NEW YORK: Indonesia mengumumkan pencalonannya bagi kerusi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk penggal 2029 hingga 2030, dengan ikrar untuk merapatkan perbezaan pendirian antara negara dan memperkukuh usaha mencapai keamanan dunia.

Pengumuman itu dibuat Menteri Luar Indonesia, Encik Sugiono, ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung PBB ke-81 di New York, selepas diberi tanggungjawab oleh Presiden Prabowo Subianto untuk mengetuai delegasi Indonesia.

Dalam ucapan sulungnya di perhimpunan tersebut, Encik Sugiono menegaskan komitmen Indonesia untuk memupuk perpaduan dan memajukan keamanan melalui dialog, mencari titik persamaan serta menterjemahkan tanggungjawab bersama kepada kerjasama yang berkesan.

“Memupuk perpaduan bermakna membina semula kepercayaan terhadap sistem pelbagai hala dan memastikan saluran dialog sentiasa terbuka.

“Memajukan keamanan pula memerlukan kita menegakkan undang-undang antarabangsa dan menggunakan segala mekanisme yang tersedia secara berkesan,” katanya.

Beliau berkata sekiranya dipilih sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB, Indonesia akan bekerjasama dengan semua pihak dan memastikan ruang kerjasama terus terbuka, selaras dengan prinsip dasar luar negara itu.

Indonesia merupakan antara puluhan delegasi yang meninggalkan dewan Perhimpunan Agung PBB sebaik sahaja Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, tampil untuk menyampaikan ucapannya.

Encik Netanyahu menyifatkan delegasi yang meninggalkan dewan sebagai pengecut.

“Jika masih ada pengecut dari segi moral yang belum meninggalkan dewan ini, sila berbuat demikian sekarang,” katanya ketika memulakan ucapan.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Encik Vahd Nabyl Mulachela, berkata tindakan meninggalkan dewan itu merupakan tanda solidariti terhadap rakyat Palestin, selain mengecam jenayah terhadap kemanusiaan dan pencabulan undang-undang antarabangsa yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza serta wilayah Palestin yang diduduki.

Menurut beliau, tindakan tersebut mencerminkan pendirian konsisten Indonesia dalam menyokong kemerdekaan Palestin dan menolak segala bentuk keganasan serta pencabulan undang-undang antarabangsa oleh Israel.

Beliau berkata dengan meninggalkan dewan bersama negara lain yang mempunyai pendirian sama, Indonesia mahu menyampaikan mesej bahawa Israel mesti segera menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin.

Indonesia turut menegaskan bahawa pencabulan undang-undang antarabangsa tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa dan mesti dihentikan segera.

Sehari sebelum menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung PBB, Indonesia melancarkan kempen pencalonannya bagi kerusi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB pada 26 September.

Majlis pelancaran itu dihadiri beberapa pemimpin dan diplomat, termasuk Setiausaha Luar Filipina, Cik Theresa P. Lazaro; Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan; Perdana Menteri Saint Lucia, Encik Philip J. Pierre; serta Timbalan Menteri Luar Georgia, Encik Lasha Darsalia.

Lebih 130 wakil negara anggota PBB, termasuk Palestin, turut menghadiri majlis tersebut.

Kempen Indonesia membawa tema “Memupuk Perpaduan, Memajukan Keamanan”, dengan empat keutamaan utama yang digariskan Encik Sugiono.

Keutamaan pertama ialah meningkatkan kesiapsiagaan Majlis Keselamatan PBB dalam menghadapi perubahan landskap keselamatan dunia.

Kedua, memperkukuh usaha keamanan secara menyeluruh, bermula daripada pencegahan konflik dan pengantaraan kepada operasi pengaman serta pembinaan keamanan selepas konflik.

Ketiga, memperluas penyertaan wanita dan generasi muda, di samping memperkukuh kerjasama dengan pertubuhan serantau dan subserantau.

Keutamaan keempat pula ialah menjadikan Majlis Keselamatan PBB lebih berkesan, telus dan inklusif dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB, Encik Sugiono turut menegaskan komitmen berterusan Indonesia terhadap kemerdekaan Palestin berdasarkan penyelesaian dua negara.

“Indonesia akan terus berdiri bersama rakyat Palestin sehingga hak mereka untuk menentukan nasib sendiri dipenuhi dan sebuah negara Palestin yang merdeka serta berdaulat dapat diwujudkan berdasarkan penyelesaian dua negara, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan ketetapan yang dipersetujui masyarakat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata pengalaman Indonesia dijajah Belanda dan Portugis selama lebih tiga abad membentuk pendirian negara itu dalam menentang penjajahan serta menyokong hak rakyat Palestin menentukan masa depan mereka sendiri.

Sokongan Indonesia terhadap Palestin turut diterjemahkan melalui penyertaan Encik Sugiono dalam beberapa mesyuarat berkaitan Palestin di luar acara utama Perhimpunan Agung PBB.

Pada 25 September, beliau menghadiri Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Arab-Islam mengenai Baitulmakdis, dengan Indonesia menggesa penyelarasan lebih kukuh antara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dengan Liga Arab.

Langkah itu bertujuan menghentikan tindakan Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa di Palestin serta melindungi status sejarah dan perundangan Baitulmakdis.

Sehari sebelumnya, Encik Sugiono menyertai Mesyuarat Penyelarasan Tahunan Menteri-Menteri Luar OIC dan menggesa pertubuhan itu memanfaatkan peningkatan pengiktirafan antarabangsa terhadap Palestin untuk memperkukuh perpaduan serta kerjasama dalam memperjuangkan keamanan berkekalan.

Pada hari yang sama, beliau turut menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri bagi Menyokong Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Dalam mesyuarat tersebut, beliau mengumumkan komitmen Indonesia untuk menyumbang AS$1.2 juta setiap tahun kepada UNRWA.

“Selain menyediakan bantuan kewangan, kita juga mesti mempertahankan mandat dan kredibiliti UNRWA demi kepentingan rakyat Palestin,” tegasnya.