Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia dedah taktik baharu kumpulan radikal perdaya mangsa dalam talian
Indonesia dedah taktik baharu kumpulan radikal perdaya mangsa dalam talian
Bantuan kewangan, tawaran kebajikan dijadikan umpan, 112 kanak-kana cuba direkrut kumpulan pengganasan
Indonesia dedah taktik baharu kumpulan radikal perdaya mangsa dalam talian
JAKARTA: Pemerintah Indonesia memberi amaran bahawa kumpulan radikal dan pengganas kini semakin licik menggunakan tawaran bantuan kewangan, kebajikan serta sokongan peribadi untuk merekrut mangsa di ruang digital, menggantikan pendekatan lama yang berteraskan hasutan kebencian dan keganasan secara terbuka.
Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Cik Meutya Hafid, berkata corak baharu itu jauh lebih sukar dikesan kerana ia bermula dengan pendekatan yang kelihatan ikhlas dan prihatin sebelum mangsa secara beransur-ansur dipengaruhi menerima fahaman ekstrem.
Beliau berkata ancaman radikalisasi digital bukan lagi sekadar kebimbangan teori, sebaliknya sudah terbukti berlaku apabila Badan Nasional Pencegahan Pengganasan (BNPT) berjaya menggagalkan cubaan merekrut 112 kanak-kanak menerusi platform permainan dalam talian Roblox pada Mei lalu.
“Keganasan bermula dengan huluran tangan seperti bantuan perubatan, penyelesaian hutang, bantuan kewangan secara peribadi dan janji kesejahteraan. Selepas kepercayaan berjaya dibina, barulah mereka mula dipengaruhi dengan fahaman ekstrem,” katanya ketika berucap dalam forum awam dan pelancaran buku Atas Nama Surga: Algoritma Radikalisasi Hingga Manipulasi Kesadaran di Jakarta, pada 29 Julai.
Menurut beliau, kumpulan radikal kini tidak lagi menggunakan propaganda yang jelas berunsurkan kebencian atau keganasan, sebaliknya mengambil pendekatan psikologi dengan membina hubungan rapat, menawarkan bantuan dan memberi harapan kepada individu yang berdepan kesulitan hidup.
Katanya, selepas mangsa bergantung kepada bantuan atau hubungan tersebut, proses indoktrinasi dilakukan secara perlahan sehingga mereka menerima ideologi ekstrem tanpa menyedari perubahan yang berlaku.
Cik Meutya berkata kanak-kanak serta golongan yang berdepan masalah ekonomi dan sosial menjadi antara sasaran utama kerana mereka lebih mudah dipengaruhi melalui janji pendidikan, pekerjaan atau kehidupan yang lebih baik.
Beliau turut mendedahkan terdapat kes mangsa dijanjikan pendidikan percuma dan kebajikan, namun akhirnya dieksploitasi sehingga dipaksa berkahwin pada usia muda, sekali gus mencetuskan pelbagai pelanggaran hak asasi manusia.
“Yang paling sukar bukan sekadar berdepan teknologi, tetapi mengenal pasti bila sesuatu bentuk keprihatinan sebenarnya menjadi pintu masuk kepada manipulasi dan radikalisasi,” katanya.
Beliau berkata perkembangan pesat teknologi digital serta penggunaan algoritma media sosial turut menyumbang kepada penyebaran fahaman ekstrem.
Menurutnya, algoritma platform digital cenderung memaparkan kandungan yang sama atau sehaluan dengan apa yang sering ditonton dan dibaca pengguna, menyebabkan mereka terdedah kepada fahaman ekstrem secara berulang-ulang.
“Apabila naratif dan algoritma bergabung, ia boleh mewujudkan ilusi sehingga fakta diketepikan dan emosi atau kepercayaan menjadi penentu utama,” katanya.
Beliau menggesa ibu bapa, institusi pendidikan dan masyarakat meningkatkan literasi digital supaya lebih peka terhadap taktik manipulasi yang digunakan kumpulan radikal di Internet.
Sebagai langkah memperkukuh perlindungan kanak-kanak di alam siber, pemerintah Indonesia sebelum ini melaksanakan Peraturan Pemerintah (PP) No. 17 Tahun 2025 mengenai Tadbir Urus Penyelenggaraan Sistem Elektronik bagi Perlindungan Kanak-Kanak atau dikenali sebagai PP Tunas.
Menurut Cik Meutya, peraturan itu bertujuan mewujudkan ekosistem Internet yang lebih selamat selain menggalakkan penyedia platform digital memperkukuh mekanisme perlindungan pengguna bawah umur.
Katanya, peraturan tersebut turut membantu ibu bapa memahami pelbagai risiko yang dihadapi kanak-kanak ketika menggunakan Internet.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua BNPT, Komisioner Jeneral (B) Eddy Hartono, mendedahkan agensi itu berjaya menggagalkan cubaan merekrut 112 kanak-kanak menerusi Roblox selepas mengesan aktiviti mencurigakan di platform berkenaan.
Beliau berkata kumpulan terbabit menggunakan taktik “digital grooming”, iaitu kaedah manipulasi dalam talian bagi membina hubungan emosi dan kepercayaan dengan kanak-kanak sebelum memperkenalkan fahaman ekstrem.
Menurutnya, proses itu dilakukan secara berperingkat ketika mangsa bermain permainan video dalam talian.
“Pelaku akan membina hubungan mesra melalui fungsi sembang dalam permainan sehingga mangsa merasakan mereka mempunyai minat dan pengalaman yang sama,” katanya.
Beliau berkata selepas hubungan itu semakin rapat, mangsa akan diajak meninggalkan platform permainan dan menyertai aplikasi komunikasi yang lebih tertutup seperti WhatsApp atau Telegram.
“Apabila mereka sudah berada dalam kumpulan yang sama dan merasakan mereka mempunyai nasib serta minat yang serupa, barulah mereka dipindahkan ke platform lain sebelum diberikan doktrin berkaitan fahaman pengganas,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu jauh lebih berbahaya kerana kebanyakan mangsa tidak menyedari mereka sedang dimanipulasi sehingga proses radikalisasi berlangsung.
Susulan penemuan itu, Roblox dilaporkan telah mematuhi PP Tunas dengan memperkenalkan beberapa langkah keselamatan baharu.
Cik Meutya berkata antara langkah yang dilaksanakan ialah sistem pengesahan umur yang lebih ketat serta pemansuhan fungsi komunikasi dengan individu tidak dikenali bagi pengguna berusia bawah 13 dan 16 tahun.
Beliau menyifatkan kerjasama syarikat teknologi dengan pemerintah sebagai langkah penting dalam mengurangkan risiko eksploitasi kanak-kanak di alam digital.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa usaha membanteras radikalisasi tidak boleh bergantung kepada teknologi semata-mata.
Sebaliknya, katanya, ibu bapa perlu memberi perhatian terhadap perubahan tingkah laku anak-anak kerana proses radikalisasi lazimnya berlaku secara perlahan sehingga hubungan mangsa dengan keluarga mula renggang.
“Pencegahan bermula daripada keluarga. Kesedaran masyarakat serta literasi digital yang tinggi merupakan benteng paling berkesan bagi memastikan kanak-kanak dan golongan rentan tidak menjadi mangsa manipulasi kumpulan ekstrem di ruang siber,” katanya. - Agensi berita