JAKARTA: Indonesia mungkin menghentikan eksport tenaga ke negara yang “tidak menghormatinya”, kata seorang menteri kanan pada 22 Oktober, sehari selepas memberi bayangan bahawa Jakarta mungkin tidak akan memperbaharui semula kontrak eksport gas dengan negara jiran.

Kenyataan itu menyusul selepas Presiden Prabowo Subianto menyeru Indonesia supaya melindungi sumber semula jadinya dan mengutamakan kepentingan negara.

Beliau menambah bahawa Indonesia sedang menghadapi keadaan mencabar yang menuntut Indonesia menumpukan perhatian kepada kelangsungan negara.

Menteri Penyelaras Hiliran dan Peralihan Tenaga, Encik Bahlil Lahadalia, berkata Jakarta akan menyemak semula perjanjian eksport tenaganya dengan negara-negara yang gagal menunjukkan nilai saling menghormati, tanpa menamakan mana-mana negara secara khusus.

“Saya akan menjalankan penilaian. Saya tidak akan teragak-agak untuk mempertimbangkan tindakan menghentikan eksport ke negara yang tidak menghormati Indonesia,” kata Encik Bahlil, yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, pada satu majlis perasmian kemudahan pengeluaran gas pada 22 Oktober di Jakarta seperti yang dilaporkan akhbar The Straits Times.

Pengerusi Parti Golkar berkenaan turut berkata perselisihan faham antara negara sepatutnya diselesaikan menerusi dialog dan nilai saling menghormati, meskipun beliau tidak menjelaskan secara terperinci negara atau pertikaian yang dimaksudkannya.

“Jangan datang merayu apabila anda perlukan sesuatu, tetapi apabila timbul isu lain yang sebenarnya boleh dibincangkan, (anda) bertindak seperti saudara yang tiada adab. Ini perkara yang kita tidak mahukan,” katanya.

Beliau menambah bahawa Indonesia kekal terbuka untuk memeterai perjanjian eksport tenaga dengan negara-negara yang melayannya secara saksama, meskipun negara berkenaan tidak mempunyai kontrak dengan Jakarta buat masa ini.

Kenyataan terbaharu beliau itu menyusuli kenyataan sebelum ini pada 21 Oktober, di mana beliau membangkitkan kemungkinan untuk tidak memperbaharui kontrak eksport gas dengan negara-negara jiran bagi memberi keutamaan kepada keperluan domestik.

“Saya juga mungkin mempertimbangkan untuk tidak melanjutkan eksport gas ke negara-negara jiran, kerana kita perlu bertahan dan memenuhi keperluan domestik,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat Kabinet di Jakarta.

Encik Prabowo sebelum ini mengumpamakan sumber semula jadi negara itu seperti darah, sambil berkata sesebuah tubuh tidak boleh bertahan jika kehilangan darah secara berterusan.

Beliau menggesa barisan menteri supaya memastikan sumber Indonesia digunakan demi manfaat rakyatnya sendiri.

Indonesia mengeksport gas asli ke beberapa negara pada 2025, termasuk Jepun, China, Singapura dan Korea Selatan.

Data daripada Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia menunjukkan Jepun menerima kira-kira 3.8 juta tan gas asli, diikuti China (3.79 juta tan), Singapura (3.22 juta tan) dan Korea Selatan (2.27 juta tan).

Negara Asia Tenggara lain termasuk Thailand menerima kira-kira 291,000 tan, manakala Filipina menerima 138,000 tan.

Timbalan Perdana Menteri (DPM) Singapura, Encik Gan Kim Yong, berkata di Parlimen pada September 2025 bahawa Indonesia merupakan antara sumber utama gas asli Republik ini, dengan kontrak import sedia ada dijadualkan tamat pada akhir 2028.

Berita Harian (BH) telah menghubungi Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) untuk mendapatkan ulasan mereka.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti