Topik diikuti
Pergi ke BHkuSindiket jual bayi Indonesia ke Singapura berdepan penjara 10 tahun
Sindiket jual bayi Indonesia ke Singapura berdepan penjara 10 tahun
Sindiket jual bayi Indonesia ke Singapura berdepan penjara 10 tahun
BANDUNG: Pendakwa raya Indonesia menuntut hukuman penjara sehingga 10 tahun terhadap anggota sindiket pemerdagangan bayi yang didakwa menjual sekurang-kurangnya 34 bayi, termasuk menghantar sebahagian daripada mereka ke Singapura, dalam antara kes pemerdagangan manusia rentas sempadan terbesar melibatkan bayi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Seramai 19 tertuduh terdiri daripada 18 wanita dan seorang lelaki sedang dibicarakan pada 30 Jun di Mahkamah Daerah Bandung atas dakwaan terbabit dalam kegiatan menjual bayi antara 2022 hingga 2025 dengan berselindung di sebalik proses pengambilan anak angkat.
Pendakwa raya memaklumkan sekurang-kurangnya 12 bayi dihantar ke Singapura dan dijual pada harga antara 200 juta hingga 250 juta rupiah (sekitar S$18,110) bagi setiap bayi.
Lima tertuduh utama, termasuk wanita berusia 70 tahun Lie Siu Luan atau lebih dikenali sebagai Lily dan Popo, berdepan tuntutan hukuman penjara paling berat iaitu 10 tahun kerana dipercayai menjadi dalang utama sindiket berkenaan.
Pendakwa turut menuntut hukuman sama terhadap Astri Fitrinika yang didakwa berperanan merekrut hampir semua bayi yang dijual sindiket itu.
Turut dituntut hukuman 10 tahun ialah Djaka Hamdani dan Elin Marlina yang didakwa membantu mendapatkan bayi, selain Lai Siu Ha yang dituduh memalsukan dokumen bagi menyembunyikan identiti dan asal usul bayi terbabit.
Pendakwa Encik Billie Andrian berkata tindakan tertuduh menimbulkan keresahan masyarakat dan bercanggah dengan nilai moral serta prinsip agama.
“Tindakan para tertuduh telah mengganggu ketenteraman masyarakat. Perbuatan mereka bertentangan dengan prinsip agama dan norma moral yang diterima umum,” katanya ketika membacakan tuntutan di Mahkamah Daerah Bandung.
Seorang lagi pendakwa, Cik Cucu Gantina, meminta mahkamah memutuskan bahawa Lie terbukti secara sah melakukan jenayah merekrut, melindungi, menghantar dan menerima seseorang bagi tujuan eksploitasi manusia di wilayah Indonesia.
Menurut pendakwa raya, Lie didakwa menyelaras keseluruhan operasi termasuk mencari bayi, menyediakan dokumen serta mengatur penghantaran bayi ke luar negara.
Sementara itu, 14 lagi tertuduh lain yang didakwa bertindak sebagai penjaga bayi di rumah transit dan ibu bapa palsu dituntut hukuman penjara lima tahun kerana dianggap memainkan peranan lebih kecil dalam sindiket berkenaan.
Suasana di mahkamah menjadi emosional apabila Lie dan Astri dilihat menangis selepas tuntutan hukuman dibacakan.
Peguam Lie, Encik Sendi Sanjaya, berkata pihaknya menghormati tuntutan pendakwa raya tetapi mempertikaikan unsur eksploitasi yang menjadi asas utama pertuduhan.
“Satu elemen penting yang disebut pendakwa ialah eksploitasi. Tetapi fakta perbicaraan menunjukkan tidak berlaku eksploitasi sama sekali. Kanak-kanak yang diambil sebagai anak angkat itu sihat dan lokasi mereka diketahui,” katanya kepada media selepas prosiding mahkamah.
Beliau berkata pihak pembelaan akan mengemukakan hujah berdasarkan fakta sepanjang perbicaraan.
“Kami akan mempertahankan kes ini berdasarkan fakta yang muncul di mahkamah,” katanya.
Peguam Astri, Encik Hendri Samuel Tampubolon, pula menyifatkan tuntutan hukuman terhadap anak guamnya tidak adil kerana disamakan dengan hukuman terhadap Lie yang didakwa sebagai dalang utama.
“Dalang sebenar ialah Popo. Astri berada di bawah kawalan Popo,” katanya.
Beliau turut berkata Astri memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan pendakwa sepanjang siasatan dijalankan.
“Kami akan membangkitkan semua perkara ini ketika pembelaan nanti,” katanya.
Kes itu mula terbongkar pada Julai 2025 selepas pihak berkuasa Indonesia menahan kira-kira sedozen suspek di Jawa Barat susulan laporan seorang penduduk, Encik Dani Hidayat.
