Topik diikuti
Pergi ke BHkuMahasiswa sertai demonstrasi besar-besaran di beberapa bandar Indonesia
Mahasiswa sertai demonstrasi besar-besaran di beberapa bandar Indonesia
Tunjuk perasaan antara lain bertujuan suarakan keresahan rakyat terhadap tekanan kos sara hidup, kelemahan ekon
Mahasiswa sertai demonstrasi besar-besaran di beberapa bandar Indonesia
JAKARTA: Ribuan mahasiswa dari pelbagai universiti di Indonesia mengadakan demonstrasi besar-besaran pada 15 Jun di beberapa bandar utama termasuk Jakarta, Semarang, Medan dan Palembang bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu ekonomi, sosial dan demokrasi negara.
Di Jakarta, perhimpunan berlangsung di Bundaran HI, Kompleks DPR/MPR serta hadapan Istana Negara dengan membawa tema #TataUlangIndonesia atau ‘Susun Semula Indonesia’.
Gabungan mahasiswa berkata tunjuk perasaan itu bertujuan menyuarakan keresahan rakyat terhadap tekanan kos sara hidup, kelemahan ekonomi serta kebimbangan mengenai ruang demokrasi dan reformasi undang-undang.
“Manifestasi krisis sosioekonomi, reformasi undang-undang dan ancaman kemunduran demokrasi,” berdasar seruan bantahan yang dimuat naik Badan Eksekutif Mahasiswa, Universiti Bung Karno (BEM UBK) di media sosial.
Mahasiswa dari pelbagai kampus termasuk Universiti Bung Karno, Universiti Terbuka Jakarta, Universiti Muhammadiyah Jakarta dan beberapa pertubuhan mahasiswa lain mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan tersebut.
Antara isu utama yang dibangkitkan ialah kenaikan harga bahan api dan barang keperluan, kestabilan nilai rupiah, program Makan Bergizi Percuma (MBG), koperasi desa Merah Putih serta semakan terhadap undang-undang polis.
Mahasiswa turut menyuarakan kebimbangan mengenai gelombang pemberhentian pekerja, isu ketelusan pengurusan dana negara dan penglibatan unsur ketenteraan dalam ruang awam.
BEM UBK dalam kenyataannya berkata Indonesia kini berdepan pelbagai cabaran besar yang memerlukan perhatian serius pemerintah.
“Indonesia sedang tidak baik-baik saja. Ketika krisis sosioekonomi semakin menghimpit, reformasi undang-undang dilemahkan dan demokrasi terus bergerak ke belakang, berdiam diri bukan lagi pilihan,” ujar kenyataan itu.
Ketua Fakulti Undang-Undang BEM UBK, Encik M. Abdi Maludin, berkata gerakan ‘Susun Semula Indonesia’ lahir hasil penyatuan pelbagai organisasi mahasiswa selepas mereka melihat keadaan negara semakin membimbangkan.
“Kami melihat negara sedang mengalami kemerosotan dan mahasiswa perlu bangkit untuk menyuarakan keadaan sebenar rakyat,” katanya kepada media tempatan.
Menurut beliau, sekitar 200 mahasiswa dari Universiti Bung Karno menyertai demonstrasi itu, dengan jumlah peserta meningkat apabila beberapa universiti lain turut mengesahkan penyertaan mereka.
Kesatuan Mahasiswa Universiti Paramadina pula membawa cogan kata, ‘Reformasi 2’, dalam tunjuk perasaan di hadapan Istana Negara.
Dalam kenyataan mereka, mahasiswa dari Paramadina menggesa pemerintah menstabilkan nilai rupiah, menurunkan harga bahan api dan barangan asas serta menilai semula program MBG dan koperasi desa.
“Rakyat memerlukan dasar yang lebih berpihak kepada kesejahteraan masyarakat dan kestabilan ekonomi,” tambah kenyataan mahasiswa Paramadina.
Di Sumatera Utara, mahasiswa Universiti Sumatera Utara (USU), mengadakan tunjuk perasaan di bangunan DPRD Sumatera Utara dengan membawa isu ekonomi nasional, pendidikan, tenaga, alam sekitar dan undang-undang keselamatan.
Seruan tunjuk perasaan turut dibuat menerusi tanda pagar, #MenujuIndonesiaGagal, yang mengajak mahasiswa di wilayah itu turun berhimpun secara aman.
Di Semarang pula, Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) cawangan Semarang menyeru ahli mereka berhimpun di beberapa lokasi utama bandar itu bermula 10 pagi.
Sementara itu, mahasiswa UIN, Raden Fatah Palembang, menggelar gerakan mereka sebagai ‘Indonesia Darurat’.
Mereka dijadual di hadapan bangunan DPRD Sumatera Selatan dengan membawa beberapa tuntutan termasuk kestabilan harga barang asas, penolakan kenaikan harga bahan api dan pengukuhan nilai rupiah.
Mahasiswa juga mahu pemerintah mempercepat usaha membanteras rasuah termasuk meluluskan Rang Undang-Undang Rampasan Aset.
Tunjuk perasaan terbaharu itu merupakan kesinambungan bantahan mahasiswa yang berlangsung pada 12 Jun lalu apabila peserta gagal menuju ke Bundaran HI selepas dihalang pasukan keselamatan di kawasan Dukuh Atas.
Polis Jakarta sebelum ini menjelaskan bahawa Bundaran HI tidak dibenarkan menjadi lokasi tunjuk perasaan kerana kawasan itu merupakan pusat utama lalu lintas ibu kota.
Jurucakap Polis Metro Jaya, Pesuruhjaya Budi Hermanto, berkata kawasan seperti Bundaran HI, Bundaran Semanggi dan Patung Kuda merupakan “jantung lalu lintas Jakarta” yang perlu dikawal bagi mengelakkan gangguan besar kepada pergerakan awam.
Walaupun membawa pelbagai tuntutan kritikal terhadap dasar pemerintah, kebanyakan kumpulan mahasiswa menegaskan tunjuk perasaan mereka akan berlangsung secara aman dan mengikut prinsip demokrasi.
Pemerhati politik melihat gelombang demonstrasi mahasiswa itu sebagai tanda golongan muda Indonesia kian aktif menyertai dalam perdebatan nasional mengenai ekonomi, pendidikan, demokrasi dan masa depan negara.
“Tradisi mahasiswa bersuara secara aman adalah sebahagian penting daripada perjalanan demokrasi Indonesia sejak era reformasi,” kata seorang penganalisis politik di Jakarta.
Dengan demonstrasi berlangsung serentak di beberapa bandar besar, perhatian kini tertumpu kepada bagaimana pemerintah dan mahasiswa dapat terus mengekalkan ruang dialog secara terbuka dan aman demi kestabilan negara. – Agensi berita.
