JAKARTA: Indonesia dan India mengorak langkah baharu dalam hubungan pertahanan apabila kedua-dua negara memeterai perjanjian pembelian peluru berpandu kruis supersonik BrahMos sempena lawatan negara Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, ke Jakarta.

Perjanjian itu diumumkan di Istana Merdeka pada 7 Julai selepas Encik Modi mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, sekali gus menjadi antara pencapaian utama lawatan rasmi pemimpin India itu.

Walaupun nilai kontrak dan jadual penghantaran tidak didedahkan, perjanjian berkenaan menamatkan rundingan yang berlangsung sejak beberapa tahun lalu bagi memperkukuh keupayaan pertahanan pantai Indonesia.

BrahMos ialah peluru berpandu supersonik yang dibangunkan bersama India dan Russia serta mampu menyerang sasaran darat atau laut pada kelajuan melebihi tiga kali ganda kelajuan bunyi.

Selain pembelian BrahMos, syarikat pertahanan milik negara India, Bharat Dynamics Limited (BDL), turut menandatangani kerjasama dengan syarikat Indonesia, Republikorp, bagi pemerolehan peluru berpandu udara ke udara.

Kedua-dua perjanjian pertahanan itu merupakan sebahagian daripada 16 dokumen kerjasama dua hala yang dimeterai sepanjang lawatan Encik Modi.

Dalam sidang media bersama, Encik Modi berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh keselamatan rantau Indo-Pasifik.

“Hari ini kami bersetuju meningkatkan kerjasama dalam pertukaran pertahanan, pengurusan bencana dan pembangunan industri pertahanan. Pengawal pantai kedua-dua negara juga akan bekerjasama bagi memastikan keselamatan maritim di Lautan Hindi,” katanya.

Encik Prabowo pula berkata hubungan keselamatan Indonesia-India perlu terus diperkukuh berikutan ancaman keselamatan serantau yang semakin kompleks.

“Apabila cabaran keselamatan rentas sempadan semakin meningkat, kami komited memperkukuh pembangunan kapasiti dalam teknologi baharu, membanteras jenayah rentas negara dan membangunkan prasarana digital,” katanya.

Sebelum lawatan itu, Duta Besar India ke Indonesia, Encik Sandeep Chakravorty, memaklumkan rundingan pembelian BrahMos sudah berada di “peringkat yang sangat maju”.

Beliau berkata kejayaan India mengeksport BrahMos ke Filipina membuktikan sistem senjata itu mampu menjadi pilihan negara Asia Tenggara bagi memperkukuh keupayaan pertahanan maritim mereka.

Selain kerjasama pertahanan, lawatan Encik Modi turut memberi tumpuan kepada hubungan kebudayaan antara kedua-dua negara.

Pada 8 Julai, Encik Modi dan Encik Prabowo dijadual mengunjungi Candi Prambanan di Yogyakarta bagi menandatangani perjanjian pemuliharaan kompleks kuil Hindu berusia lebih 1,000 tahun itu.

Menurut Menteri Setiausaha Negara Indonesia, Encik Prasetyo Hadi, lawatan ke Prambanan adalah sebahagian daripada agenda rasmi Encik Modi di Indonesia.

“Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemeteraian kerjasama pemuliharaan Candi Prambanan yang merupakan Tapak Warisan Dunia Unesco (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu) ,” katanya.

Usaha pemuliharaan itu akan dilaksanakan secara bersama oleh pemerintah Indonesia dan Jabatan Arkeologi India (ASI) susulan persetujuan yang mula dibincangkan ketika lawatan Encik Prabowo ke India pada 2025.

Encik Modi berkata Prambanan melambangkan hubungan sejarah dan warisan budaya yang dikongsi oleh kedua-dua negara sejak lebih seribu tahun lalu.

“Prambanan bukan sekadar monumen bersejarah, tetapi simbol hubungan tamadun antara India dan Indonesia,” katanya.

Dalam lawatan itu juga, Encik Prabowo menganugerahkan Encik Modi pingat kebesaran tertinggi Indonesia, Bintang Adipurna, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya memperkukuh hubungan dua hala.

Encik Modi berkata anugerah berkenaan bukan untuk dirinya semata-mata, sebaliknya penghormatan kepada seluruh rakyat India.

“Anugerah ini adalah milik rakyat India dan mencerminkan persahabatan erat antara kedua-dua negara,” katanya.

Dengan penganugerahan itu, Encik Modi kini menerima sekurang-kurangnya 35 anugerah tertinggi daripada pemerintah asing sepanjang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri India, sekali gus menjadikannya antara pemimpin dunia yang paling banyak menerima penghormatan antarabangsa.

Sepanjang 2026 sahaja, beliau menerima enam anugerah daripada beberapa negara termasuk Slovakia, Norway, Israel dan kini Indonesia.

Penganalisis kanan di  Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik James M. Dorsey, berkata penganugerahan sedemikian lazimnya menjadi instrumen diplomasi bagi mengukuhkan hubungan antara negara.

“Ia adalah alat diplomasi untuk membina dan memperkukuh hubungan. Negara-negara berbuat demikian kerana mahu mengeratkan hubungan dengan India dan Modi,” katanya. – Agensi berita.