Menurut laporan, Encik Dani menyertai kumpulan Facebook berkaitan pengambilan anak angkat kerana isterinya ketika itu sedang hamil. Dia kemudian dihubungi Astri yang menawarkan bayaran lapan juta rupiah untuk bayinya.
Perbicaraan turut mendedahkan kewujudan beberapa individu dari Singapura yang didakwa bertindak sebagai ejen pengambilan anak angkat.
Ketika memberi keterangan pada Mei lalu, Lie mendakwa empat warga Singapura dikenali sebagai “Petter”, “John”, “Mr Tan” dan “Mr Chew” berperanan sebagai pengantara kepada pasangan di Singapura yang mahu mengambil bayi dari Indonesia.
Menurut dokumen mahkamah, Lie mengaku memperdagangkan sekurang-kurangnya 12 bayi ke Singapura dan menerima bayaran antara S$17,000 hingga S$21,600 bagi setiap bayi.
Lie berkata dia mula dihubungi seorang individu bernama “John” pada penghujung 2022 yang memaklumkan terdapat pasangan dari Singapura mahu mengambil anak angkat dari Indonesia.
Dia kemudian menemui satu pasangan di Pontianak, Kalimantan Barat yang menghadapi kesukaran membayar kos kelahiran bayi mereka.
Lie memberitahu mahkamah bahawa dia membayar 58 juta rupiah untuk menanggung bil hospital pasangan terbabit sebagai pertukaran mendapatkan bayi berkenaan.
Sebagai balasan, “John” didakwa membayar S$17,000 kepadanya.
“Selepas ditolak kos hospital, bayaran notari dan perbelanjaan lain, saya memperoleh keuntungan sekitar S$2,000 hingga S$3,000,” katanya di mahkamah.
Lie turut mendakwa dia menerima permintaan daripada “Petter”, “Mr Tan” dan “Mr Chew” yang disifatkannya sebagai ejen pengambilan anak angkat dari Singapura.
Menurut rekod mahkamah, Lie sedang menguruskan transaksi ketiga melibatkan “Mr Tan” ketika dia ditahan pada Julai tahun lalu.
Pendakwa raya berkata sindiket terbabit aktif mencari bayi melalui media sosial dan beberapa kumpulan pengambilan anak angkat dalam talian.
Sasaran utama mereka ialah ibu bapa dari kawasan Bandung dan beberapa wilayah lain di Jawa Barat yang menghadapi tekanan kewangan.
Bagi memudahkan urusan mendapatkan bayi, anggota sindiket didakwa memberikan antara sembilan juta hingga 15 juta rupiah kepada ibu bapa kandung.
Selepas memperoleh bayi terbabit, sindiket berkenaan didakwa memalsukan sijil kelahiran dengan menamakan beberapa tertuduh sebagai ibu bapa kandung atau penjaga sah.
Dokumen palsu itu kemudian digunakan bagi mendapatkan pasport serta melengkapkan proses pengambilan anak angkat di Singapura.
Pihak berkuasa Indonesia menahan anggota sindiket itu menerusi beberapa serbuan serentak di Bandung, Jakarta dan Pontianak pada pertengahan Julai 2025.
Bayi yang dipercayai menjadi mangsa sindiket ditempatkan di rumah transit sebelum dihantar ke destinasi lain.
Kes berprofil tinggi itu mendapat perhatian meluas di Indonesia dan Singapura.
Pada Januari lalu, pemerintah Indonesia dan Singapura memaklumkan kedua-dua negara sedang bekerjasama rapat dalam siasatan kes berkenaan.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad pada Februari berkata agensi berkaitan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia.
“Apabila fakta kes ini menjadi lebih jelas, kementerian akan menilai sama ada proses pengambilan anak angkat sedia ada perlu dipertingkatkan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen Singapura.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming pula berkata semua proses pengambilan anak angkat rentas negara mesti mematuhi syarat undang-undang ketat di Singapura dan negara asal bayi terbabit.
Pakar sosial sebelum ini menjelaskan kemiskinan masih menjadi faktor utama yang mendorong kegiatan jual beli bayi di Indonesia.
Selain tekanan ekonomi, stigma terhadap pengguguran kandungan dan kurangnya kefahaman mengenai proses pengambilan anak angkat yang sah turut memburukkan keadaan.
Media sosial pula dilihat memudahkan sindiket mencari ibu kandung dan pasangan yang mahu mengambil anak angkat merentasi wilayah serta sempadan negara.
Perbicaraan akan bersambung minggu depan bagi memberi peluang kepada semua tertuduh mengemukakan pembelaan dan rayuan hukuman yang lebih ringan.
