JAKARTA: Pemerintah Indonesia sedang membuat persiapan terakhir untuk pembentukan Pertubuhan Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO) dalam usaha mempercepatkan pembangunan loji tenaga nuklear di Indonesia.
Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral dan Majlis Tenaga Negara (DEN) telah mencalonkan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Encik Luhut Pandjaitan, mempengerusikan agensi baharu itu, lapor The Jakarta Post.
Sehingga 18 Januari 2024, pihak berkuasa masih menunggu kelulusan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo untuk struktur agensi nuklear dan kepimpinannya.
Pembentukan NEPIO diberi mandat oleh kementerian tenaga pada 2021 untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), untuk membangunkan loji tenaga nuklear di negara ini.
“Daripada 19 keperluan yang disyorkan oleh IAEA, kami telah memenuhi 16 daripadanya,” kata Setiausaha Agung DEN, Encik Djoko Siswanto.
“Hanya tinggal tiga (keperluan), salah satunya ialah (pembentukan) NEPIO, dan kemudian mengenai pihak berkepentingan dan dasar pemerintah.”
Di samping Encik Luhut, kementerian tenaga juga telah menyenaraikan menterinya, Encik Arifin Tasrif, sebagai pengerusi urusan.
Organisasi nuklear baharu itu akan mengawal selia proses komersial loji kuasa nuklear dan akan melaporkan terus kepada presiden.
Anggotanya terdiri antara lain ketua jawatankuasa pemandu Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN), Cik Megawati Soekarnoputri, menteri dan ketua institusi pemerintah yang berkaitan dan ahli DEN.
NEPIO juga akan menubuhkan sekretariat dan melantik naib pengerusi pengurusan untuk mengetuai tiga kumpulan kerja bagi menangani perancangan, operasi dan perhubungan awam, kata Encik Djoko.
Satu mesyuarat akan diadakan tidak lama lagi bagi membincangkan rancangan lebih komprehensif mengenai pembangunan loji tenaga nuklear, termasuk peta jalan yang telah disediakan oleh ThornCon Power, yang berpangkalan di Amerika Syarikat, sebagai salah satu syarikat utama untuk membina loji tenaga nuklear di Indonesia.
Ketua pegawai operasi ThorCon Power Indonesia, Encik Bob S. Effendi, berkata syarikatnya akan memulakan proses pemotongan keluli untuk loji tenaga nuklear pada November 2024 supaya loji janakuasa itu sedia dipasang di Kepulauan Bangka Belitung menjelang 2027.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg