JAKARTA: Pemerintah Indonesia mengerahkan seramai 4,576 anggota keselamatan pada 17 Jun bagi mengawal beberapa siri tunjuk perasaan mahasiswa dan pertubuhan masyarakat sivil yang berlangsung di beberapa lokasi utama di Jakarta.

Pasukan keselamatan itu membabitkan anggota Polis Metropolitan Jakarta, polis daerah dan balai polis tempatan dengan sokongan pasukan pengurusan demonstrasi di Jakarta Pusat.

Jurucakap Polis Jakarta, Inspektor Satu Erlyn Sumantri, berkata ribuan anggota gabungan dikerahkan bagi memastikan semua demonstrasi berjalan secara aman dan terkawal.

“Ribuan anggota gabungan dikerahkan hari ini untuk memastikan semua demonstrasi awam di Jakarta berlangsung dengan selamat, teratur dan aman,” katanya.

Menurut beliau, antara lokasi utama yang menjadi tumpuan kawalan keselamatan ialah kawasan Gambir dan Monumen Nasional (Monas), kompleks Parlimen Indonesia, pejabat Badan Gizi Nasional (BGN) serta sekitar Kementerian Kewangan Indonesia.

Di kawasan Monas, pasukan keselamatan ditempatkan di bahagian Cawan Selatan bagi mengawal demonstrasi anjuran Gabungan Masyarakat Jakarta Timur bersama beberapa kumpulan lain yang bermula pada jam 10 pagi.

Sementara itu, di kompleks Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), polis mengawal tunjuk perasaan anjuran Gabungan Mahasiswa dan Pemuda Jakarta Peduli Indonesia.

Pengawasan keselamatan turut diperketat di kawasan parkir Hotel Pullman susulan demonstrasi oleh kumpulan AUR Barisan Merdeka Jakarta.

Pasukan polis juga dikerahkan di sekitar pejabat BGN bagi memantau demonstrasi dianjurkan Barisan Rakyat dan Gabungan Mahasiswa Madani Seluruh Indonesia.

Menjelang tengah hari, polis mengadakan taklimat kesiapsiagaan di sekitar Kementerian Kewangan Indonesia sebelum tunjuk perasaan oleh Pergerakan Mahasiswa Islam Indonesia (PMII) cawangan Jakarta Selatan.

Inspektor Erlyn Sumantri menggesa semua peserta demonstrasi mematuhi undang-undang serta membantu menjaga ketenteraman awam ketika menyuarakan pandangan mereka.

“Kami menggesa semua pihak yang menyampaikan pendapat di tempat awam supaya mematuhi peraturan sedia ada dan menjaga ketenteraman umum,” katanya.

Beliau turut mengarahkan anggota keselamatan supaya mengutamakan pendekatan berhemah dan dialog ketika berdepan penunjuk perasaan.

Pada masa sama, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di kawasan yang terjejas akibat demonstrasi tersebut.

Gelombang protes mahasiswa di Indonesia semakin memuncak sejak beberapa hari lalu apabila kumpulan mahasiswa dan masyarakat sivil mengadakan demonstrasi di beberapa bandar utama bagi membantah dasar pemerintah Presiden Prabowo Subianto dan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka.

Antara tuntutan utama mereka ialah penambah baikan taraf hidup rakyat, bantahan terhadap kenaikan harga bahan api tanpa subsidi, pengukuhan usaha membanteras rasuah serta menghentikan proses militarisasi dalam ruang awam.

Demonstrasi serupa sebelum ini dilaporkan berlangsung di Jakarta pada 12 Jun dan 15 Jun lalu selain di beberapa bandar lain termasuk Bandung, Solo, Medan dan Makassar.

Pada 17 Jun, tunjuk perasaan turut diadakan di Surabaya yang digerakkan Gabungan Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM) Surabaya.

Jurucakap Tentera Nasional Indonesia (TNI), Brigedier Jeneral Muhamad Nas, mengesahkan kehadiran anggota tentera di Jakarta Pusat dibuat atas permintaan pihak polis.

Menurut beliau, anggota TNI tidak dikerahkan untuk berdepan secara langsung dengan penunjuk perasaan, sebaliknya hanya memberi sokongan tambahan sekiranya keadaan tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh polis.

“TNI tidak mengambil alih tugas penguatkuasaan undang-undang polis ketika mengendalikan demonstrasi,” katanya.

Kehadiran anggota tentera dalam operasi kawalan demonstrasi bagaimanapun mencetuskan perhatian sebahagian kumpulan masyarakat sivil yang bimbang terhadap peningkatan pengaruh tentera dalam urusan awam.

Isu penglibatan tentera dalam ruang awam kini menjadi antara tema utama yang dibangkitkan penunjuk perasaan di beberapa bandar di Indonesia.

Setakat petang 17 Jun, suasana di beberapa lokasi demonstrasi dilaporkan masih terkawal dengan pasukan keselamatan terus berkawal bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini. - Agensi berita