JAKARTA - Indonesia akan mengenakan cukai baru ke atas e-rokok mulai 1 Januari 2024, menambah cukai eksais untuk membantu mengekang vape, kata Kementerian Kewangan pada 30 Disember.
Negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu, telah menetapkan cukai tambahan pada 10 peratus daripada tarif eksais bagi rokok elektronik, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
“Pengambilan jangka panjang rokok elektronik telah terbukti menjejaskan kesihatan orang ramai,” menurut kenyataan itu.
Ia menambah bahawa cukai ke atas e-rokok juga diperlukan, untuk menyamakan kedudukannya dengan rokok konvensional.
Cukai baru itu dibuat selepas Indonesia, yang mempunyai antara kadar merokok tertinggi di dunia, pada 2018 mengenakan cukai eksais sebanyak 57 peratus ke atas pati yang digunakan untuk e-rokok. Indonesia telah lama mengenakan cukai rokok konvensional.
Sekumpulan pengeluar dan pelanggan e-rokok, mengkritik kekurangan perbincangan dan masa pelaksanaan cukai, memandangkan tarif eksais untuk produk itu akan meningkat pada 2024.
Kumpulan itu berkata, ia mungkin mempertimbangkan untuk pergi ke mahkamah untuk mencabar cukai jika pemerintah meneruskan pelaksanaannya. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg