JAKARTA: Polis antipengganasan Indonesia telah memberkas 15 suspek di enam wilayah dalam satu siri operasi yang menyasarkan rangkaian militan yang dikaitkan dengan ISIS serta kumpulan pelampau lain.

Operasi tersebut dijalankan dari 13 hingga 18 November di Aceh, Sumatera Barat, Riau, Jawa Barat, Jawa Tengah dan Nusa Tenggara Barat, menurut satu kenyataan oleh unit elit antipengganasan polis, Detasmen 88 – yang lebih dikenali sebagai Densus 88 – pada 18 November.

Operasi itu menyasarkan individu yang disyaki terlibat dalam beberapa pertubuhan pelampau, termasuk Negara Islam Indonesia, Jamaah Ansharut Daulah dan Anshor Daulah, sebuah kumpulan yang bersekutu dengan ISIS, lapor The Straits Times.

“Operasi penguatkuasaan undang-undang ini adalah sebahagian daripada usaha Detasmen 88 untuk menghalang rangkaian pengganas daripada berkembang, termasuk aktiviti melibatkan propaganda, merekrut anggota baru, pengumpulan dana dan latihan berkaitan keganasan,” kata jurucakap Densus 88, Encik Mayndra Eka Wardhana, pada 18 November.

Sebahagian daripada mereka yang ditahan merupakan bekas banduan kes pengganasan, namun pihak polis tidak menyatakan jumlahnya atau mengenal pasti mereka.

Jawa Tengah mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi, dengan empat suspek diberkas di daerah Sukoharjo dan Pekalongan pada 17 dan 18 November.

Keempat-empat lelaki yang berusia antara 33 dengan 57 tahun itu didakwa bersekutu dengan rangkaian Anshor Daulah di Solo, di Jawa Tengah.

Di Aceh, tiga suspek berusia antara 51 dengan 66 tahun, telah ditahan pada 17 November di daerah Bireuen dan Aceh Besar, serta Banda Aceh.

Tiga lagi suspek ditahan di wilayah Riau pada 13 November, di bandar Pekanbaru dan Kampar.

Di Jawa Barat, tiga suspek ditahan pada 17 November di Bandung dan Indramayu. Mereka termasuk seorang suspek berusia 24 tahun.

Polis juga menahan seorang suspek berusia 45 tahun di Padang, Sumatera Barat, pada 13 November dan seorang suspek berusia 38 tahun di Bima, Nusa Tenggara Barat, pada 17 November.

Densus 88 berkata siasatan sedang dijalankan bagi menentukan kesalahan yang dilakukan suspek dan mengenal pasti sama ada individu lain turut terlibat.

Polis tidak mendedahkan sama ada suspek merancang serangan tertentu atau memberikan butiran mengenai sebarang senjata atau bahan yang dirampas semasa operasi itu.

Dalam kenyataannya, Densus 88 turut memberi amaran bahawa kumpulan pelampau terus menimbulkan ancaman melalui propaganda dan merekrut anggota baru secara dalam talian, khususnya di media sosial dan platform digital lain.

Penahanan terbaharu ini menyusuli operasi seluruh negara yang serupa pada Oktober, apabila Densus 88 menahan 11 suspek di enam wilayah.

Penyiasat berkata sebahagian suspek menggunakan mesyuarat dalam talian untuk menyelaras aktiviti, manakala yang lain disyaki menyertai latihan menembak yang dijalankan oleh kumpulan pelampau.