Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia batal larangan kod pakaian wanita di Hari Kemerdekaan

Aug 16, 2024 | 2:40 PM
Presiden Joko Widodo melantik 76 pelajar sebagai anggota pasukan pengibar bendera 2024 di Istana Negara, Nusantara, pada  13 Ogos.
Presiden Joko Widodo melantik 76 pelajar sebagai anggota pasukan pengibar bendera 2024 di Istana Negara, Nusantara, pada 13 Ogos. - Foto BIRO AKHBAR SEKRETARIAT PRESIDEN

JAKARTA: Sebuah agensi pemerintah yang bertanggungjawab ke atas pasukan pengibar bendera berprestij, mengumumkan pada 15 Ogos bahawa para anggota wanita Muslim pasukan itu akan dibenarkan memakai tudung.

Ia membalikkan keputusan sebelum ini yang telah mencetuskan kecaman meluas di negara yang majoritinya beragama Islam.

Ketua Sekretariat, Encik Heru Budi Hartono, membuat kenyataan itu bagi meyakinkan orang ramai selepas Badan Pengembangan Ideologi Pancasila (BPIP) sebelum ini mengaku mengarahkan anggota pasukan pengibar bendera dikenali sebagai Paskibraka menanggalkan tudung semasa menjalankan tugas.

BPIP adalah lembaga pemerintah bukan kementerian yang melestarikan Pancasila, ideologi negara, serta pengembangan dan pelaksanaan ideologinya.

Keputusan melarang pemakaian tudung mendapat kritikan daripada orang ramai selepas mereka mendapati para anggota Paskibraka yang berhijab tidak memakai pakaian Islam semasa majlis pelantikan mereka pada 13 Ogos.

Paskibraka adalah skuad elit yang terdiri daripada remaja sekolah menengah yang dipilih dari seluruh Indonesia.

Mereka bertugas mengiringi, menaikkan dan menurunkan bendera pusaka negara Indonesia sempena upacara Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos setiap tahun.

Menurut kumpulan alumni Paskibraka, terdapat 18 anggota berhijab dalam kumpulan sekarang.

“Kami meminta anggota Paskibraka yang memakai tudung supaya terus menggunakannya semasa bertugas,” kata Encik Heru Budi pada 14 Ogos.

Para anggota Paskibraka memakai tudung semasa raptai Hari Kemerdekaan di Nusantara pagi itu, tambahnya.

Pengerusi BPIP, Encik Yudian Wahyudi, sebelum ini mewajarkan keputusan mengarahkan anggota Paskibraka menanggalkan tudung mereka dengan alasan keseragaman, walaupun pasukan Paskibraka yang lalu dibenarkan memakai tudung semasa bertugas.

“Kita mesti faham bahawa anggota Paskibraka harus seragam,” kata Encik Yudian.

Menurut Encik Hartono, BPIP tidak melaporkan kepada Sekretariat Presiden berhubung arahannya kepada anggota wanita Paskibraka supaya menanggalkan tudung mereka. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg