JAKARTA: Pemerintah Indonesia enggan membayar wang tebusan AS$8 juta ($10.8 juta) yang dituntut oleh penyerang yang bertanggungjawab terhadap serangan perisian tebusan atau ransomware di dua kemudahan sementara Pusat Data Nasional (PDN) sejak 20 Jun, yang mengganggu perkhidmatan awam.
Kemudahan itu terdedah kepada serangan siber pada 20 Jun, seperti yang disahkan oleh Agensi Siber dan Penyulitan Kebangsaan (BSSN) pada 24 Jun, mengakibatkan gangguan perkhidmatan imigresen dan perkhidmatan awam lain.
Penyerang menggunakan Brain Cipher, kemas kini perisian tebusan LockBit 3.0 – varian yang dilaporkan digunakan oleh kumpulan penggodam LockBit dalam serangan serupa pada 2023 ke atas pemberi pinjaman syariah milik negara Bank Syariah Indonesia (BSI).
Mereka turut menuntut wang tebusan AS$8 juta, lapor firma telekomunikasi milik pemerintah, PT Telkom Indonesia.
Anak syarikat Telkomsigma mengendalikan kemudahan PDN sementara di Jakarta dan Surabaya, Jawa Timur.
Tetapi pemerintah “tidak akan membayar” wang tebusan, kata Menteri Komunikasi dan Penerangan, Encik Budi Arie Setiadi, di Istana Presiden di Jakarta pada 24 Jun, seperti yang dilapor Kompas.
Namun, menteri itu enggan mendedahkan identiti penggodam, menegaskan bahawa butiran lanjut mengenai serangan siber terkini itu akan diumumkan susulan siasatan BSSN.
“Kami masih menilai (dan) cuba lakukan yang terbaik untuk memulihkan (sistem),” tambah Encik Budi.
“Yang penting adalah perkhidmatan awam boleh disambung semula,” jelasnya sambil mendakwa bahawa data awam kekal selamat walaupun terdapat gangguan.
Dalam taklimat akhbar pada 24 Jun, kementerian itu berkata kira-kira 210 pangkalan data milik pemerintah pusat dan institusi pentadbiran wilayah terjejas akibat serangan itu, yang pertama kali dilaporkan pada 20 Jun.
Sehingga 24 Jun, beberapa agensi termasuk pejabat imigresen, Pejabat Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan dan bandar Kediri di Jawa Timur, telah mendapat akses kepada pangkalan data yang dipulihkan dan telah menyambung semula perkhidmatan awam. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg