NEW DELHI/OTTAWA: India dan Canada saling berbalas tindakan mengusir duta dan diplomat masing-masing ketika perselisihan semakin meningkat sejak 2023.
Perdana Menteri Canada, Encik Justin Trudeau, berkata pemerintahnya bertindak balas mengusir enam diplomat India termasuk dutanya, selepas polis mendapati ejen India terlibat secara langsung dalam pembunuhan pemimpin Sikh, Encik Hardeep Singh Nijjar.
Polis Canada menuduh ejen India terlibat dalam “pembunuhan, peras ugut dan tindakan ganas” serta menyasarkan penyokong gerakan pro-Khalistan, yang menuntut negara berasingan bagi kaum Sikh di India.
Delhi menolak dakwaan itu sebagai “tidak masuk akal” dan menuduh Encik Trudeau mengambil kesempatan daripada masyarakat Sikh yang besar di Canada untuk kepentingan politik.
Bercakap di televisyen secara langsung pada petang 14 Oktober, Encik Trudeau berkata India telah membuat “kesilapan asas” dalam menyokong tindakan “jenayah” di Canada dan kerajaannya terpaksa bertindak atas penemuan terkini.
“Ia membawa kepada satu kesimpulan bahawa adalah perlu untuk mengekang kegiatan jenayah yang terus menimbulkan ancaman kepada keselamatan awam,” tegas Encik Trudeau
India telah menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan dan menegaskan bahawa Canada tidak memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya tersebut.
Hubungan antara Delhi dengan Ottawa telah tegang sejak Encik Trudeau berkata Canada mempunyai bukti boleh dipercayai yang mengaitkan ejen India dengan pembunuhan Encik Nijjar.
Perselisihan itu membawa kepada kemerosotan hubungan, dengan India meminta Canada menarik balik berpuluh-puluh kakitangan diplomatiknya dan menggantung perkhidmatan visa.
Pada 14 Oktober, Kementerian Luar India berkata bahawa dakwaan Canada itu dipengaruhi oleh kempen pemisah Sikh.
Pada masa yang sama, ia mengumumkan enam diplomat Canada, termasuk pemangku Pesuruhjaya Tinggi Encik Stewart Ross Wheeler, telah diminta meninggalkan India menjelang 19 Oktober.
Kementerian Luar India berkata ia telah “menarik balik” utusan tertingginya dan diplomat lain dari Canada.
Encik Nijjar ditembak dan dibunuh oleh dua lelaki bersenjata bertopeng di luar kuil Sikh yang dipimpinnya di Surrey, British Columbia, pada Jun 2023.
Beliau pernah menjadi penyokong lantang gerakan Khalistan, yang menuntut tanah air Sikh yang berasingan. –Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg