JAKARTA: Indonesia, dengan 270 juta penduduk adalah salah satu pengeluar tembakau terkemuka dunia dan terdapat kira-kira 70 juta perokok dewasa di negara itu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam tinjauan pada 2021.
Kementerian Kesihatan Indonesia, dalam tinjauan pada 2023 mendapati 7.4 peratus daripada 70 juta perokok di negara itu adalah antara usia 10 hingga 18 tahun, dengan 15 hingga 19 tahun adalah kumpulan usia yang paling ramai merokok.
Menurut kaji selidik kesihatan yang dijalankan pada 2023, amalan merokok dalam kalangan kanak-kanak berusia 10 hingga 18 tahun menurun kepada 7.4 peratus berbanding 9.1 peratus pada 2018. Bagaimanapun, penggunaan rokok elektronik mencatatkan peningkatan kepada 0.13 peratus berbanding 0.06 peratus.
Terbaru, dalam peraturan pemerintah yang ditandatangani Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo pada lewat Julai, Indonesia menaikkan had usia minimum untuk membeli rokok daripada 18 kepada 21.
Dalam peraturan itu, Indonesia turut mengharamkan penjualan sebatang rokok, alternatif murah yang biasa di kedai jalanan tempatan, lapor Reuters.
Langkah itu bertujuan “menurunkan kelaziman perokok dan mencegah perokok awal usia,” mengikut peraturan itu.
Antara peruntukan itu adalah mengharamkan penjualan rokok dalam lingkungan 200 meter dari sekolah dan taman permainan. Peraturan itu berkuat kuasa serta-merta.
Peraturan baru itu juga melarang penjualan rokok konvensional dan elektronik di “aplikasi elektronik komersial” dan laman media sosial.
Pengiklanan rokok di media sosial juga dilarang. Penalti bagi pelanggaran terdiri daripada teguran bertulis kepada larangan sementara untuk mengiklankan rokok.
Peruntukan baru mengenai pengiklanan akan berkuat kuasa dalam masa dua tahun.
Ini sebagai sebahagian daripada siri perubahan kepada peraturan kesihatan yang bertujuan membendung tabiat yang membawa maut di negara yang mempunyai antara kadar merokok tertinggi di dunia itu.
Indonesia menyasarkan untuk mengurangkan jumlah perokok dalam kalangan belia berumur 10 hingga 18 tahun dari 9.1 peratus kepada 8.7 peratus pada 2024 menerusi Rancangan Pembangunan Jangka Sederhana Nasional bagi tempoh 2020-2024, lapor The Jakarta Post.
Penyokong antimerokok berkata, beberapa peraturan baru tidak mencukupi untuk membendung tabiat itu.
Peguam bela kawalan tembakau, Encik Tubagus Haryo Karbyanto, berkata beberapa peruntukan adalah baik, seperti mengawal selia rokok elektronik, namun pemerintah mesti mengeluarkan peraturan pelaksanaan teknikal untuk memastikan pemantauan dan penguatkuasaannya.
Peguam bela kawalan tembakau belia, Encik Manik Marganamahendra, juga berkata penguatkuasaan had usia minimum perlu lebih ketat, contohnya dengan pengesahan pengenalan diri.
Pemerintah Indonesia sudah menaikkan cukai ke atas produk tembakau hampir setiap tahun sejak 2014 untuk mengurangkan penggunaan, namun langkah tersebut tidak memberi kesan ketara terhadap kadar merokok.
Bermula 1 Januari 2020, pemerintah mula menaikkan harga minimum rokok bagi semua kategori sebanyak purata 35 peratus dan meningkatkan cukai ke atas produk tembakau sebanyak 23 peratus.
Jakarta mengekalkan kadar cukai tembakau pada tahun 2019 setelah menaikkannya sebanyak 10 peratus hingga 11 peratus setahun sepanjang lima tahun sebelum ini.
Pada 2019, cukai rokok kretek yang popular bermula dari 370 rupiah hingga 590 rupiah bagi setiap batang rokok, manakala harga asas runcit adalah sekitar 715 rupiah ($0.07043) hingga 1,120 rupiah ($0.11017) sebatang rokok.
Indonesia juga cuba membendung tabiat merokok dengan menaikkan kadar eksais ke atas produk tembakau hampir setiap tahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk 10 peratus pada 2024.
Pemerintah Indonesia memutuskan untuk menaikkan cukai eksais rokok bertujuan mengurangkan perokok dalam kalangan golongan muda dan meningkatkan kesedaran tentang bahaya merokok pada 2023 dan 2024.
Mesyuarat mengenai dasar eksais tembakau yang diketuai Presiden Jokowi memutuskan pemerintah menaikkan kadar eksais bagi rokok kretek buatan mesin dari 11.50 kepada 11.75 peratus, rokok putih dari 11 kepada 12 peratus dan rokok gulung pada purata 5 peratus, lapor Xinhua.
Kenaikan kadar eksais juga akan dikenakan terhadap rokok elektronik dengan kadar purata 15 peratus.
“Rokok meliputi penggunaan kedua tertinggi isi rumah miskin bandar iaitu sebanyak 12.21 peratus dan luar bandar sebanyak 11.63 peratus, juga antara punca kematian dan masalah bantut,” kata Menteri Kewangan Indonesia, Cik Sri Mulyani Indrawati lapor laman berita Kompas.
Menurut beliau, ia sekali gus akan menjadikan kebanyakan jenis rokok di Indonesia dijual pada harga 38,100 rupiah sebungkus.
Kenaikan kadar cukai rokok itu dilakukan selepas mempertimbangkan empat aspek utama iaitu mengurangkan bilangan perokok, isu pekerja di kilang rokok serta membanteras kegiatan penjualan rokok haram.
Di peringkat Asean, Indonesia merupakan negara ketiga yang menjual rokok pada harga tinggi iaitu di belakang Singapura dan Malaysia.
Produk tembakau membunuh 225,720 orang setiap tahun di negara itu, atau 14.7 peratus daripada semua kematian, kebanyakannya akibat penyakit kardiovaskular, menurut satu laporan WHO pada 2018.
Pensyarah dan penyelidik di Jabatan Periodontologi, Universiti Padjadjaran, Bandung, Indonesia, Dr Drg. Amaliya berkata rokok merupakan masalah kesihatan awam utama khususnya di negara berpendapatan rendah.
“Isu merokok ini sangat membimbangkan kerana Asia memiliki angka perokok tertinggi dan di Indonesia sahaja memiliki 70 juta perokok. Kita boleh cakapkan ini sebagai suatu situasi darurat kerana begitu banyak jumlah perokok di Indonesia,” katanya
Pengarah Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan, Encik Imran Pambudi, berkata berdasarkan penyelidikan, merokok menyumbang kira-kira 20 peratus daripada kes batuk kering.
Beliau berkata batuk kering bukanlah penyakit yang berlaku secara semula jadi, sebaliknya terdapat faktor yang menyumbang kepadanya yang perlu ditangani.
“Saya membuat kajian kecil, 76 peratus lelaki Indonesia merokok. Itu yang tertinggi di Asia. Saya juga mendapati perbelanjaan untuk rokok adalah kedua tertinggi, selepas makanan.
“Setiap bulan, per kapita, ada perbelanjaan untuk rokok, kira-kira 76,500 Rupiah. Jadi (selepas) makanan, kedua rokok. Yang lain pendidikan, kesihatan,” katanya.
Sehubungan itu beliau menggesa rakyat Indonesia memberi perhatian kepada isu berkenaan bagi membantu menangani penyakit batuk kering.
Portal berita Antara melaporkan Indonesia diramalkan mempunyai lebih sejuta pesakit batuk kering pada 2023.
Sepertimana Indonesia yang terpaksa menanggung beban ekonomi akibat rokok, dunia juga tidak terkecuali apabila WHO menganggarkan kos perbelanjaan penjagaan kesihatan dan kerugian produktiviti global akibat penyakit berkaitan merokok adalah AS$1 trilion ($1.33 trilion) setahun.
Bagi komuniti perokok pasif, usaha pemerintah itu dilihat cukup serius membanteras tabiat tidak sihat dalam masyarakat ini diraikan dengan penuh gembira setelah sekian lama cukup bersabar dengan kerenah sesetengah perokok yang sengaja tidak menghormati masyarakat sekeliling.
Biarpun demikian, perokok tegar melihat pengumuman itu sebagai satu tindakan berat sebelah.
Mereka melabelkan hak perokok sering kali didiskriminasikan, dianggap sebagai masyarakat kelas ketiga di negara ini sedangkan banyak lagi pencemaran lain seperti asap kenderaan yang berisiko kepada kesihatan sejagat.
Peraturan ke atas produk tembakau sering mengundang kontroversi di Indonesia, di mana syarikat tembakau sering menyatakan penurunan jualan akan menjejas kehidupan petani. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg