Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia catat sejarah dengan ketibaan kapal induk pertama dari Italy
Indonesia jadi negara kedua Asia Tenggara kendali kapal induk, bakal dinamakan ‘KRI Sriwijaya’
Indonesia catat sejarah dengan ketibaan kapal induk pertama dari Italy
Indonesia menerima kapal induk pertamanya pada 18 September, menandakan langkah baru dalam usaha memperkukuh keupayaan tentera laut negara kepulauan itu serta memperluas keupayaannya dalam operasi keselamatan maritim, kemanusiaan dan bantuan bencana.
Bekas kapal Tentera Laut Italy, ITS Giuseppe Garibaldi, tiba di Dermaga 107, Pelabuhan Tanjung Priok, Jakarta Utara, sekitar 8 pagi selepas memulakan perjalanan dari Italy pada 24 Ogos.
Kapal itu dijadual diserahkan secara rasmi kepada Tentera Laut Indonesia pada 24 September sebelum dinamakan KRI Sriwijaya, sempena empayar maritim Sriwijaya yang pernah menjadi kuasa perdagangan utama di Asia Tenggara.
Ia sebelum ini dirancang dinamakan KRI Gajah Mada.
Ketibaan kapal sepanjang kira-kira 180 meter itu disambut dengan upacara tentera yang dihadiri Menteri Pertahanan Indonesia, Encik Sjafrie Sjamsoeddin; Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Jeneral Agus Subiyanto; dan Ketua Turus Tentera Laut, Laksamana Muhammad Ali.
Pasukan pancaragam tentera turut mempersembahkan beberapa lagu tradisional, termasuk lagu rakyat Betawi, Si Jali-Jali.
Dalam perjalanan dari Italy, kapal itu singgah di beberapa lokasi termasuk Sri Lanka sebelum memasuki perairan Indonesia melalui Alur Laut Kepulauan Indonesia I (ALKI I).
Dua frigat Tentera Laut Indonesia, KRI Brawijaya-320 dan KRI Prabu Siliwangi-321, kemudian mengiringinya melalui perairan Bangka menuju Jakarta.
KRI Sriwijaya akan menjadikan Indonesia negara kedua di Asia Tenggara yang mengendalikan kapal induk selepas Thailand, yang menggunakan HTMS Chakri Naruebet sejak 1997.
Ketua Turus Tentera Laut, Laksamana Muhammad Ali berkata kapal itu dijangka dapat berkhidmat antara 15 dengan 20 tahun lagi dan mampu membawa sekurang-kurangnya 14 helikopter, bergantung pada saiz pesawat.
Giuseppe Garibaldi mula berkhidmat dengan Tentera Laut Italy pada 1985 sebelum ditamatkan perkhidmatan pada 2024.
Ia direka untuk mengendalikan helikopter serta pesawat yang mampu berlepas dalam jarak pendek dan mendarat secara menegak.
Indonesia bagaimanapun tidak merancang menggunakan kapal itu semata-mata sebagai platform untuk melancarkan pesawat tempur.
Sebaliknya, Presiden Prabowo Subianto mahu menjadikannya pusat operasi bergerak bagi helikopter dan dron untuk membantu operasi keselamatan maritim, kemanusiaan serta menangani bencana.
Encik Prabowo berkata kapal itu akan diubah suai supaya dapat membantu menangani kebakaran hutan dan tanah, selain boleh digerakkan dengan pantas ketika berlaku banjir, gempa bumi atau letusan gunung berapi.
Tentera Laut Indonesia sudah menyediakan 310 anggota sebagai bakal kru dan menjalankan beberapa program latihan sebelum kapal tersebut mula beroperasi.
Prasarana tentera laut di Lampung turut disediakan bagi menyokong operasinya.
Ketibaan kapal induk itu merupakan perubahan besar bagi Tentera Laut Indonesia, yang selama ini memberi tumpuan kepada frigat, korvet, kapal selam, kapal peronda dan kapal amfibia.
Ia juga sebahagian daripada usaha lebih luas Encik Prabowo memodenkan angkatan tentera Indonesia melalui pembelian kapal selam, frigat, jet pejuang dan peluru berpandu serta memperluas kerjasama pertahanan dengan beberapa negara.
Bagaimanapun, rancangan itu turut mencetuskan perdebatan mengenai kos.
Kementerian Kewangan Indonesia pada 2025 meluluskan pembiayaan AS$450 juta ($578 juta) bagi program kapal induk tersebut.
Beberapa penggubal undang-undang dan penganalisis memberi amaran bahawa kos sebenar boleh meningkat dengan ketara apabila perbelanjaan mengubah suai kapal, penyelenggaraan, bahan api, kru dan prasarana sokongan diambil kira.
Penganalisis pertahanan Muhammad Fauzan Malufti daripada Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) berkata keputusan mengendalikan kapal induk perlu berdasarkan keperluan operasi sebenar dan kemampuan Indonesia untuk menanggung kosnya.
Beliau berkata usia kapal itu juga perlu dipertimbangkan dan merujuk pengalaman Thailand, yang kapal induknya banyak menghabiskan masa di pelabuhan akibat kekangan operasi dan kewangan.
Penganalisis tentera Khairul Fahmi pula berkata kapal selam, frigat dan sistem persenjataan lain mungkin lebih penting bagi Indonesia untuk mempertahankan perairannya.
Pada masa sama, katanya, kapal induk boleh menjadi platform pelbagai guna sekiranya Indonesia mahu mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa maritim.
Bagi pemerintah Indonesia, nilai KRI Sriwijaya bukan hanya terletak pada keupayaan tempurnya, tetapi juga kemampuannya membawa helikopter, dron dan bantuan ke kawasan bencana di negara yang mempunyai lebih 17,000 pulau.
Ujian seterusnya ialah sama ada Indonesia mampu mengendalikan kapal induk pertamanya secara berkesan tanpa kos operasi dan penyelenggaraan mengatasi manfaat yang diharapkan.
