Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Indonesia kirim ubat-ubatan, peralatan perubatan ke Palestin

Tuntutan Israel pertahankan diri, tidak mewajarkannya melancarkan serangan terhadap sasaran orang awam: Menteri Luar Indonesia, Cik Retno Marsudi
Nov 23, 2023 | 03:25 PM



JAKARTA: Agensi Pembangunan Antarabangsa Indonesia (AID Indonesia) pada pagi Rabu menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin, dalam bentuk ubat-ubatan dan peralatan perubatan bernilai kira-kira S$2.68 juta.


“Bantuan ini adalah sebahagian daripada bantuan pemerintah Indonesia kepada Palestin. “Kumpulan pertama dihantar pada 20 November (2023) dari Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma,” kata Setiausaha Ketua Direktorat Pembiayaan dan Pengurusan Risiko, Kementerian Kewangan, Encik Ubaidi Socheh Hamidi , di Jakarta.

Bantuan kemanusiaan itu dihantar dengan pesawat sewaan Airbus A330-900neo milik Lion Air, yang terbang terus dari Jakarta ke Lapangan Terbang El-Arish di Mesir, tambahnya seperti yang dilaporkan agensi berita rasmi Antara.

Pesawat itu berlepas pada pukul 4:30 pagi waktu tempatan dan mendarat di Mesir pada hari yang sama pada pukul 11 pagi waktu di sana.

Beliau memaklumkan, bantuan itu akan diserahkan kepada Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) melalui Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir, untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas di Palestin.

Pada majlis berasingan, Pengarah AID Indonesia, Encik Tormarbulang Lumbantobing berkata, pakej bantuan itu terdiri daripada 55 palet ubat-ubatan dan peralatan perubatan bernilai Rp31.9 bilion atau kirap-kira S$2.68 juta.

Bantuan itu dibiayai oleh agensinya dengan sokongan penuh Kementerian Kesihatan, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Kewangan.

Kesemua barangan itu dihantar berdasarkan senarai keperluan yang disyorkan UNRWA, katanya.

“Semua barangan yang dihantar adalah barangan yang sangat diperlukan oleh penduduk Gaza,” tambahnya.

AID Indonesia ialah sebuah agensi perkhidmatan awam, di bawah Kementerian Kewangan.

Ia ditubuhkan untuk membantu kerjasama pembangunan antarabangsa, termasuk menjalankan misi kemanusiaan.

Sementara itu, dalam satu perkembangan berasingan, Menteri Luar, Cik Retno Marsudi, baru-baru ini memberitahu rakan sejawatannya dari Russia, Encik Sergey Lavrov bahawa Israel tidak seharusnya mewajarkan membunuh orang awam di Gaza, atas alasan “mempertahankan diri”.

Cik Retno, melawat Russia pada Selasa bersama beberapa orang menteri lain dari Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Para diplomat itu mengadakan perbincangan dengan Encik Lavrov untuk menamatkan perang di Gaza.

Ketika korban awam terus meningkat di Gaza - ditambah pula dengan serangan Israel baru-baru ini ke atas hospital Indonesia di kawasan yang dilanda perang - Indonesia mengulangi pendiriannya bahawa Israel tidak berhak menggunakan pertahanan diri sebagai alasan untuk kekejamannya.

“Saya memberitahu mesyuarat itu, bahawa dakwaan Israel tentang apa yang dilakukannya untuk mempertahankan diri, adalah tidak boleh diterima sama sekali.

“Penjajah seperti Israel tidak boleh menggunakan alasan itu,” kata Cik Retno dalam satu kenyataan video yang dirakam dari London, mengulas mengenai perbincangannya dengan Encik Lavrov baru-baru ini.

“Kami tidak boleh menggunakan ‘pertahanan diri’ sebagai lesen untuk membunuh orang awam dan menyerang kemudahan kemanusiaan,” kata Cik Retno, dipetik oleh Jakarta Globe.

Menurut Cik Retno, mesyuarat Russia dan OIC itu juga membincangkan tentang “langkah strategik” ke arah penyelesaian dua negara, yang membayangkan Israel dan Palestin sebagai dua buah negara merdeka.

Terdapat juga rancangan untuk mengadakan persidangan antarabangsa mengenai situasi Gaza.

Cik Retno menambah: “Russia bersetuju terhadap perkara-perkara yang terkandung resolusi OIC-Liga Arab, yang diterima pakai baru-baru ini.”

Perwakilan OIC kini sedang melawat negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, dengan Russia menjadi persinggahan kedua selepas China.

Cik Retno kini berada di London untuk mengadakan perbincangan serupa dengan Setiausaha Luar Britain, Encik David Cameron.

Mereka kemudiannya akan menuju ke Paris untuk pertemuan dengan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron.

Majlis Keselamatan PBB mempunyai 5 anggota tetap dan 10 anggota tidak tetap, dipilih untuk tempoh dua tahun.

Amerika Syarikat, Britain, China, Russia dan Perancis ialah anggota tetap majlis itu.

Eik Retno bagaimanapun tidak menyebut sebarang rancangan untuk OIC melawat Amerika dalam kenyataan akhbarnya. - Agensi berita




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >