Indonesia dan India pada 7 Julai bersetuju memperluas kerjasama pertahanan, keselamatan dan antikeganasan, selain kerjasama dalam pelbagai sektor lain, ketika dua negara demokrasi terbesar dan paling ramai penduduk di dunia itu menandakan pencapaian penting dalam hubungan dua hala sempena lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi, ke Indonesia yang bermula 6 Julai.

Dalam sidang media bersama di istana presiden selepas rundingan dua hala, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dan Encik Modi mengumumkan kedua-dua negara menandatangani perjanjian kerjasama strategik meliputi keselamatan maritim, pengurusan bencana, teknologi bagi rantaian bekalan keluli, kerjasama tenaga kerja kesihatan, budaya, telekomunikasi, teknologi kewangan, peraturan produk perubatan, pertanian dan penggunaan teknologi dalam pilihan raya.

“Kami menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam antikeganasan dan meningkatkan kerjasama keselamatan menerusi Dialog Keselamatan Indonesia-India ketiga,” kata Encik Prabowo.

Beliau berkata, sebagai respons terhadap peningkatan isu keselamatan rentas sempadan, Indonesia dan India turut bersetuju bekerjasama membangunkan keupayaan dalam teknologi baharu serta menangani jenayah rentas negara.

“Hari ini, kami bersetuju memperkukuh kerjasama dalam pertahanan, pengurusan bencana, industri pertahanan dan kerjasama pengawal pantai.

“Pengawal pantai kedua-dua negara juga akan bekerjasama memastikan keselamatan maritim di Lautan Hindi sebagai dua negara maritim berjiran,” kata Encik Modi.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pemeteraian kontrak sistem peluru berpandu krus BrahMos antara BrahMos Aerospace dan Kementerian Pertahanan Indonesia. Sistem itu disebut sebagai peluru berpandu krus supersonik berbilang platform terpantas di dunia.

Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan mengenai pemerolehan peluru berpandu itu, termasuk nilai kontrak, jadual penghantaran serta bentuk kerjasama antikeganasan.

Kedua-dua negara turut menandatangani surat hasrat bagi pemuliharaan dan pemulihan Candi Prambanan, candi Hindu terbesar di Indonesia. Pada Rabu, Encik Prabowo dan Encik Modi dijadual melawat candi berhampiran Yogyakarta itu bagi menandakan bantuan India dalam projek pemulihannya.

Dalam majlis itu, Encik Prabowo menganugerahkan Encik Modi penghormatan tertinggi Indonesia, Bintang Republik Indonesia Adipurna, atas sumbangannya memperkukuh hubungan dua hala sehingga ke tahap perkongsian strategik komprehensif yang dimeterai pada 2018.

Penghormatan itu juga diberikan bagi mengiktiraf sokongan Encik Modi terhadap pelbagai program dan projek yang menurut Encik Prabowo menyumbang kepada pembangunan Indonesia.

Sebagai respons, Encik Modi berkata penghormatan itu “mencerminkan muhibah antara kedua-dua negara dan melambangkan hubungan erat serta bersejarah antara Indonesia dan India”.

Encik Modi ialah Perdana Menteri India kedua menerima penghormatan itu daripada Indonesia selepas Perdana Menteri pertama India, Jawaharlal Nehru, yang diiktiraf atas peranannya memperkukuh hubungan Indonesia-India serta sumbangannya sebagai antara perintis dan pemimpin pengasas Pergerakan Negara-Negara Berkecuali.

Indonesia dan India turut berkongsi pandangan sama mengenai penyelesaian isu Palestin-Israel. Encik Modi berkata kedua-dua negara menyokong penyelesaian dua negara serta keamanan yang mampan dan berkekalan antara kedua-dua pihak yang bertelagah.

Dalam sektor teknologi kewangan, Indonesia dan India akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai pembayaran rentas sempadan menggunakan kod respons pantas (QR) bagi memudahkan urus niaga pelawat dari kedua-dua negara.

Langkah itu dijangka memperkukuh hubungan perniagaan dan hubungan rakyat dengan rakyat melalui perjalanan yang lebih mudah antara kedua-dua negara.

Encik Modi disambut pada pagi 7 Julai di istana presiden dengan upacara ketenteraan, termasuk iringan puluhan pengawal berkuda dan sorakan pelajar yang mengibarkan bendera Indonesia dan India, ketika limosin yang membawanya memasuki kawasan istana.

Beliau tiba di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma di Jakarta pada petang 6 Julai.

Encik Prabowo menyambut Encik Modi di apron lapangan terbang selepas beliau menghantar pulang Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, di pangkalan udara sama, susulan mesyuarat retreat kedua-dua pemimpin pada pagi 6 Julai.