Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia akan bawa pulang bekas anggota JI dari Syria, Filipina

Dec 24, 2024 | 10:48 AM
Badan Nasional Anti-Pengganasan (BNPT) Indonesia dan unit antipengganasan polis, Densus 88, mengadakan deklarasi pembubaran Jemaah Islamiyah (JI) di Solo, Jawa Tengah pada 21 Disember dan acara itu menandakan kegiatan ke-45 dan terakhir dalam siri program yang sama diadakan di seluruh negara.
Badan Nasional Anti-Pengganasan (BNPT) Indonesia dan unit antipengganasan polis, Densus 88, mengadakan deklarasi pembubaran Jemaah Islamiyah (JI) di Solo, Jawa Tengah pada 21 Disember dan acara itu menandakan kegiatan ke-45 dan terakhir dalam siri program yang sama diadakan di seluruh negara. - Foto BH oleh  ISMIRA LUTFIA TISNADIBRATA

JAKARTA: Unit antipengganasan polis, Densus 88, mengumumkan rancangan untuk membawa pulang 26 bekas anggota Jemaah Islamiyah (JI) ke Indonesia selepas pembubaran kumpulan pengganas itu.

Ketua Densus 88, Inspektor Jeneral Sentot Prasetyo, menyatakan bahawa bekas ahli JI yang terlibat adalah warganegara Indonesia yang berkhidmat sebagai “pejuang asing,” dengan 16 berada di Syria dan 10 lagi di Filipina.

“Kami sedang mengambil langkah proaktif untuk memastikan mereka dapat dipulangkan dengan selamat,” ujar Encik Sentot tanpa memberikan butiran lanjut.

JI yang bertanggungjawab atas serangan bom Bali 2002 yang meragut 202 nyawa, kini dalam proses pembubaran menutup operasinya sepenuhnya.

Pengumuman tersebut dibuat pada majlis deklarasi pembubaran JI di Surakarta, Jawa Tengah, yang menyaksikan sekitar 8,000 bekas ahli JI mengambil bahagian dalam upacara yang dianjurkan secara fizikal dan dalam talian oleh Densus 88 dan Badan Nasional  Anti-Pengganasan (BNPT).

Dalam acara deklarasi pembubaran tersebut, mereka menyatakan komitmen meninggalkan ideologi ekstremis dan menyokong undang-undang serta negara Indonesia.

“Komitmen ini jelas apabila mereka bersedia membantu pihak berkuasa mengesan 11 pelarian JI yang masih diburu,” kata Encik Sentot.

Upacara di Surakarta merupakan penutup kepada 45 siri acara yang diadakan sejak Jun 2024, melibatkan ribuan bekas ahli JI di 21 kawasan.

Menurut Encik Sentot, langkah itu adalah hasil usaha pemulihan keradikalan bersepadu oleh Densus 88 dan BNPT.

Ketua BNPT, Encik Eddy Hartono, memuji program itu dengan menyatakan bahawa pihak berkuasa akan terus memberi sokongan kepada bekas ahli JI untuk membantu mereka meninggalkan pandangan pelampau.

“Kami juga sedang menilai kemungkinan pembebasan bersyarat untuk beberapa bekas pemimpin JI, termasuk Abu Rusydan dan Para Wijayanto,” ujar Encik Eddy.

Abu yang pernah menjadi penasihat JI, telah dua kali disabitkan dengan kesalahan berkaitan pengganasan dan kini menjalani hukuman di Penjara Cikeas, Bogor.

Para pula, yang pernah memimpin JI dari 2008 hingga 2019, sedang menjalani hukuman penjara tujuh tahun di Jakarta.

Menteri Undang-Undang, Encik Yusril Ihza Mahendra, pada 23 Disember berkata beliau turut menyambut baik pembubaran JI dan menyatakan bahawa pemerintah akan menilai kemungkinan pengampunan untuk bekas ahli JI yang menjalani hukuman.

“Presiden Prabowo (Subianto) sentiasa menekankan pentingnya perdamaian dan perpaduan nasional. Pendekatan ini akan menjadi asas dalam mempertimbangkan pengampunan atau penghapusan hukuman,” ujar Encik Yusril.

JI pernah menjadi dalang kepada beberapa serangan pengganas paling dahsyat di Indonesia, termasuk pengeboman Bali 2002 dan pengeboman Kedutaan Australia 2004.

Namun, dengan pembubaran JI dan usaha berterusan pihak berkuasa, harapan baru muncul untuk masa depan yang lebih aman.

“Langkah ini bukan hanya simbolik, malah bukti nyata bahawa perubahan boleh dicapai dengan kerjasama semua pihak,” tambah Encik Sentot. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg