Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia kirim bantuan kemanusiaan kedua ke Gaza

Bantuan seberat 21 tan berupa ubat, peralatan hospital, makanan dan barang keperluan lain
Nov 21, 2023 | 2:29 PM
BANTUAN KEDUA KE GAZA: Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, semasa pelepasan kumpulan kedua bantuan kemanusiaan Indonesia untuk rakyat Palestin di Gaza, di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta, pada Isnin.
BANTUAN KEDUA KE GAZA: Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, semasa pelepasan kumpulan kedua bantuan kemanusiaan Indonesia untuk rakyat Palestin di Gaza, di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta, pada Isnin. - Foto FACEBOOK JOKO WIDODO

JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, telah menyaksikan penghantaran kumpulan kedua bantuan kemanusiaan, berjumlah 21 tan, bagi rakyat Palestin yang terperangkap di Jaluran Gaza pada Isnin.

“Alhamdulillah, hari ini kami akan menghantar satu lagi kumpulan bantuan seberat 21 tan kepada saudara-saudara kita di Gaza, menggunakan dua pesawat,” katanya semasa majlis penghantaran bantuan itu di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta.

Bantuan kemanusiaan itu berupa ubat-ubatan, peralatan dan peralatan hospital, makanan dan barangan lain yang diperlukan oleh penduduk di kawasan yang sedang dibedil oleh tentera Israel.

Encik Jokowi menjelaskan bahawa bantuan itu dibiayai oleh bajet berjumlah Rp31.9 bilion ($2.76 juta) yang dikeluarkan oleh Tabung Kerjasama Pembangunan Antarabangsa Kementerian Kewangan.

Menurutnya, beberapa pihak turut menyertai dalam pemberian bantuan itu, seperti PT Paragon Technology and Innovation dan Indonesia Humanitarian Alliance, serta orang ramai, yang menghulurkan sumbangan melalui Badan Sedekah Negara (Baznas) dan wadah pengumpulan dana kitabisa.com.

“Serupa dengan bantuan dalam kumpulan pertama, pesawat itu akan menuju ke (Lapangan Terbang) El Arish di Mesir, dan bantuan itu akan dihantar (oleh pihak lain) ke Gaza,” katanya, lapor agensi berita rasmi Antara.

Pada 4 November, Indonesia menghantar sejumlah 51.5 tan bantuan berupa peralatan, perubatan dan makanan untuk rakyat Palestin di Gaza.

Bantuan itu disampaikan kepada Bulan Sabit Merah Mesir, sebelum diserahkan kepada rakyat Palestin yang dilanda konflik di Gaza oleh Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Timur Tengah (UNRWA).

Sejak Israel mula menyerang balas Gaza pada awal Oktober menyusuli serangan ke atasnya oleh kumpulan Hamas yang memerintah Gaza, lebih 13,000 rakyat Palestin, termasuk 8,300 wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh. Seramai 30,000 dilaporkan cedera.

Seramai 1,200 rakyat Israel maut dalam konflik itu sejauh ini.

Konflik itu membawa kepada kemusnahan beribu-ribu prasarana dan kemudahan, termasuk hospital, masjid dan gereja.

Sekatan ketat yang dilakukan oleh tentera Israel telah memutuskan bekalan keperluan asas, seperti bahan api, elektrik, dan air, kepada rakyat Palestin di Gaza. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg