majlis Keselamatan jarang bercakap dalam nada yang sama khususnya dalam isu melibatkan perang di Gaza, namun perbezaan tetap ada mengenai cara mencapai gencatan senjata antara Hamas dengan Israel.

Selain menyeru masalah kekurangan bantuan yang mencukupi ke Gaza perlu ditangani segera, para diplomat turut mengecam serangan Israel yang menyebabkan kompleks hospital terbakar pada 14 Oktober yang juga memusnahkan khemah perlindungan pelarian bersebelahan dengannya.

Beberapa kritikan paling tajam datang daripada sekutu Israel, termasuk Amerika Syarikat, yang memveto tiga resolusi yang menghalang gencatan senjata dalam lapan bulan pertama perang Gaza dan berkecuali daripada resolusi yang akhirnya diluluskan pada Jun.

“Tiada perkataan untuk menggambarkan apa yang kami lihat di Gaza,” kata Duta Amerika ke PBB, Cik Linda Thomas-Greenfield.

“Israel mempunyai tanggungjawab untuk melakukan segala yang mungkin untuk mengelakkan kematian orang awam walaupun Hamas beroperasi berhampiran hospital dalam usaha menggunakan orang awam sebagai perisai manusia,” tegasnya.

Beliau menekankan bahawa “dasar kebuluran” Israel di utara Gaza sama sekali tidak boleh diterima dan akan mempunyai implikasi di bawah undang-undang antarabangsa dan undang-undang Amerika.

Kritikan itu dibuat selepas Amerika memberi amaran menerusi surat kepada Israel pada 13 Oktober bahawa jika ia tidak meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza dalam tempoh 30 hari, bantuan ketenteraan Amerika ke Israel akan dihentikan.

Encik Riyad Mansour, utusan Palestin ke PBB, menuduh Israel cuba memaksa rakyat Palestin keluar dari Gaza dengan menyekat bantuan makanan.

“Ini bukan peperangan, ini adalah jenayah. Ini adalah pembunuhan beramai-ramai yang perlu segera dihentikan,” tegas beliau.

Duta Israel ke PBB, Encik Danny Danon, mempertahankan tindakan Israel dan menyalahkan Hamas kerana menggunakan orang awam Palestin sebagai perisai manusia dan merompak trak bantuan.

“Satu-satunya cara untuk memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza adalah dengan mengalahkan Hamas dan melucutkan senjata mereka sepenuhnya,” kata Encik Danon.

Pengarah Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Encik Scott Peterson, berkata Israel telah membenarkan 12 trak bantuan masuk ke utara Gaza pada 30 September tetapi tiada satu pun dibenarkan masuk selepas itu.

Cogat, agensi pemerintah Israel yang menyelia dasar di Gaza dan Tebing Barat, menegaskan bahawa ia tidak mengehadkan bantuan kepada Gaza dan telah menyalahkan agensi kemanusiaan kerana gagal mengagihkan bekalan ke dalam wilayah itu.

Agensi itu mendakwa ia telah memeriksa dan membenarkan 50 trak bantuan memasuki Gaza utara dari Jordan yang membawa makanan, air, perubatan dan bekalan lain “mengikut undang-undang antarabangsa”. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg