SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Indonesia kekalkan subsidi bahan api, kawal tambang penerbangan

Indonesia kekalkan subsidi bahan api, kawal tambang penerbangan

Pemerintah tegaskan kewangan negara masih cukup untuk hadapi krisis tenaga
Apr 7, 2026 | 3:02 PM

Indonesia kekalkan subsidi bahan api, kawal tambang penerbangan

Indonesia, bahan api, tambang penerbangan, konflik AS-Iran
Seorang pekerja menyusun botol plastik terpakai untuk dikitar semula di Banda Aceh, Indonesia, pada 7 April, susulan kenaikan harga plastik yang dilaporkan mencecah sehingga 50 peratus akibat penutupan Selat Hormuz, laluan penting bagi bahan mentah petroleum yang digunakan dalam pengeluaran plastik. - Foto EPA

Pemerintah Indonesia menegaskan negaranya masih mempunyai kemampuan kewangan mencukupi untuk mengekalkan harga bahan api bersubsidi dan bantu menstabilkan tambang penerbangan domestik, meskipun harga tenaga global meningkat, susulan konflik antara Amerika Syarikat, Israel dengan Iran.

Menteri Penyelaras Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, berkata pemerintah bersama syarikat minyak negara, Pertamina, memutuskan untuk tidak menaikkan harga petrol bersubsidi dan diesel biosolar.

“Bagi mengekalkan kestabilan ekonomi dan kuasa beli rakyat, pemerintah memutuskan harga bahan api bersubsidi tidak akan dinaikkan,” katanya dalam sidang media pada lewat malam 6 April.

Beliau menambah, harga tersebut akan dikekalkan sehingga Disember, sekiranya purata harga minyak global tidak melebihi AS$97 ($125) setong.

Menteri Kewangan, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, turut menegaskan pemerintah mempunyai lebihan peruntukan wang, iaitu sekitar 420 trilion rupiah ($32 bilion) sebagai penampan fiskal.

“Bajet kita mencukupi. Setiap dasar mempunyai implikasi kewangan, tetapi semuanya telah dikira dengan teliti,” katanya, sekali gus menepis spekulasi bahawa pemerintah berdepan kekurangan dana.

Bagaimanapun, beliau menjangka harga minyak tidak akan kekal melebihi AS$100 setong dalam tempoh panjang.

Dalam sektor penerbangan, pemerintah membenarkan syarikat penerbangan menaikkan tambang antara 9 hingga 13 peratus, susulan peningkatan kos bahan api jet (avtur), yang tidak disubsidi.

Namun, bagi memastikan harga kekal mampu milik, pemerintah akan menanggung cukai nilai tambah (VAT) sebanyak 11 peratus selama sekurang-kurangnya dua bulan.

Selain itu, kadar surcaj bahan api ditetapkan pada 38 peratus bagi pesawat jet dan kipas, berbanding cadangan awal industri yang lebih tinggi.

“Langkah ini bertujuan mengimbangi kos tanpa membebankan rakyat,” kata Encik Airlangga.

Nilai subsidi dianggarkan sekitar 1.3 trilion rupiah sebulan, manakala Pertamina akan menyediakan kelonggaran bayaran bahan api kepada syarikat penerbangan melalui skim perniagaan ke perniagaan.

Setakat April, harga avtur di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta mencecah kira-kira 23,551 rupiah seliter, dengan bahan api menyumbang sekitar 40 peratus kos operasi syarikat penerbangan.

Pemerintah turut mengumumkan insentif tambahan dengan mengurangkan duti import alat ganti pesawat kepada sifar peratus.

Menurut Encik Airlangga, langkah itu dijangka mengurangkan kos operasi syarikat penerbangan serta meningkatkan daya saing industri penyelenggaraan dan membaiki pesawat.

“Dasar ini dijangka merangsang aktiviti ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Langkah tersebut juga dijangka menjana sumbangan tambahan kepada Hasil Dalam Negara Kasar (GDP), serta membuka kira-kira 1,000 pekerjaan langsung.

Menteri Pengangkutan, Encik Dudy Purwagandhi, berkata pemerintah telah berunding dengan semua syarikat penerbangan domestik bagi menentukan kadar surcaj bahan api yang sesuai.

“Kadar 38 peratus dianggap seimbang kerana tidak menjejaskan industri secara teruk, pada masa sama masih mampu ditanggung rakyat,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg