Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia dakwa pengambilan 18 anak angkat di S’pura tidak sah
Identiti kanak-kanak dipercayai dipalsukan bagi sembunyi asal usul mereka
Indonesia dakwa pengambilan 18 anak angkat di S’pura tidak sah
JAKARTA: Pemerintah Indonesia mendakwa proses pengambilan 18 kanak-kanak warga negaranya sebagai anak angkat di Singapura tidak sah kerana melanggar undang-undang negara itu, selain dipercayai membabitkan sindiket pemerdagangan manusia yang memalsukan identiti mangsa.
Lebih membimbangkan, kanak-kanak terbabit sebenarnya berasal daripada keluarga di Jawa Barat, tetapi dokumen pengenalan diri mereka dipercayai dipalsukan bagi menunjukkan mereka sebagai penduduk Kalimantan Barat.
Perkara itu didedahkan Pengarah Pemulihan Sosial Kanak-Kanak di Kementerian Hal Ehwal Sosial Indonesia, Encik Kahono Agung Suhartoyo, di Jakarta pada 5 November.
Menurut beliau, kesemua 18 kanak-kanak itu dikenal pasti sebagai mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang dibongkar polis Jawa Barat pada 2025.
Sebahagian daripada mereka dikatakan sudah memperoleh kewarganegaraan Singapura melalui keputusan mahkamah negara itu, manakala lapan lagi masih menjalani proses mahkamah berkaitan pengambilan anak angkat.
Encik Agung berkata pihak berkuasa Singapura telah mendapatkan penjelasan daripada pemerintah Indonesia berhubung status lapan kanak-kanak yang masih melalui proses pengambilan anak angkat tersebut.
“Pihak berkuasa Singapura bertanya kepada kami mengenai lapan kanak-kanak yang masih menjalani proses pengambilan anak angkat.
“Kami menjelaskan bahawa pada pandangan kami, proses itu tidak sah kerana tidak memenuhi syarat pengambilan anak angkat yang ditetapkan di Indonesia,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pengambilan anak angkat oleh warga asing tertakluk kepada peraturan ketat bagi memastikan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak dilindungi.
Di Indonesia, setiap permohonan pengambilan anak angkat antarabangsa perlu mendapat pertimbangan Pasukan Pertimbangan Pengambilan Anak Angkat (PIPA).
Pasukan itu dianggotai wakil pelbagai kementerian dan agensi pemerintah, termasuk polis, Agensi Perisikan Keselamatan Polis (Baintelkam), Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI), Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Hal Ehwal Sosial.
Bakal ibu bapa angkat juga diwajibkan memenuhi beberapa syarat sebelum permohonan mereka boleh dipertimbangkan.
Antaranya, mereka mesti menetap di Indonesia sekurang-kurangnya dua tahun, berusia tidak melebihi 55 tahun serta lulus pemeriksaan kesihatan fizikal dan penilaian psikologi.
Menurut Encik Agung, syarat tersebut penting bagi memastikan pengambilan anak angkat dilaksanakan secara sah dan tidak membuka ruang kepada kegiatan pemerdagangan kanak-kanak.
Bagaimanapun, beliau berkata proses membawa 18 kanak-kanak itu ke Singapura didapati mempunyai kaitan dengan sindiket pemerdagangan manusia, seperti yang terdedah menerusi keputusan mahkamah di Bandung.
Sehubungan itu, pemerintah Indonesia menganggap proses pengambilan anak angkat di luar negara tersebut tidak memenuhi prosedur undang-undang yang ditetapkan.
Satu lagi isu yang merumitkan usaha menyelesaikan kes berkenaan ialah dakwaan pemalsuan dokumen pengenalan diri kanak-kanak terbabit.
Encik Agung berkata siasatan KPAI mendapati kanak-kanak itu sebenarnya berasal daripada keluarga di Jawa Barat.
Namun, dokumen kependudukan mereka dipercayai telah diubah bagi menunjukkan mereka berasal dari Kalimantan Barat.
Penemuan itu menimbulkan persoalan mengenai bagaimana identiti sebenar kanak-kanak tersebut boleh diubah sebelum mereka dibawa ke Singapura.
Dalam usaha menyelesaikan kes berkenaan, Kementerian Hal Ehwal Sosial Indonesia kini bekerjasama rapat dengan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Singapura.
Perbincangan antara kedua-dua pihak turut merangkumi kemungkinan membawa pulang kanak-kanak berkenaan ke Indonesia.
“Kami terus berhubung dan menyelaraskan usaha melalui Kedutaan Besar Indonesia di Singapura bagi membincangkan penyelesaian kes ini, termasuk kemungkinan membawa pulang kanak-kanak tersebut ke tanah air,” kata Encik Agung.
Beliau berkata kementeriannya bersedia memberikan perlindungan sosial dan bantuan pemulihan kepada semua kanak-kanak terbabit sekiranya mereka berjaya dibawa pulang.
Pada masa yang sama, usaha sedang dijalankan bagi mengesan ibu bapa kandung mereka dan mengenal pasti lokasi keluarga masing-masing.
Langkah itu bertujuan memastikan kanak-kanak tersebut dapat disatukan semula dengan keluarga asal melalui proses pemulihan dan penyatuan keluarga.
Menurut Encik Agung, usaha mengesan ibu bapa kandung amat penting memandangkan mangsa masih bayi ketika dibawa keluar dari Indonesia.
Beliau menegaskan bahawa kementeriannya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kebajikan kanak-kanak itu terus dilindungi selepas mereka kembali ke negara asal.
“Kementerian Hal Ehwal Sosial bersedia menerima mereka dan menjalankan proses pemulihan mengikut tanggungjawab kami.
“Memandangkan mereka masih bayi, kami akan terlebih dahulu mengesan ibu bapa kandung dan mengenal pasti tempat tinggal mereka.
“Selepas itu, kami akan memastikan kanak-kanak tersebut dapat kembali kepada keluarga masing-masing melalui proses penyatuan semula keluarga,” katanya. – Agensi berita.
