Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia hulur bantuan kemanusiaan ke Yaman, Sudan, Palestin

Oct 15, 2024 | 1:20 PM
Menteri Ehwal Luar, Cik Retno Marsudi (depan), dalam majlis penghantaran bantuan kemanusiaan ke tiga negara dilanda konflik di Pangkalan Tentera Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta. 
Menteri Ehwal Luar, Cik Retno Marsudi (depan), dalam majlis penghantaran bantuan kemanusiaan ke tiga negara dilanda konflik di Pangkalan Tentera Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta.  - Foto  BADAN AMIL ZAKAT NASIONAL (BAZNAS)

JAKARTA: Pemerintah Indonesia telah menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada tiga negara, iaitu Yaman, Sudan, dan Palestin pada 14 Oktober.

Bantuan tersebut diberikan susulan krisis kemanusiaan yang sedang melanda negara tersebut termasuk banjir, wabak penyakit dan konflik berterusan.

Menteri Ehwal Luar, Cik Retno Marsudi, menyatakan bahawa ketiga-tiga negara tersebut mengalami pelbagai kesulitan yang serius dan memerlukan sokongan segera daripada masyarakat antarabangsa.

Majlis penghantaran bantuan itu telah dipimpin oleh Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Encik Muhadjir Effendy, yang berlangsung di Pangkalan Tentera Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta.

Cik Retno menjelaskan bahawa keadaan di Gaza semakin meruncing, dengan lebih 42,000 orang terbunuh, 1.9 juta penduduk dipindahkan dan lebih 400,000 orang berada di ambang kebuluran.

Beliau turut menambah bahawa sejak September, Gaza menghadapi wabak polio yang semakin meluas.

Di Yaman pula, seramai 268,000 penduduk terjejas akibat banjir besar; manakala di Sudan, lebih 8.1 juta penduduk telah dipindahkan secara paksa sejak konflik meletus pada April 2023.

Di samping itu, lebih dua juta orang telah melarikan diri dari negara itu akibat pergolakan yang berterusan.

Menggunakan dana kecemasan daripada Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, pemerintah telah menyediakan bantuan kewangan AS$1 juta ($1.31 juta) untuk setiap negara terbabit.

Ketua BNPB, Encik Suharyanto, akan mengetuai misi bantuan ke Yaman bersama pasukan yang terdiri daripada wakil Kementerian Luar Negara, Kementerian Kesihatan dan Badan Pengawasan Kewangan dan Pembangunan (BPKP).

“Ini adalah kali pertama Indonesia menghantar bantuan ke Yaman, dan saya sendiri akan mengetuai misi ini,” katanya.

Pasukan tersebut berlepas pada 15 Oktober menggunakan pesawat Garuda Indonesia ke Lapangan Terbang Fujairah di Amiriah Arab Bersatu, sebelum menaiki pesawat Moldova Air untuk meneruskan perjalanan ke Yaman.

Bantuan untuk Palestin pula akan disalurkan melalui Jordan dengan kerjasama Pertubuhan Amal Jordan Hashemite.

“Saya berharap bantuan ini dapat meringankan penderitaan saudara-saudara kita di Yaman, Sudan dan Palestin,” kata Encik Suharyanto menutup ucapannya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg