JAKARTA: Pemerintah Indonesia mempertahankan pendekatan diplomasi aktif Presiden Prabowo Subianto dengan menyatakan lawatan luar negara beliau sepanjang satu setengah tahun lalu membawa pelbagai manfaat nyata kepada kepentingan nasional Indonesia.

Setiausaha Kabinet Indonesia, Encik Teddy Indra Wijaya, berkata adalah tidak tepat untuk menganggap lawatan luar negara Encik Prabowo sekadar bersifat simbolik atau hanya untuk memenuhi protokol diplomatik.

“Adalah salah sama sekali jika dikatakan lawatan ini hanya bersifat pentas upacara. Kita perlu melihat apa yang berjaya dicapai sepanjang satu setengah tahun lalu,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial Sekretariat Kabinet pada 1 Jun.

Menurut Encik Teddy, antara pencapaian terbesar diplomasi Indonesia ialah kejayaan negara itu menyertai kumpulan Brics (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) yang disifatkan membantu memperkukuh kestabilan bekalan tenaga dan memastikan harga bahan api bersubsidi terus terkawal ketika dunia berdepan gangguan geopolitik dan ekonomi.

Beliau berkata Indonesia juga berjaya memperoleh tarif sifar peratus bagi eksport ke 25 negara Eropah bermula tahun 2025.

Dalam sektor ekonomi, Encik Teddy berkata data Badan Penyelaras Pelaburan Indonesia menunjukkan negara itu menerima pelaburan berjumlah 2,430 trilion rupiah ($173.5 bilion) dalam tempoh satu setengah tahun lalu.

Menurut beliau, lawatan terbaru Encik Prabowo ke Jepun dan Korea Selatan turut menghasilkan komitmen pelaburan tambahan bernilai 575 trilion rupiah.

“Ini menunjukkan diplomasi luar negara bukan sekadar pertemuan rasmi, tetapi memberi kesan langsung kepada ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.

Encik Prabowo sejak mengambil alih jawatan pada Oktober 2024 telah melakukan lebih 50 lawatan dan penglibatan antarabangsa melibatkan sekurang-kurangnya 29 negara.

Lawatan terbarunya ke Perancis untuk bertemu Presiden Emmanuel Macron menarik perhatian ramai kerana ia merupakan lawatan keempat beliau ke negara itu sejak menjadi presiden.

Menurut pemerintah Indonesia, lawatan itu bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan, tenaga dan pendidikan selain mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Encik Teddy berkata diplomasi aktif Indonesia turut membuka ruang kerjasama pertahanan lebih luas dengan beberapa kuasa besar dunia termasuk Perancis, Amerika Syarikat, Russia, China dan United Kingdom.

Beliau berkata hubungan baik dengan Arab Saudi pula membantu memudahkan urusan Haji rakyat Indonesia termasuk cadangan pembinaan kampung Haji khas untuk jemaah negara itu.

Indonesia juga terus memperlihatkan sokongan terhadap rakyat Palestin menerusi penghantaran bantuan udara, kapal hospital dan program biasiswa kepada pelajar Palestin.

“Kita membina hubungan baik supaya apabila berlaku kecemasan atau krisis global, negara-negara ini boleh saling membantu,” katanya.

Walaupun pemerintah mempertahankan pendekatan diplomasi Encik Prabowo, beberapa tokoh politik dan penganalisis sebelum ini mempersoalkan kekerapan lawatan luar negara beliau ketika Indonesia masih berdepan cabaran ekonomi domestik.

Bekas Timbalan Menteri Luar Indonesia, Encik Dino Patti Djalal, berkata rakyat berhak mempersoalkan perjalanan luar negara presiden yang dianggap terlalu kerap.

Menurut beliau, lawatan presiden melibatkan kos besar termasuk pengangkutan, penginapan, logistik dan keselamatan.

“Sejak memegang jawatan, presiden menghabiskan kira-kira satu daripada setiap enam hari di luar negara. Jadi tidak pelik jika ada pihak melihat keadaan ini sebagai luar biasa,” katanya dalam hantaran di Instagram.

Encik Dino turut mencadangkan penggunaan diplomasi maya dan perancangan perjalanan yang lebih tersusun.

Bagaimanapun Encik Teddy menegaskan semua lawatan dilakukan berdasarkan keutamaan mendesak yang ditentukan sendiri oleh Encik Prabowo dan Menteri Luar Indonesia, Encik Sugiono.

Menurut beliau, tidak semua urusan diplomatik perlu diumumkan secara terbuka kerana ada perbincangan sensitif yang memerlukan kerahsiaan.

“Diplomasi bukan sekadar pertemuan rasmi yang dilihat umum. Banyak komunikasi berlaku di belakang tabir,” katanya.

Menjawab kritikan mengenai kos lawatan, Encik Teddy berkata Encik Prabowo sendiri menanggung sebarang lebihan kos berkaitan lawatan luar negara.

Beliau turut menjelaskan jumlah delegasi rasmi kini dikurangkan secara besar-besaran kepada sekitar 50 hingga 60 orang sahaja.

Pemerintah Indonesia juga menolak dakwaan bahawa lawatan luar negara mengabaikan masalah domestik.

Ketua Agensi Komunikasi Pemerintah Indonesia, Encik Muhammad Qodari, berkata lawatan ke Perancis misalnya telah diumumkan lebih awal dan mempunyai objektif strategik penting.

Menurut beliau, hubungan peribadi Encik Prabowo dengan pemimpin dunia termasuk dari China, Russia dan Amerika Syarikat menjadi aset penting kepada Indonesia.

Namun penganalisis dasar luar dari Universiti Padjadjaran, Teuku Rezasyah, mengingatkan bahawa pendekatan diplomasi secara langsung oleh presiden tidak seharusnya mengetepikan peranan kor diplomatik Indonesia.

“Pada akhirnya, duta Indonesia di negara berkenaan ialah individu yang paling memahami keadaan negara itu daripada perspektif Indonesia,” katanya kepada The Jakarta Post.

Walaupun terdapat kritikan, pemerintah Indonesia tetap melihat diplomasi aktif Prabowo sebagai strategi penting dalam memastikan Indonesia terus relevan dan berpengaruh di peringkat antarabangsa ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi.

Bagi pemerintah, pendekatan itu bukan sekadar membina imej antarabangsa, tetapi juga bertujuan membawa manfaat ekonomi, keselamatan dan hubungan strategik jangka panjang kepada Indonesia. - Agensi berita