Jumlah percubaan memancing data yang dilaporkan kepada Pasukan Respons Kecemasan Komputer Singapura (SingCert) bertambah lebih dua kali ganda kepada 8,500 kes pada 2022 daripada 3,100 kes pada 2021.
Kebanyakan kes berlaku dalam sektor perkhidmatan kewangan dan perbankan, pemerintah serta logistik.
Lebih 80 peratus laman pancingan data menyamar sebagai entiti dalam sektor perkhidmatan kewangan dan perbankan, dedah Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura dalam laporan Landskap Siber Singapura 2022 pada Jumaat.
CSA berkata sektor itu selalu menjadi sasaran kerana ia institusi boleh dipercayai yang menyimpan maklumat sensitif dan berharga seperti butiran peribadi dan log masuk.
Secara keseluruhan, pertambahan percubaan memancing data itu mencerminkan trend global, dengan beberapa vendor keselamatan siber menyaksikan kegiatan memancing data bertambah dengan banyak pada 2022, kata CSA.
Namun, jumlah kejadian perisian tebusan (ransomware), peralatan terjangkit serta kerosakan laman web yang berlaku di Singapura berkurang dari 2021 hingga 2022.
Sementara jumlah kes perisian tebusan yang dilaporkan di sini berkurangan sedikit daripada 137 kes pada 2021 kepada 132 pada 2022, CSA berkata ia tetap menjadi keprihatinan utama kerana kira-kira satu kes dilaporkan setiap tiga hari secara purata.
Kes itu kebanyakannya menjejas syarikat kecil dan sederhana (SME) dalam sektor seperti perkilangan dan runcit kerana ia menyimpan data berharga dan juga Hak Intelektual (IP), yang digunakan penjenayah siber untuk memeras ugut bagi keuntungan kewangan.
Secara global, kejadian perisian tebusan bertambah sebanyak 13 peratus.
Peralatan terjangkit – alat terjejas dalam ruang siber Singapura yang disalah guna penyerang bagi tujuan jahat – pula berkurangan 13 peratus dari 2021 hingga 2022.
Sementara itu, kerosakan laman web berkurangan 19 peratus dalam tempoh sama, dengan kebanyakan mangsa merupakan SME.
“Trend berkurangan ini mungkin boleh dikaitkan kepada kegiatan penggodaman berpindah ke wadah lain yang berpotensi mempunyai jangkauan lebih luas, seperti media sosial,” kata CSA.
Laporan Landskap Keselamatan Siber turut mengemukakan beberapa trend yang harus dipantau, antaranya kesan kecerdasan buatan (AI).
Sedang AI semakin mudah diakses dan maju, pelaku mungkin menggunakan teknologi itu bagi kegiatan jahat.
Mereka juga boleh menjadi semakin kreatif dalam mengambil alih akaun, melakukan penipuan perniagaan atau menjejas reputasi sesebuah pertubuhan, menurut CSA.
Bagi memperkukuh kedudukan keselamatan siber di Singapura, CSA bakal melancarkan kempen keselamatan siber nasional baru lewat tahun ini, memberi tumpuan ke arah meningkatkan kesedaran dan menggalak amalan keselamatan siber yang baik.
Pesuruhjaya Keselamatan Siber dan Ketua Eksekutif CSA, Encik David Koh, berkata 2022 menyaksikan peningkatan ancaman siber yang didorong konflik geopolitik dan peluang jenayah siber sedang sekatan Covid-19 kian longgar.
“Pemerintah akan terus meningkatkan usaha melindungi ruang siber kita, tetapi kita perlukan perniagaan dan individu memainkan peranan mereka juga, agar kita dapat meraih manfaat sepenuhnya daripada masa depan digital kita,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg