JAKARTA: Polis Nasional Indonesia menahan lapan suspek pengganas di Sulawesi Tengah.

Mereka dikaitkan dengan rangkaian Jamaah Ansharut Daulah (JAD) yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas ISIS.

Unit antipengganasan, Densus 88, menyasarkan lapan anggota JAD dalam operasi tersebut, jelas jurucakap unit itu, Pesuruhjaya Kanan Mayndra Eka Wardhana, pada 6 Mei.

Tangkapan itu berlaku dalam serbuan pada waktu subuh, antara 1.30 pagi dengan 3.30 pagi waktu tempatan, di daerah Poso dan Parigi Moutong pada hari yang sama.

Suspek berumur antara 29 dengan 47 tahun.

Salah satu tangkapan dilakukan di Kampung Tomoli Utara, daerah kecil Toribulu.

Selepas suspek itu ditahan, pegawai menggeledah kediamannya dan merampas enam parang, telefon bimbit, serta kad bank.

Penduduk tempatan terkejut kerana suspek yang merupakan penjual buah-buahan, menjalani kehidupan yang kelihatan biasa dalam masyarakat.

Ketua Kampung Tomoli Utara, Encik Jufri Haruji, mengesahkan suspek menjalankan rutin harian menjual buah-buahan, lantas tidak menimbulkan sebarang kecurigaan.

Siasatan awal mendapati suspek didakwa menyebarkan propaganda ekstremis melalui siaran media sosial, video, dan kandungan lain yang menjurus kepada radikalisme dan pengganasan.

Mereka yang diberkas turut dipercayai terlibat dalam kegiatan pengganasan lain.

“Densus 88 terus meluaskan siasatan terhadap lapan suspek tersebut,” ujar Encik Wardhana.

Operasi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk membendung penyebaran radikalisme dan menjamin keselamatan nasional daripada ancaman pengganasan.

Tangkapan itu mengetengahkan cabaran berterusan di Sulawesi Tengah, sebuah wilayah yang sekian lama menjadi tumpuan rangkaian ekstremis.

Daerah Poso khususnya pernah dikaitkan dengan kegiatan militan.

Pasukan keselamatan Indonesia terus memantau dan menghapuskan kumpulan yang terkait dengan organisasi rentas negara. – Agensi berita.